Friday, April 12, 2024

Nasi Lemak Sambal Udang Buat Bekalan ke Pejabat


Hari ini orang rumah sudah siapkan bekal ke pejabat. Bekal nasi lemak. Sambalnya bukan biasa-biasa, sambal udang lagi. Tiga ekor udang bersaiz sederhana, timun tiga hiris dan telur rebus sebiji. Enak rasanya. Memang tak dinafikan bahawa orang rumah aku pandai memasak. Bukan lauk pauk sahaja, kek, roti, biskut raya semua dia pandai memasak.

Kebetulan hari ini orang rumah memasak bagi menjamu rakan-rakan di tempat kerjanya. Jadi dia turut membekalkan aku nasi lemak ini. Bagus juga, awal-awal Syawal ni, kedai tempat aku bersarapan masih tak buka lagi. Jadi tak perlulah aku keluar untuk mencari makanan. 

Aku makan bekalan nasi lemak sambal udang ni dalam jam 10.30 pagi. Lewat sedikit makan. masih kenyang lagi. Maklumlah, musim perayaan ni banyak makan. Makanan malam tadi semasa beraya di rumah Abang Long aku pun belum cukup hadam lagi. pasal tu, pagi-pagi masih belum lapar.

Buah Tembikai Baik Untuk Ubati Penyakit Batu Karang

Pada tahun 2018 dahulu, tidak pernah aku merasa kesakitan pada perut yang amat menyakitkan. Serangan sakit perut berlaku secara tiba-tiba. Ke tandas untuk membuang air besar, tapi tak keluar pula. Bingung aku memikirkannya. Tapi sakitnya hanya tuhan saja yang tahu. Sakitnya terasa dari perut hingga ke belakang pinggang di sebelah kiri.

Kemudian, apabila hendak membuang air kecil pula terasa sukar. Sedikit-sedikit keluar. Akhirnya air kencing bercampur darah. Tidak pekat, tapi jelas kelihatan ia berdarah. 

Akibat tidak dapat menahan kesakitan, aku mengambil keputusan untuk pergi hospital. Aku ke Hospital Pantai yang kebetulan berdekatan dengan rumah aku. Aku juga mempunyai medical card, jadi aku tak perlu risau akan kadar bayarannya.

Sampai di hospital, mendapat rawatan, namun doktor belum mengetahui hal sebenar penyakit aku. Oleh kerana terlalu sakit, doktor telah memberikan suntikan tahan sakit. Reda sedikit rasa sakitnya. Dalam beberapa jam terasa sakit semula, aku meminta agar doktor sekali lagi menyuntik ubat tahan sakit. Sekali lagi aku disuntik bagi melegakan kesakitan. Kali ketiga aku meminta agar disuntik, doktor tidak benarkan kerana telah melebihi dos.

Akhirnya aku dibawa untuk menjalani MRI. Dari situlah doktor mendapat mengesan terdapat batu karang di saluran kencing. Tidak besar manapun, sebesar 4 mm sahaja. Tapi terlalu sakit aku rasakan. Doktor memaklumkan, rasa sakit itu berlaku kerana pergerakkan batu karang tersebut melalui saluran kencing.

Akhirnya aku menjalani operasi laser bagi memecahkan batu karang tersebut. Aku dibius, dalam berapa saat sahaja aku terus tidak sedarkan diri. Sedar-sedar sahaja operasi telah selamat dijalankan dan batu karang sebesar 4 mm tersebut pun telah selamat dikeluarkan. 

Operasi tidak tamat di situ. Doktor telah memasang sten di saluran kencing dan ia perlu dikeluarkan kembali dalam jangka masa seminggu. Selepas operasi laser, apabila hendak membuang air kecil masih sukar dan masih bercampur dengan darah. Itu adalah kesan dari operasi laser yang dijalankan. Namun lama-kelamaan kembali beransur pulih seperti biasa.

