Monday, September 16, 2024

Selamat Hari Malaysia 2024 : Menghargai Kepelbagaian dan Perpaduan



Pada 16 September setiap tahun, rakyat Malaysia berkumpul untuk meraikan Hari Malaysia, satu tarikh penting yang memperingati penyatuan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu menjadi Malaysia pada tahun 1963. Hari ini bukan sahaja simbolik kepada pembentukan negara tetapi juga lambang perpaduan, keazaman dan semangat kebersamaan kita sebagai rakyat Malaysia.

Tema sambutan Hari Malaysia 2024 adalah "Malaysia Madani Jiwa Merdeka" sesuai dengan hakikat bahawa negara ini terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Daripada tradisi Melayu, Cina, India hingga kepada warisan etnik Sabah dan Sarawak, setiap unsur kepelbagaian ini menyumbang kepada kekuatan dan kecantikan Malaysia.

Kita beruntung dapat hidup dalam suasana yang harmoni walaupun berbeza dari segi budaya dan bahasa. Justeru, Hari Malaysia ini memberi peluang kepada kita untuk merenung sejauh mana kita telah mencapai kejayaan sebagai sebuah negara yang bersatu dalam kepelbagaian. Semangat perpaduan inilah yang membolehkan kita menghadapi pelbagai cabaran dengan jaya.

Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita terus mengukuhkan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, toleransi dan kerjasama. Dengan menghayati erti Hari Malaysia yang sebenar, kita dapat bersama-sama membina sebuah negara yang lebih makmur dan aman untuk generasi akan datang.

Selamat Hari Malaysia 2024. Marilah kita teruskan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya, bersatu dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Sunday, September 15, 2024

Muhammad Firas Faiq dan Bola Sepak




Tahniah Muhammad Firas Faiq dan pasukan. Tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Community Merdeka Cup 2024, Piala Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali bawah 10 tahun yang telah berlangsung pada 1 September lalu. 

Inilah pingat pertama yang dimenangi oleh anakku Muhammad Firas Faiq. Sebelum-sebelum ini hanya banyak perlawanan persahabatan. Apabila sudah masuk pertandingan sebenar dan memperoleh tempat ketiga, ia boleh dibanggakan. Walaupun baru berusia 9 Tahun, masih dapat bersaing bersama kanak-kanak bawah 10 tahun. 

Muhammad Firas Faiq ni aku lihat boleh bermain. Ada idea. Bermain di bahagian tengah. Tapi fizikal masih kecil. Tendangan pun masih belum berapa kuat. Harapnya dia boleh meningkatkan prestasi dari masa ke masa. 

Saturday, September 14, 2024

Buah Cempedak di Dalam Pagar



Alhamdulilah. Penantian 4 tahun membuahkan hasil. Buah cempedak yang ditanam di belakang rumah pada tahun 2020 telah berbuah sulung. Hanya sebiji saja yang menjadi. Tak pasti pula kenapa hanya sebiji saja yang berbuah. Ada kawan maklumkan, buah sulung biasanya memang akan berbuah sebiji.

Apa-apapun, tak sabar nak melihatnya matang dan sedia untuk dimakan. Buat cempedak goreng pun sedap ni. Harap-harap banyak isi di dalamnya. Buahnya comel je ni, tak besar mana.