Wednesday, November 6, 2024

Seni Peragaan Karya


Gambar ni aku ambil ketika mengadakan lawatan kerja ke Balai Seni Negara pada 21 Ogos lalu. Bagi aku peragaan karya seni ni agak menarik. Ringkas dan bermakna. 

Bila melihat karya ni, bagi pandangan aku, seni peragaan kadang-kadang buat kita tengok dunia dengan cara yang tak disangka. Bayangkan sebuah peragaan karya seni yang guna barang-barang lama seperti basikal tua dan perabot yang dah rosak tapi semua tersusun menarik dan penuh makna. Ada cerita tentang waktu, perubahan dan kenangan dalam setiap benda tu.

Tengok je tengah-tengah peragaan karya seni ni, ada basikal tua yang jadi tumpuan. Basikal ni boleh jadi simbol perjalanan hidup kita di mana barang yang dulu penting, lama-lama jadi lusuh dan mungkin ditinggalkan. Sekelilingnya ada perabot dan peralatan lama yang warnanya dah pudar. Benda-benda ni, walaupun dah lama tak digunakan, masih ada nilai nostalgia. 

Tekstur pada setiap objek memang unik dengan dengan gabungan logam yang berkarat, kayu yang usang. Ia seperti sebuah pesanan halus dari artis seni untuk kita fikirkan tentang perubahan bukan cuma pada objek, tapi dalam hidup kita sendiri.

Seni ni bukan sekadar hiasan, ia bawa mesej mendalam. Setiap benda macam kita, akan berubah dengan waktu. Benda-benda yang dulu penting mungkin akan dilupakan dan zaman pula akan terus berubah.

Pendek kata, peragaan ni ingatkan kita yang semua benda dalam hidup ni sementara. Setiap benda yang lapuk, setiap kenangan, semua tu adalah pengingat yang waktu takkan tunggu kita. Melalui seni ni, kita diajak untuk hargai setiap detik dan kenangan segala yang pernah membentuk diri kita.

Tuesday, November 5, 2024

Meraikan Perjalanan 33 Tahun Saudara Nasir Endin

Hari ini, aku ingin berkongsi sedikit kisah tentang seorang individu yang telah memberi sumbangan besar dalam dunia pekerjaan, khususnya di Muzium Sejarah Melaka. Nama beliau, saudara Nasir bin Endin, seorang Pembantu Operasi yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama 33 tahun. Tugas utama beliau sebagai pengawas muzium memastikan segala-galanya berjalan lancar dan pengunjung menikmati suasana yang terbaik.

Mengimbas jari buat kali terakhir

Hari ini juga adalah hari yang agak berat bagi kami semua, kerana saudara Nasir, akan memulakan fasa baharu dalam hidupnya iaitu bersara selepas 33 tahun berkhidmat. Beliau akan menutup buku kerjaya sebagai seorang pengawas muzium pada usia 56 tahun. 33 tahun yang bukan sekejap dan sangat berharga.

Saudara Nasir bukan sekadar seorang pengawas muzium. Beliau adalah seorang yang sentiasa ada untuk memberi bantuan, menjaga kebersihan dan mengawasi muzium. Setiap hari beliau bekerja dengan penuh kesungguhan bagi memastikan setiap sudut muzium dijaga dengan teliti. Sikapnya yang sabar dan komited membuatkan beliau sangat dihormati oleh rakan sekerja. 

Hari terakhir beliau bertugas di Muzium Sejarah Melaka terasa amat bermakna, tetapi pada masa yang sama, juga berat untuk berpisah. Kami semua sudah banyak berkongsi kenangan bersama beliau sepanjang tahun-tahun ini. Saudara Nasir telah menjadi sebahagian daripada keluarga besar muzium ini.

Kami di sini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Nasir atas segala jasa dan pengorbanan beliau selama ini. Semoga kehidupan selepas bersara ini penuh dengan kebahagiaan, kesihatan yang baik dan masa yang lebih banyak untuk dinikmati bersama keluarga. Terima kasih atas 33 tahun khidmat yang penuh dedikasi.

Bergambar bersama buat kenang-kenangan

Selamat menikmati hari-hari yang lebih santai dan bermakna, saudara Nasir. Kenangan bersama akan sentiasa kami hargai.

Pesona Senja di Sawah


Ada sesuatu pesona tentang pemandangan sawah di waktu senja. Pemandangannya sederhana tetapi cukup menenangkan, seolah-olah terapi semulajadi bagi jiwa yang letih. Ketika matahari mula terbenam, langit bertukar menjadi kanvas yang dipenuhi dengan warna-warna hangat yang memancar indah. Bayangkan kita berdiri di tepi sawah, diiringi angin lembut yang menyapa wajah, sambil menyaksikan matahari perlahan-lahan hilang di ufuk barat.

Langit mula diselubungi warna merah jambu dan oren yang lembut, mencipta suasana yang penuh keajaiban. Cahaya senja memantul di permukaan sawah yang masih basah, menghasilkan kilauan seperti cermin besar yang memantulkan keindahan alam semesta. Garis-garis pematang sawah membingkai pemandangan dengan kemas, menambah kedalaman pada setiap inci yang kelihatan.

Di latar belakang, siluet pohon-pokok yang merimbun menambah kesan dramatik pada pemandangan ini. Pohon-pohon tersebut memberikan kontras yang sangat memukau antara langit berwarna hangat dengan hamparan hijau di bawahnya. Suasana seperti ini memang tak ternilai, hanya sawah dan cahaya senja yang mampu mencipta detik yang damai dan menenangkan sebegini.

Tak perlu pergi jauh untuk menikmati ketenangan ini. Apabila tiba waktu dan tempat yang sesuai, keindahan senja di sawah ada untuk dinikmati, mengisi hati dan minda dengan rasa tenang seiring dengan tenggelamnya matahari.