Sunday, December 1, 2024

Makan Jemput-jemput Bawah Pokok Kayu Manis

Nasib baik isteri layankan ambil gambar

Petang yang nyaman di kampung memang tak ada tandingan. Petang semalam aku balik kampung di Pengkalan Perigi, Melaka, tempat aku membesar dengan seribu satu kenangan. Hehe, macam jauh sangat kampung, tak sampai 10 kilometer pun dari rumah aku. Di hadapan rumah emak, ada sebatang pokok kayu manis yang berdiri megah, tempat teduhan yang sempurna untuk menikmati suasana petang.

Sambil duduk atas kerusi, aku menggigit jemput-jemput yang emak goreng tadi. Orang lain panggil cucur bawang atau cekodok bawang, tapi aku suka sebut jemput-jemput. Dalam jemput-jemput ni, ada bawang dan ikan bilis yang sebati rasanya. Bila makan panas-panas, pergh, terus rasa nikmat dunia. Ditambah pula dengan secawan kopi O panas, cukup melengkapkan suasana.

Angin sepoi-sepoi meniup lembut, daun pokok kayu manis melambai-lambai macam nak turut serta menikmati petang ni. Bau tanah kampung yang basah lepas hujan pagi tadi memang buat hati rasa tenang. Sesekali terdengar bunyi burung berkicau dan riuh anak-anak bermain di halaman rumah. Rasa macam dunia ni berhenti sekejap, membiarkan aku menikmati saat ini sepenuhnya.

Jemput-jemput ni sebenarnya resipi yang luar biasa. Kalau aku buat sendiri pasti tak sama dengan yang mak aku masak. Bila makan di kampung, bawah pokok dengan angin kampung dan bau nostalgia, rasa dia jadi bertambah luar biasa. Memang betullah orang kata, makanan sedap tu bukan sebab bahan saja, tapi suasana dan kenangan yang datang sekali dengan setiap gigitan.

Kalau ada masa, aku cadangkan korang cuba makan Jemput-jemput bawah pokok macam ni. Simple, tapi mendamaikan jiwa. Bak kata orang, kecil-kecil hidup di kampung, besar-besar nak balik kampung juga. Memang rindu tak pernah habis. 

Thursday, November 28, 2024

Melaka Lama : Gambaran Orang Melaka dan Sumatera


Gambar ini diambil dari peta Eropah, Afrika dan Asia yang dilakarkan oleh seseorang yang tidak dikenali (anonymous) pada sekitar tahun 1614.



Di penjuru kanan atas peta ini memaparkan gambar seorang Ethiopia, Ghana, Parsi, Turki, Molukus, Jawa, penduduk Sumatera dan Melaka dan Cina.

Di bahagian bawah tengah terdapat tulisan: Tabula Geograph. in qua Europae, Africae Asiaeq et circulacentium insularum orae maritime accuratè describuntur et ad intelligentia navigationum Indicaru accommodantur.


Incolae Sumatra et Malacca bermaksud penduduk atau penghuni Sumatera dan Melaka. Aku tak pasti, adakah ini gambaran sebenar oleh pelukis peta ini? Sebab jika diamati dari aspek pakaian dan hiasan kepala, tidak sama seperti zaman sekarang mahupun zaman dahulu. Atau mungkin ini sekadar imiginasi pelukis.

Berkisar kepada mengapa penduduk Sumatera dan Melaka diletakkan bersama, mungkin kerana lokasi yang berdekatan. Atau mungkin juga kerana penulis masih menganggap Sumatera merupakan sebahagian daripada Melaka, kerana semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, Empayar Melaka merangkumi sebahagian wilayah di utara Sumatera.

Gambaran penduduk Melaka ini tak ubah seperti Gambaran orang Melaka oleh Jan Huygen van Linschoten. Namun, gambaran ini menimbulkan keraguan, kerana ia amat berbeza daripada gambaran yang telah dibuat oleh De Eredia (1613) yang mengambarkan orang Melaka memakai "head-band, vest, sarong and kris and hold a long spear" iaitu pengikat kepala, pakaian tanpa lengan, kain sarung dan keris dan memegang lembing.


Kenali De Eredia di sini > KLIK <