Saturday, September 14, 2024

Buah Cempedak di Dalam Pagar



Alhamdulilah. Penantian 4 tahun membuahkan hasil. Buah cempedak yang ditanam di belakang rumah pada tahun 2020 telah berbuah sulung. Hanya sebiji saja yang menjadi. Tak pasti pula kenapa hanya sebiji saja yang berbuah. Ada kawan maklumkan, buah sulung biasanya memang akan berbuah sebiji.

Apa-apapun, tak sabar nak melihatnya matang dan sedia untuk dimakan. Buat cempedak goreng pun sedap ni. Harap-harap banyak isi di dalamnya. Buahnya comel je ni, tak besar mana. 

Friday, September 13, 2024

Anak Bermain Bola Sepak dan Masjid Cina Negeri Melaka

Setiap Isnin, Rabu dan Khamis, aku dah terbiasa dengan rutin menghantar anakku Muhammad Firas Faiq ke Padang 10, Krubong, untuk latihan bola sepak. Firas sekarang main dalam kategori bawah sembilan tahun di Akademi Tunas, Program Pembangunan Bola Sepak Negara. Setiap kali hantar dia, aku boleh nampak semangat dia nak jadi pemain bola yang hebat, selalu excited bila sampai ke padang.

Sementara tunggu dia habiskan sesi latihan, aku sering singgah di Masjid Cina Negeri Melaka untuk menunaikan solat Asar. Masjid ni memang lain daripada yang lain. Dengan reka bentuk yang ala-ala pagoda, setiap kali datang, rasa tenang je. Kawasan masjid luas dan suasananya aman, buatkan aku selesa lepak sekejap kat situ.

Ruang dalam Masjid Cina Negeri Melaka


Bila duduk kat masjid, kadang-kadang aku ambil masa untuk rehat dan tenangkan fikiran. Tempat ni memang sesuai kalau nak lari sekejap daripada hiruk-pikuk harian. Tambahan lagi, angin yang sepoi-sepoi kat situ buatkan aku rasa rileks, sambil tunggu waktu nak ambil Firas balik.

Walaupun rutin ni nampak macam biasa je, sebenarnya ada juga seronoknya. Sambil Firas kejar impian dia jadi pemain bola sepak, aku dapat masa untuk recharge diri kat masjid. Setiap hari latihan tu, bukan sekadar rutin hantar dan ambil, tapi juga masa untuk aku berehat dan nikmati ketenangan.

Sunday, August 25, 2024

Selamat Hari Kebangsaan ke-67



Selamat Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-67.

Hari ini, kita bersama-sama merayakan hari yang penuh bermakna ini sebagai satu bangsa yang bersatu padu. Kepada anak-anak muda Malaysia, kalian adalah pewaris kepada segala usaha dan pencapaian yang telah dibina oleh generasi terdahulu. Ingatlah bahawa semangat patriotisme dan cinta kepada tanah air adalah asas kepada kemajuan dan kestabilan negara kita.

Sebagai generasi muda, kalian memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan masa depan Malaysia. Gunakanlah peluang ini untuk terus menimba ilmu, mengasah kemahiran dan membina diri menjadi individu yang berwibawa serta berdaya saing. Jadikanlah prinsip integriti, kejujuran dan tanggungjawab sebagai panduan hidup, agar dapat menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negara.

Akhir kata, marilah kita semua terus berpegang kepada prinsip Rukun Negara dan menghargai kepelbagaian budaya serta etnik yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik. Bersama-sama, kita boleh mengukuhkan perpaduan dan mencapai aspirasi kebangsaan yang lebih gemilang. 

Selamat Hari Kebangsaan yang ke-67, Malaysia! Semoga negara kita terus makmur dan sejahtera.