Saturday, May 18, 2024

Selamat Hari Muzium Antarabangsa 2024 | Muzium untuk Pendidikan dan Penyelidikan


Selamat Hari Muzium Antarabangsa.

Hari ini (18 Mei 2024) masyarakat seluruh dunia merayakan kepelbagaian warisan budaya, sains, budaya dan sejarah yang disimpan di dalam muzium. Tema muzium sebagai pusat penyelidikan dan pendidikan memainkan peranan penting dalam mempromosikan pemahaman yang lebih mendalam tentang dunia di sekeliling kita.

Muzium bukan sekadar tempat penyimpanan artifak bersejarah, tetapi juga pusat pengetahuan dan pendidikan dalam masyarakat. Muzium tidak hanya menyajikan fakta dan cerita, tetapi juga memperkenalkan penemuan-penemuan baharu dan menimbulkan pertanyaan-pertanyaan yang menarik minat untuk penyelidikan lebih lanjut.

Sebagai pusat penyelidikan, muzium menyediakan akses kepada sumber-sumber unik yang membolehkan penyelidik dan pelajar untuk menggali lebih dalam bidang-bidang seperti arkeologi, seni, sains alam, kebudayaan dan sejarah. Muzium menyimpan koleksi yang berharga yang membantu mengembangkan pengetahuan manusia dan mempertahankan warisan budaya kita.

Pendidikan adalah aspek penting bagi muzium. Muzium menyediakan pelbagai program pendidikan seperti lawatan, kuliah, seminar dan bengkel yang dirancang untuk memberikan ilmu dan pengetahuan kepada pelajar dari semua peringkat umur. Melalui interaksi langsung dengan artifak, bahan pameran dan panel penerangan, muzium meningkatkan proses pembelajaran dan membantu masyarakat memahami peranan penting budaya dan sejarah dalam membentuk dunia masyarakat.

Oleh itu, pada Hari Muzium Antarabangsa ini, marilah kita menghargai peranan muzium sebagai pusat penyelidikan dan pendidikan yang mempromosikan ilmu pengetahuan, kesedaran dan penghargaan terhadap warisan manusia yang kaya dan pelbagai. Teruslah menyokong muzium-muzium di seluruh dunia dalam usaha mereka untuk menyampaikan pengetahuan, memperkaya serta mempelbagaikan kaedah pembelajaran dan pendidikan kita semua.

Friday, May 17, 2024

Burung Hantu di Sebelah Rumah

Pulang dari kerja semalam, aku berehat di belakang rumah. Aku memang gemar duduk di belakang rumah sambil memerhati dan membelek-belek pokok tumbuh-tumbuhan yang ditanam.

Di belakang rumah terdapat pokok pisang, kelapa pandan, jambu air, cempedak dan bunga kantan. Melihat semua pokok telah dan sedang membuahkan hasil, terasa berbaloi bercucuk tanam.

Sedang duduk-duduk, terlihat pula seekor burung hantu yang bertenggek atas dahan pokok ceri di belakang rumah jiran sebelah. Rumah jiran di sebelah kiri sudah dimiliki tetapi tidak pernah diduduki. Dulu pernah juga tuannya membersihkan rumahnya, tapi sekarang sudah lama tidak berkemas. 

Hadapan dan belakang rumah sudah bersemak. Rumput dan pokok-pokok liar sudah meninggi sehingga ada yang melepasi tembok rumah aku. Sudah menjadi tugas aku mencantas ranting-ranting pokok yang melepasi pagar aku. 

Berbalik pada kisah burung hantu. Aku mengambil peluang merakamkan gambar dan video burung tersebut. Agak lama juga dapat aku merakamkan gambar dan video. Aku lekapkan telefon di tembok sambil menjulur kamera telefon. 

Burung tu pun tidak lari walaupun jarak antara kami tidak jauh. Jadi aku dapat merakamkan beberapa gambar untuk dijadikan modal untuk muat naik ke Facebook dan Blog. Jadi inilah hasil tangkapan gambar burung hantu itu. 











Thursday, May 16, 2024

Selamat Hari Guru 2024 | Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani



Selamat Hari Guru kepada semua guru yang telah berusaha dengan gigih dan penuh dedikasi dalam membentuk masa depan generasi anak-anak muda. Guru tidak hanya mengajar pelajaran di dalam buku tetapi memberi inspirasi, membina karakter dan membuka pintu-pintu ke arah pengetahuan yang lebih luas. Terima kasih kepada semua guru atas sumbangan dan pengorbanan dalam membentuk dunia yang lebih baik melalui pendidikan. Terima kasih cikgu.

Selamat Hari Guru.