Tuesday, October 15, 2024

Pengalaman Santai di Cameron Highlands

Baru-baru ini, aku berpeluang meluangkan masa ke Cameron Highlands dan pengalaman kali ini memang tak mengecewakan. Sebenarnya aku singgah di Cameron Highlands sehari sebelum ke Tingkat Valley.

Saujana mata memandang

Hijau bumi Allah SWT

Aku menginap di Hotel De'La Ferns dan terus terang, ia memang selesa. Biliknya luas, katil empuk dan yang paling penting sarapan paginya sedap. Pilihan makanan memang banyak dan paling best, layanan pelayan sangat ramah seperti dah kenal lama.

Nak juga bergambar di hadapan hotel

Seperti kebiasaan bila ke Cameron, aku tak lepaskan peluang melawat ladang teh. Hirupan udara segar dan pemandangan menghijau ladang teh sentiasa membuatkan aku rasa tenang. Memang tak lengkap kalau tak beli buah tangan, kan? Kali ni aku borong coklat, ubi manis dan macam-macam lagi untuk dibawa pulang.

Tak cukup dengan itu, aku singgah juga di Taman Agroteknologi MARDI. Seronok juga dapat tengok pelbagai jenis tanaman sambil menikmati keindahan flora yang terjaga rapi. Jadi, aku tangkap gambar bunga-bunga kat bawah ni bagi dijadikan modal untuk letakkan di dalam blog. Hehe. 








Pendek kata, kunjungan ke Cameron Highlands kali ini memang berbaloi. Jalan pun tidak sesak kerana datang ketika weekday. Rehatkan minda sambil nikmati keindahan alam semula jadi. Tak sabar nak datang lagi untuk bawa keluarga pula.

Tak lengkap kalau tak bergambar di pokok teh


Monday, October 14, 2024

Persinggahan di Laman Tiga Budaya, Asahan, Melaka

Pagi tadi, sementara menunggu Ainnur Afiah yang tengah duduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM di MRSM Tun Ghafar Baba, aku sempat singgah di Laman Tiga Budaya, Asahan. Tempat ni memang istimewa sebab ia jadi titik pertemuan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Jarak dari MRSM ke sini lebih kurang 20 kilometer je, jadi eloklah singgah sementara menunggu.

Laman Tiga Budaya, kelihatan Gunung Ledang di belakangnya

Suasana kat situ tenang dan aku dapat rehat sekejap sambil menikmati udara kampung di samping menikmati pemandangan kehijauan alam sekitar. Rasa macam lari kejap dari hiruk-pikuk. Laman Tiga Budaya ni mungkin tak terkenal sangat, tapi bagi aku, ia tempat yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan tentang geografi. 

Titik tengah antara tiga negeri 

Melaka, Negeri Sembilan dan Johor

Sambil duduk situ, fikiran aku melayang juga, teringat Ainnur yang tengah berjuang kat dewan ujian. Harap-harap ada rezeki dia untuk masuk MRSM nanti. Sebagai ayah, mestilah aku doakan yang terbaik untuk dia.

Kalau korang lalu Asahan, tak rugi singgah sini sekejap. Tempatnya tak besar, tapi cukup untuk rasa tenang sebelum sambung perjalanan. Satu lagi, bonusnya kat sini ialah dapat ambil gambar dekat tanda sempadan tiga negeri tu. 

Saturday, October 12, 2024

Proses Menuntut Insurans Kebakaran Rumah

Aku harap korang tak perlu lalui perkara ni, tapi kalau takdir dah tentukan rumah kita terbakar, memang kita kena tahu apa nak buat. Pada 6 Ogos 2023 lalu, aku ada alami situasi yang sama dan aku nak kongsikan prosedur nak buat tuntutan insurans kebakaran rumah. Harap-harap boleh membantu korang yang mungkin tengah terfikir apa langkah pertama.


1. Laporan Polis

Lepas kejadian, benda pertama yang aku buat ialah pergi ke balai polis berdekatan untuk buat laporan. Ini penting sebab tanpa laporan polis, tuntutan tak boleh diproses. Dalam laporan tu, kena ceritakan apa yang berlaku dan serahkan butiran rumah yang terbakar. Polis akan bagi salinan laporan, simpan baik-baik sebab nanti kita nak guna.

2. Laporan di Pejabat Insurans

Langkah kedua, aku terus ke pejabat insurans. Dekat sini, kena sediakan beberapa dokumen seperti salinan kad pengenalan, salinan laporan polis tadi dan dokumen yang berkaitan dengan rumah tu. Kalau rumah tu rumah sewa beli, sediakan juga salinan perjanjian sewa beli. Bagi je semua salinan yang diperlukan, senang proses dia bergerak nanti.


3. Laporan Bomba

Tak lama lepas insiden, pihak bomba akan datang buat siasatan. Diorang ni macam detektif yang nak tahu punca kebakaran. Lepas siasatan selesai, bomba akan keluarkan laporan rasmi. Laporan ni penting untuk pihak insurans, so make sure korang dapat salinan.

4. Hantar Laporan Bomba kepada Insurans

Bila dah dapat laporan bomba, aku terus hantar ke pejabat insurans. Salinan ni penting untuk insurans pastikan kebakaran tu memang betul terjadi dan bukan sebab cuai atau disengajakan.

5. Cari Kontraktor untuk Sebut Harga

Sekarang bab yang agak tricky sikit. Aku kena cari tiga kontraktor untuk buat sebut harga bagi kerja-kerja membaiki rumah. Kena pastikan diorang bagi harga yang realistik dengan kerosakan yang berlaku. Sebut harga ni juga akan dirujuk oleh insurans nanti, jadi kena buat betul-betul.


6. Penilaian dari Insurans

Lepas aku submit semua sebut harga tadi, pihak insurans akan hantar penilai. Penilai ni akan datang tengok sendiri kerosakan rumah dan bandingkan dengan sebut harga yang kita dapat. Dia akan kira nilai kerosakan berbanding nilai rumah yang diinsuranskan. Kalau dia rasa sesuai, dia akan buat penilaian akhir.

7. Surat Tawaran Pampasan

Bila semua dah selesai, insurans akan bagi aku surat tawaran pampasan. Dalam surat tu, ada jumlah pampasan yang diorang rasa patut kita dapat. Tapi kalau korang rasa tak puas hati dengan jumlah tu, boleh minta penilaian semula.

8. Minta Penilaian Semula (Kalau Perlu)

Aku sendiri ada rasa tak puas hati dengan nilai pampasan yang diorang offer. Jadi aku mohon untuk diorang nilai balik, dengan bagi beberapa alasan kenapa aku rasa jumlah tu tak cukup. Kena bagi alasan yang kukuh, barulah diorang pertimbangkan.


9. Terima Pampasan

Kalau dah setuju dengan nilai pampasan tu, tunggu je dalam beberapa hari, duit pampasan akan masuk ke akaun bank kita. Alhamdulillah, masa tu rasa lega sebab dah boleh mula baiki rumah.

Itulah prosedur yang aku lalui untuk buat tuntutan insurans kebakaran rumah. Proses dia memang ambil masa, tapi kalau kita ikut langkah betul, insyaAllah semuanya akan berjalan lancar.

Lihat juga entri INI, perihal rumah aku yang terbakar.