Thursday, November 7, 2024

Melaka Lama : Pemandangan Melaka Dari Laut (Gezicht op Malakka vanaf zee)


Pernahkah korang terbayang pemandangan Melaka pada tahun 1764, dari tengah laut? Menariknya, seorang pelukis Belanda bernama Jan Keldermans atau nama sebenarnya, Jan van Mansdale telah mengambarkan dalam satu lukisan yang bersejarah. Lukisan ini bertajuk Gezicht op Malakka vanaf zee dalam bahasa Belanda atau Pemandangan Melaka dari Laut. Lukisan ini membawa kembali ke zaman di mana Melaka berada di bawah pengaruh Belanda.

Lukisan ini menggambarkan suasana bandar pelabuhan yang tenang dengan deretan rumah, pokok-pokok hijau hijau dan pokok kelapa. Di tengah lukisan, ada sebuah perahu kecil berlayar dengan bendera Belanda berkibar, seolah-olah sedang dalam perjalanan ke kota yang megah ini. Di sebelah kanan, kelihatan sebuah kubu yang kukuh, juga dihiasi bendera Belanda yang berkibar tinggi yang menunjukan simbol kekuasaan pada masa itu.

Karya yang dihasilkan pada tahun 1764 ini bukan sekadar lakaran biasa. Ia dilukis di atas kertas menggunakan warna air dengan sapuan berus. Sentuhan warna air ini memberikan gambaran dan nostalgia, seolah-olah kita sendiri sedang berdiri di tepi kapal sambil mengintai kota Melaka dari jauh.

Lukisan ini bukan hanya karya seni tetapi juga sejarah visual yang penuh makna.

Menara Taming Sari : Pengalaman Yang Tak Pernah Dilupakan

Kalau sebut je Menara Taming Sari, mesti ada banyak kenangan dalam kepala aku. Dulu, aku pernah naik menara ni banyak kali, sampai tak ingat dah berapa kali. Tapi entah kenapa, dah lama jugak aku tak jejakkan kaki ke sana. Mungkin sebab dah rasa macam biasa je naik. Cuma hujung bulan lepas aku sertai Treasure Hunt yang dianjurkan oleh Menara Taming Sari. Padahal, kalau fikir balik, pengalaman naik menara ni memang best.


Menara Taming Sari ni lain sikit daripada yang lain. Dengan lif kaca yang bawa kita terus naik ke atas, pemandangan dari puncak tu memang menarik. Dari atas, kita boleh nampak hampir keseluruhan Melaka dari bangunan-bangunan bersejarah sampai ke pelabuhan, bukit-bukau, Selat Melaka dan banyak lagi. 

Kalau kali pertama naik dulu aku menggelabah jugak. Menara berputar, ketinggiannya lagi, rasa macam nak terbang je. Tapi bila dah beberapa kali naik, rasa tu hilang. Sebaliknya, tiap kali naik, aku rasa lebih seronok dan rasa kagum tengok Melaka dari atas. Nak tengok Melaka dari perspektif yang lain memang best

Walaupun dah banyak kali naik, aku rasa macam takkan pernah bosan untuk naik lagi. Ada satu keistimewaan bila berada di atas tu iaitu pemandangan luas dan menarik. Mungkin lepas ni, aku akan naik lagi. Siapa tahu, mungkin ada kenangan baru yang menanti.

Wednesday, November 6, 2024

Seni Peragaan Karya


Gambar ni aku ambil ketika mengadakan lawatan kerja ke Balai Seni Negara pada 21 Ogos lalu. Bagi aku peragaan karya seni ni agak menarik. Ringkas dan bermakna. 

Bila melihat karya ni, bagi pandangan aku, seni peragaan kadang-kadang buat kita tengok dunia dengan cara yang tak disangka. Bayangkan sebuah peragaan karya seni yang guna barang-barang lama seperti basikal tua dan perabot yang dah rosak tapi semua tersusun menarik dan penuh makna. Ada cerita tentang waktu, perubahan dan kenangan dalam setiap benda tu.

Tengok je tengah-tengah peragaan karya seni ni, ada basikal tua yang jadi tumpuan. Basikal ni boleh jadi simbol perjalanan hidup kita di mana barang yang dulu penting, lama-lama jadi lusuh dan mungkin ditinggalkan. Sekelilingnya ada perabot dan peralatan lama yang warnanya dah pudar. Benda-benda ni, walaupun dah lama tak digunakan, masih ada nilai nostalgia. 

Tekstur pada setiap objek memang unik dengan dengan gabungan logam yang berkarat, kayu yang usang. Ia seperti sebuah pesanan halus dari artis seni untuk kita fikirkan tentang perubahan bukan cuma pada objek, tapi dalam hidup kita sendiri.

Seni ni bukan sekadar hiasan, ia bawa mesej mendalam. Setiap benda macam kita, akan berubah dengan waktu. Benda-benda yang dulu penting mungkin akan dilupakan dan zaman pula akan terus berubah.

Pendek kata, peragaan ni ingatkan kita yang semua benda dalam hidup ni sementara. Setiap benda yang lapuk, setiap kenangan, semua tu adalah pengingat yang waktu takkan tunggu kita. Melalui seni ni, kita diajak untuk hargai setiap detik dan kenangan segala yang pernah membentuk diri kita.