Tuesday, October 22, 2024

Terkandas di Sawah Padi


Kadang-kadang, detik paling indah datang ketika kita tidak merancangnya. Semalam, selepas menjemput anakku dari latihan bola sepak, aku melalui jalan biasa yang dekat dengan kawasan sawah padi berdekatan rumahku. Sambil memandu, aku terpandang sesuatu yang membuatku terhenti sejenak. Sawah padi yang digelinangi air, berkilauan di bawah cahaya senja. Pantulan langit dan bentuk-bentuk alam di permukaan air itu sungguh menenangkan, seperti lukisan hidup yang terbentang di hadapanku.

Tertarik dengan keindahan pemandangan itu, aku membuat pusingan U untuk kembali ke tempat tersebut, mencari sudut yang terbaik untuk merakam gambar. Ketika aku berdiri di sana dengan telefon bimbit di tangan, aku merasa damai seperti semua beban dunia terhenti sebentar untuk memberi laluan kepada keindahan ini.

Aku mengambil beberapa foto yang tidak hanya menangkap pemandangan fizikal, tetapi juga ketenangan dan kesederhanaan alam yang sering kita abaikan. Saat ini adalah pengingat penting untuk aku yang kadang-kadang kita perlu berhenti seketika, mengubah haluan dan mengambil masa untuk menghargai apa yang ada di sekitar kita.

Pemandangan sawah padi yang dipenuhi air ini mengajarkan aku bahawa kehidupan tidak perlu rumit untuk menjadi indah. Detik spontan seperti inilah yang menghidupkan kembali rasa syukur dan kekaguman kita terhadap dunia ciptaan Allah SWT yang Maha Esa.

Monday, October 21, 2024

Influenza oh Influenza

Sejak petang Jumaat lalu, aku terpaksa berhadapan dengan demam yang tidak berkesudahan. Sampai sekarang aku masih bercuti sakit. Mungkin ini influenza, sama seperti yang dialami isteri dan tiga anakku, yang kini sudah pun sembuh. Tinggal aku seorang yang masih bergelut dengan rasa tidak sihat ini.

Inilah ubat yang klinik bagi 

Badan terasa lemah dan selera makan pun hilang entah ke mana. Sudah beberapa hari aku tidak makan nasi, hanya mampu minum air. Memang tak best langsung. Rasa macam tubuh ini semakin susut dan semua aktiviti harian terasa berat.

Dalam masa yang sukar ini, aku semakin menghargai saat-saat sihat. Semoga demam ini cepat pergi supaya aku dapat kembali menjalani hidup dengan penuh tenaga dan seperti sedia kala. Doakan agar aku cepat sembuh.