Wednesday, October 23, 2024
Kisah Pokok Pisang 40 Hari
Alhamdulillah, pokok pisang 40 hari yang aku tanam di belakang rumah sudah selamat dituai lagi. Ini bukan kali pertama pokok-pokok ini mengeluarkan hasil, malah sudah beberapa kali ia memberikan rezeki buah yang agak banyak.
Setiap kali pisang-pisang ini masak, aku pastikan hasilnya tidak disimpan sendiri sahaja. Selalunya, aku akan agih-agihkan kepada jiran-jiran terdekat, rakan pejabat dan selebihnya aku nikmati bersama keluarga.
Untuk tuaian kali ini, aku merancang untuk berkongsi hasilnya dengan adik-beradik yang lain pula. InsyaAllah, jika ada kesempatan ajan aku hantar kepada mereka, aku akan pastikan mereka turut merasai nikmat buah pisang yang aku tanam sendiri.
Berkongsi rezeki memang satu kepuasan tersendiri dan melihat senyuman orang lain ketika menerima pemberian kecil ini adalah kegembiraan yang tidak ternilai.
Moga pokok pisang ini terus memberikan hasil dan rezeki untuk terus dikongsi bersama orang-orang yang tersayang.
Tuesday, October 22, 2024
Terkandas di Sawah Padi
Kadang-kadang, detik paling indah datang ketika kita tidak merancangnya. Semalam, selepas menjemput anakku dari latihan bola sepak, aku melalui jalan biasa yang dekat dengan kawasan sawah padi berdekatan rumahku. Sambil memandu, aku terpandang sesuatu yang membuatku terhenti sejenak. Sawah padi yang digelinangi air, berkilauan di bawah cahaya senja. Pantulan langit dan bentuk-bentuk alam di permukaan air itu sungguh menenangkan, seperti lukisan hidup yang terbentang di hadapanku.
Tertarik dengan keindahan pemandangan itu, aku membuat pusingan U untuk kembali ke tempat tersebut, mencari sudut yang terbaik untuk merakam gambar. Ketika aku berdiri di sana dengan telefon bimbit di tangan, aku merasa damai seperti semua beban dunia terhenti sebentar untuk memberi laluan kepada keindahan ini.
Aku mengambil beberapa foto yang tidak hanya menangkap pemandangan fizikal, tetapi juga ketenangan dan kesederhanaan alam yang sering kita abaikan. Saat ini adalah pengingat penting untuk aku yang kadang-kadang kita perlu berhenti seketika, mengubah haluan dan mengambil masa untuk menghargai apa yang ada di sekitar kita.
Pemandangan sawah padi yang dipenuhi air ini mengajarkan aku bahawa kehidupan tidak perlu rumit untuk menjadi indah. Detik spontan seperti inilah yang menghidupkan kembali rasa syukur dan kekaguman kita terhadap dunia ciptaan Allah SWT yang Maha Esa.
Subscribe to:
Posts (Atom)