Kini di tahun 2024, kira-kira seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu, aku merasakan kesakitan yang sama yang pernah aku lalui. Aku sendiri mengandaikan bahawa terdapat batu karang. Simtomnya hampir sama. Aku ke klinik kesihatan tempat isteriku bertugas, membuat imbasan sinar-X dan ternyata terdapat batu karang. Juga tidak besar. Kecil sahaja. 

Pihak doktor telah mengeluarkan surat agar aku mendapatkan rawatan selanjutnya di hospital. Aku mengambil keputusan ke Hospital Oriental. Tiba di hospital, di kaunter aku telah menyatakan kesakitan yang aku alami. Namun malangnya, doktor yang pakar dalam bidang penyakit batu karang tiada kerana bercuti di luar negara. 

Jadi, aku mengambil keputusan untuk ke klinik swasta sahaja dahulu untuk mengambil ubat kerana kesakitannya masih boleh ditahan lagi. Sakitnya tidak seperti kali pertama yang aku hadapi dahulu. Balik dari klinik aku terus memakan ubat dan alhamdulillah, kesakitan beransur pulih. Sehingga kini tidak lagi berasa sakit. Barangkali ubat pemecah batu karang telah berfungsi dengan baik. Justeru, aku tidak ke hospital.

Menurut doktor, penyakit batu karang boleh berulang. Sesiapa yang pernah mengalaminya, pasti akan berulang pada masa akan datang. Dan ternyata, aku masih mengalaminya walaupun sejak pertama kali, telah 5 tahun ia berlaku.

MINUM JUS BUAH TEMBIKAI

Isteriku mengatakan bahawa, jus atau air buah tembikai sangat baik untuk penyakit batu karang. Kandungan air yang banyak menambah kandungan air dalam badan sekaligus menlancarkan pembuangan air kecil. Masa balik dari klinik, isteri aku telah membeli sebiji buah tembikai, dikisar dan diberi aku minum.

Alhamdulillah, rasa sakit di perut tidak lagi berlaku. namun aku tidak pasti sama ada batu karang tersebut telah keluar bersama air kencing ataupun masih berada di saluran kencing. Tapi rasa sakit tiada lagi.

Satu lagi petua untuk menghindari penyakit batu karang ialah meminum air kosong secukupnya dalam sehari. Aku tak pastilah sama ada badan aku kurang air atau tidak. Seingat aku, banyak juga aku minum air putih. Biasa juga bawa air kosong ke pejabat.




Berikut aku sertakan sedikit maklumat berkaitan penyakit batu karang untuk sama-sama kita mengetahui dan menghidari diri dari dijangkitinya.

BATU KARANG

Pemendapan zat kimia dalam air kencing boleh membentuk kristal apabila berlaku dalam keadaan tertentu. Kristal-kristal ini terhasil daripada zat-zat yang sepatutnya larut, tetapi akhirnya menjadi nydus (punat) jika tidak dikeluarkan. Nydus yang terbentuk ini boleh menyebabkan penyakit batu karang apabila tidak dikeluarkan dan bahan-bahan lain bertompok di atasnya. 

Batu karang biasanya terbentuk daripada campuran zat kalsium, magnesium, fosfat dan lain-lain, dengan perbezaan komposisi menyebabkan ciri-ciri yang berbeza pada setiap batu. Walau bagaimanapun, batu karang yang terhasil daripada asid urik mungkin tidak dapat dikesan melalui sinar X. Kebanyakan batu karang terbentuk dalam ureter dan saluran buah pinggang.

BAGAIMANA BATU KARANG TERJADI

Batu karang terbentuk disebabkan oleh ketidaksempurnaan aliran saluran kencing manusia yang menyebabkan mendapan bahan-bahan seperti kapur dan magnesium yang kemudiannya membentuk kristal. Ini boleh berlaku kepada individu yang lumpuh atau yang mengalami masalah saluran kencing yang sempit. Pengambilan makanan yang kaya dengan bahan kimia, terutamanya dari makanan laut, serta kegagalan buah pinggang untuk berfungsi dengan baik akan mempercepatkan pembentukan batu karang. Metabolisme dan pengeluaran asid urik yang berlebihan dalam tubuh juga turut menyumbang kepada terjadinya penyakit batu karang.

