Saturday, September 29, 2012

DUHAI ANAK 2 (DEDIKASI BUAT ANAKKU AINNUR AFIAH)

Duhai Anak,
Terpancar Mesra Riak Mukaku,
Tanganku Hulur Selembut Sutera,
Ku Sambutmu Azan Di Kanan,
Ku Sambutmu Iqamah Di Kiri,
Ku Sambutmu Hati Girang Tak Terkira,
Lama... Lama, Duhai Anak,
Ku Tanggung Dua Keguguran,
Sebelum Kau Lahir Ke Bumi,
Amat Pedih Menanggung Rindu Padamu Duhai Anak,
Kini Kau Membesar Walafiat,
Seserasi Namamu Ainnur Afiah,
Selamat Datang Ke Dunia Duhai Anak,
Ingat!
Dunia Penuh Pancaroba,
Dunia Hanya Sementara,
Akhirat Kelak Baqa' Kekal,
Jaga Kesucianmu Seorang Wanita,
Jaga Solatmu, Jaga Islammu,
Itulah Pesanku Seorang Ayah.

F. B. Mamat
29 September 2012
Bukit Katil, Melaka

Lihat juga ---> Duhai Anak (Dedikasi Buat Anakku Muhammad Fahim)

Thursday, September 27, 2012

TERIMA KASIH TENAGA NASIONAL BERHAD


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Kadangkala, sesuatu yang dibuat dengan baik itu seharusnya diberikan pujian. Janganlah kita menafikan sesuatu kebaikan yang telah dilakukan. Ucaplah terima kasih, ia tidak sesukar mana pun.
 
Sebenarnya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota Tenaga Nasional Berhad negeri Melaka kerana dengan pantas mengambil tindakan untuk membaiki bekalan elektrik yang telah terputus di beberapa kawasan terutamanya di taman perumahan tempat saya tinggal.
 
Nak dijadikan cerita, pada pukul 1 lebih pagi semalam saya tersedar dari tidur kerana terasa bahang akibat kipas tidak dapat berfungsi. Isteri dan anak-anak saya turut bangun kerana masalah yang sama. Akibat tidak mahu menanggung kepanasan dan sukar untuk tidur, saya telah mengambil telefon bimbit dan membuat aduan kepada Tenaga nasional Berhad (TNB) dengan hanya menaip mesej tentang masalah bekalan elektrik di taman perumahan saya dan terus menghantarnya pada nombor 15454.
 
Lebih kurang 15 minit selepas saya menghantar mesej tersebut, telefon bimbit saya berdering dan yang menghubungi saya ialah operator TNB yang mahu membuat pengesahan apakah masalah yang berlaku. Saya telah menjelaskan semuanya pada beliau dan beliau mengatakan bahawa pasukan mereka akan tiba dalam masa terdekat untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah tersebut.
 
Saya terus menanti dengan sabar, saja mahu mengetahui sama ada pihak TNB mengambil tindakan atau tidak akan aduan saya itu. Dalam jangkamasa 20 ke 30 minit setelah pihak TNB menghubungi saya, didapati bekalan elektrik di taman perumahan tempat saya tinggal kembali sempurna. Alhamdulillah, selepas itu kami sekeluarga dapat melelapkan mata dengan lenanya hingga ke pagi.
 
Apa yang saya cuba sampaikan ini ialah tentang kekaguman saya terhadap perkhidmatan TNB yang kian baik dan terus cemerlang. Dulu pernah sekali lampu jalan di hadapan rumah saya tidak menyala, dengan kadar segera saya lihat lori TNB datang dan membaikinya. Begitu pantas, saya amat gembira dengan perkhidmatan yang diberikan.
 
Kini pula, mereka membuktikan keprofesionalan dan kecemerlangan mereka dengan melayan aduan dengan pantas. Sebenarnya saya tidak berapa pasti sama ada saya merupakan pengadu tunggal pada hari tersebut namun kepantasan mereka bertindak atas aduan adalah teramat baik sekali. Mereka terus bertindak membaiki kerosakan walaupun ketika itu cuaca masih hujan dan kilat saling sabung menyabung.  Tahniah dan terima kasih saya ucapkan.
 
Terbaiklah TNB...
 

Saturday, September 22, 2012

INIKAH NAMANYA KEBEBASAN BERSUARA???


Kebebasan bersuara salah satu elemen dalam Sistem Pemerintahan Demokrasi. Perkataan Demokrasi berasal dari pekataan Yunani yang bermaksud "Rakyat" dan "Memerintah" ataupun dalam erti kata sebenar ialah "Rakyat yang Memerintah".
 
Kebanyakkan negara-negara Barat mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi dan tidak lupa juga negara kita yang tercinta inipun mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi. Kalau dahulunya Tanah Melayu ini diperintah oleh Sultan-Sultan Melayu, namun setelah kedatangan British, mereka menukar sistem pemerintahan kita dengan Sistem Pemerintahan Demokrasi, di mana sistem beraja tetap dikekalkan namun dikenali sebagai sistem Raja Berpelembagaan.

 
 
Apa yang saya nak sentuhkan di sini ialah tentang Kebebasan Bersuara. Kebebasan Bersuara seperti yang saya sebutkan di awal tadi ialah salah satu dari elemen di dalam Sistem Pemerintahan Demokrasi. Di Malaysia ini, dilihat Kebebasan Bersuara tetap diberikan namun ianya tetap dikawal oleh pihak kerajaan. Bagi saya Kebebasan Bersuara ini sememangnya perlu dikawal agar ia tidak menyentuh hal-hal yang sensitif seperti agama, kaum dan lain-lain perkara yang menyentuh sesitiviti.
 
Inilah berlaku di Amerika Syarikat apabila cerita Innocence of Muslim telah berjaya diterbitkan. Ini merupakan kejayaan besar dalam sistem Kebebasan Bersuara yang telah dicanangkan oleh Barat. Inilah yang mereka mahukan, mereka bebas untuk menerbitkan apa-apa filem yang menghina agama Islam demi kepentingan tertentu di atas tiket Kebebasan Bersuara
 
Tak habis begitu sahaja, Kebebasan Bersuara ini terus berkumandang di negara Peranchis. Mereka bukan tampil untuk memprotes filem tersebut. namun mereka membarakkan lagi kebencian dengan menyiarkan pula karikatur yang dinamakan sebagai Nabi Muhammad. Inilah dikatakan kebebasan bagi mereka, Kebebasan Bersuara termasuklah Kebebasan Akhbar dan Penerbitan.
 
Pada pendapat peribadi saya, Kebebasan Bersuara memang perlu namun ianya harus dikawal juga. Sekiranya tidak dikawal maka terjadilah perkara-perkara sebegini. Tidak mustahil perkara seperti ini juga akan berlaku di bumi Malaysia sekiranya tiadanya kawalan dilakukan oleh pihak berkuasa.