Wednesday, May 1, 2024

Selamat Hari Pekerja 2024


Selamat Hari Pekerja kepada semua rakan sekerja dan rakyat seluruh dunia. Setiap usaha dan komitmen yang anda sumbangkan setiap hari sangat dihargai. Ingatlah, kita semua adalah aset berharga dalam menjayakan misi dan visi organisasi. 

Semoga kita terus berjaya dan terus memberi yang terbaik dalam segala yang kita lakukan. Hari ini adalah hari untuk menghargai pencapaian kita serta untuk mengingati nilai penting usaha keras dan kerjasama dalam meningkatkan prestasi diri demi kejayaan dan kebanggaan organisasi. 

Tema Hari Pekerja tahun 2024 ini ialah "Pekerja Kesuma Bangsa". Pemilihan tema ini adalah seiring dengan inisiatif Kerajaan melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama disamping berkompetensi untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu yang merupakan faktor yang akan menentukan daya saing dan kemakmuran masa depan negara.


Selamat Hari Pekerja.

Tuesday, April 23, 2024

Telur Masak Kicap Air Tangan Suami Misali

Alkisah semalam semasa kerja tak sempat makan tengah hari. Perlu ambil anak balik sekolah. Seorang balik 1.00 tengah hari. Seorang lagi balik jam 1.40 petang. Jadi, tak sempat nak makan tengah hari. Perut pun tak berapa lapar sangat masa tu.

Balik dari kerja, orang rumah belum sampai lagi. Perlu tunggu anak yang seorang lagi latihan bola di Akademi Tunas Melaka Tengah. Biasanya selepas margrib baru sampai rumah. Jadi, aku perlu membuat sesuatu untuk mengisi kekosongan di perut. 

Sampai sahaja rumah, aku menyingsing lengan baju. Capai dua biji telur ayam, sebiji bawang besar, setangkai cili merah, dua tangkai cili padi, sebiji limau kasturi dan sebotol kicap manis. Maka terhasillah telur masak kicap. 

Telur masak kicap 


Ini sahaja lauknya. Tapi memang sedap dan menyelerakan. Iyalah, perut sedang lapar, makan apapun amat menyelerakan. Namun, kalau ada sambal lagi bertambah sedap. Lihat sahaja kejadian selepas makan, sampai licin dibuatnya. 😊

Sampai licin dibuatnya


Friday, April 12, 2024

Nasi Lemak Sambal Udang Buat Bekalan ke Pejabat


Hari ini orang rumah sudah siapkan bekal ke pejabat. Bekal nasi lemak. Sambalnya bukan biasa-biasa, sambal udang lagi. Tiga ekor udang bersaiz sederhana, timun tiga hiris dan telur rebus sebiji. Enak rasanya. Memang tak dinafikan bahawa orang rumah aku pandai memasak. Bukan lauk pauk sahaja, kek, roti, biskut raya semua dia pandai memasak.

Kebetulan hari ini orang rumah memasak bagi menjamu rakan-rakan di tempat kerjanya. Jadi dia turut membekalkan aku nasi lemak ini. Bagus juga, awal-awal Syawal ni, kedai tempat aku bersarapan masih tak buka lagi. Jadi tak perlulah aku keluar untuk mencari makanan. 

Aku makan bekalan nasi lemak sambal udang ni dalam jam 10.30 pagi. Lewat sedikit makan. masih kenyang lagi. Maklumlah, musim perayaan ni banyak makan. Makanan malam tadi semasa beraya di rumah Abang Long aku pun belum cukup hadam lagi. pasal tu, pagi-pagi masih belum lapar.