Monday, November 18, 2024

Kopi dan Kek


Melangkah masuk ke Stadthuys Cafe, yang terletak di dalam bangunan Muzium Sejarah Melaka iaitu di bangunan Stadthuys membawa aku ke suasana yang penuh nostalgia. Ruangannya yang klasik dengan sentuhan kolonial membuatkan aku terasa seperti berada di zaman lampau, namun tetap selesa dan mesra. Bau harum kopi menyapa deria sebaik sahaja aku melangkah masuk. Suasana kafe ini memang tenang, sesuai untuk bersantai sambil menikmati hidangan ringan.

Kafe ni sebenarnya berada dekat saja dengan pejabat aku. Kalau aku toleh ke tingkap, kelihatan kafe ini di aras bawah pejabat aku.

Aku memesan secawan hazelnut coffee dan sepotong kek. Kopinya enak dengan aroma yang memikat, cukup untuk membuatkan aku menikmati keenakan di setiap hirupan. Manakala keknya, dengan gabungan rasa manis coklat yang lembut, benar-benar melengkapi situasi santai ini. Memang terasa seperti satu kombinasi sempurna untuk melupakan sejenak kesibukan bekerja.

Sambil menikmati kopi dan kek, dapat melihat para pelancong dari dalam dan luar negara turut melepak di kafe ini. Orang ramai boleh berkunjung ke kafe ini, bukan sekadar menikmati makanan dan minuman, tetapi juga menyerap suasana bersejarah Melaka. Bagi aku, ini adalah salah satu cara terbaik untuk menghargai keindahan dan warisan kita.

Tapi gambar ini bukan gambar hari ini. Ia berlaku pada beberapa minggu yang lalu. Cuma hari ni baru berkesempatan untuk membuat post di blog. 

Kalau sesiapa yang berkunjung ke Melaka, singgahlah ke kafe ini dan jangan lupa juga untuk melawat ke Muzium Sejarah Melaka. 

Sunday, November 10, 2024

Kelapa Pandan Belakang Rumah Berbuah Lagi

Alhamdulillah, sebatang pokok kelapa pandan yang aku tanam di belakang rumah kira-kira empat tahun lepas dah mula menunjukkan hasil. Masa mula-mula tanam tu, tak terfikir pun ia akan cepat berbuah, tapi sekarang dah masuk tandan keempat. Setiap kali berbuah, aku rasa macam satu kepuasan sebab apa yang kita usahakan sendiri, akhirnya menjadi.


Kelapa pandan ni memang istimewa, lain dari kelapa biasa. Airnya bukan saja banyak, tapi rasa dia manis dan wangi, cukup menyegarkan tekak. Ditambah lagi dengan isi yang lembut dan sedikit lemak, memang puas hati bila dapat buat air kelapa sendiri, tambah pula bila musim panas terik. Bila rasa kelapa ni, macam ada satu rasa homemade yang tak sama dengan kelapa beli.

Sekarang, aku nampak dah ada dua tandan lagi yang sedang berbuah dan makin membesar. Seronok betul tengok buah-buah kelapa ni bertambah satu persatu. Rasa seronok setiap kali tengok pokok ni berbuah. InsyaAllah, kalau terus membesar elok macam ni, mungkin tak lama lagi dah boleh petik lagi.

Bila ada pokok sendiri ni, terasa lagi nikmat rezeki dari alam. Dapatlah aku berkongsi dengan keluarga dan jiran-jiran buah kelapa pandan segar dari belakang rumah sendiri. Mudah-mudahan, pokok ni terus subur dan memberi rezeki buat kami sekeluarga.

Saturday, November 9, 2024

Selamat Hari Lahir Muhammad Fahim

Muhammad Fahim ketika berusia 3 tahun. 


Syukur Alhamdulillah, pada tarikh 8 November, genap 16 tahun usia anak sulung ayah, Muhammad Fahim. Rasa macam baru semalam ayah dukung Fahim yang kecil, sekarang dah besar panjang, dah jadi remaja. Ayah senang tengok Fahim membesar dengan baik dan sihat walafiat. 

Doa ayah tak pernah putus, semoga Fahim terus jadi anak yang soleh, sentiasa ingat Allah dalam setiap langkah. Jaga solat, hormati orang tua dan berbuat baik dengan semua orang. Dunia ni tempat kita berusaha dan insyaAllah, bila kita ikhlas dan sabar, Allah akan beri yang terbaik untuk kita, bukan saja di dunia, tapi juga di akhirat.

Moga segala cita-cita Fahim tercapai. Ayah sentiasa ada untuk menyokong Fahim dalam setiap impian. Teruslah jadi diri sendiri, bawa kebaikan dan manfaat pada orang sekeliling. Selamat hari lahir sayang, moga tahun-tahun mendatang bawa kebahagiaan dan rahmat yang tak terhingga buatmu.

Teringat dulu, buat puisi untuk Muhammad Fahim