Jangkitan kuman semasa kanak-kanak juga boleh menyebabkan pembentukan batu karang apabila nanah yang dihasilkan mengeras dan membentuk nydus di buah pinggang dan ureter. Individu yang tinggal di kawasan pantai berisiko tinggi terhadap penyakit ini kerana kesukaran untuk mendapat air bersih dan pemakanan yang tidak seimbang. Jangkitan parasit atau cacing dalam pundi kencing juga boleh menyebabkan penyakit batu karang.

JENIS-JENIS BATU KARANG

Penyakit Batu Karang boleh di kategorikan kepada empat jenis iaitu :

i. Calsium Oxalate
ii. Calsium Phosphate
iii. Batu Karang Asid Urik
iv. Cystin

PENCEGAHAN

Bagi individu yang pernah mengalami penyakit ini, terdapat risiko untuk menghidapinya semula di masa akan datang kerana sifatnya yang berulang-ulang. Oleh itu, kesembuhan sepenuhnya agak sukar dicapai. Walau bagaimanapun, langkah-langkah untuk mencegah pembentukan batu karang boleh diambil dengan menjaga pemakanan dan minuman. 

Disarankan agar individu yang pernah mengalami penyakit ini minum sekurang-kurangnya satu setengah liter air setiap hari, terutamanya pada waktu malam. Elakkan pengambilan makanan seperti daging merah, makanan laut dan makanan yang mengandungi asid urik yang tinggi. Sekiranya terdapat tanda-tanda penyakit, adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pakar.

PENGESANAN PENYAKIT BATU KARANG

Untuk mengesan penyakit batu karang, pemeriksaan fizikal oleh pakar diperlukan, serta ujian air kencing dan darah. Ujian Ultra Sound membantu mengesan batu karang terutama apabila buah pinggang bengkak, sementara ujian intravenusurography memberikan maklumat lebih terperinci mengenai batu karang.

TANDA-TANDA PENYAKIT BATU KARANG

Biasanya, pesakit akan merasakan sakit di bahagian abdomen, terutamanya di sisi kanan dan kiri pinggang. Bagi mengenal pasti sama ada seseorang menghidap penyakit batu karang, perhatian diberikan kepada tanda-tanda seperti berikut :

✅Rasa sakit seperti berdenyut, berat dan melilit di bahagian tersebut, sering kali sangat menyakitkan
✅Rasa loya, mahu muntah, dan berpeluh banyak
✅Serangan tiba-tiba
✅Masalah dalam membuang air kecil (bergantung pada lokasi batu karang)
✅Air kencing berdarah

Pada tahap yang lebih serius, jangkitan bakteria mungkin berlaku, menyebabkan demam, menggigil dan sakit apabila disentuh. Kesan ini biasanya disertai dengan nanah, menunjukkan jangkitan yang teruk. Dalam keadaan tertentu, air kencing mungkin berbaur dengan nanah.

Dalam keadaan kronik, pesakit yang mencari rawatan mungkin mengalami gejala kegagalan buah pinggang, termasuk kelemahan badan, kulit pucat akibat kekurangan darah dan pembengkakan wajah serta kulit kering. Walau bagaimanapun, kesakitan atau tanda-tanda yang dikenal pasti bergantung kepada : 

✅Lokasi pembentukan batu karang, sama ada di saluran kencing atau buah pinggang
✅Saiz batu karang, kecil atau besar, memainkan peranan
✅Keadaan kesihatan dan usia pesakit, dengan kecenderungan penyakit batu karang lebih tinggi pada individu berusia 25 tahun ke atas
✅Jenis batu karang yang terbentuk

Baca lebih lanjut di laman sesawang : JKN Perlis

Peralatan dan Bahan Penyeksaan Zaman Pemerintahan Belanda di Melaka Mengikut Catatan Abdullah Munsyi (Munshi Abdullah)

Alang-alang sedang mentelaah buku Hikayat Abdullah yang dikarang oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau kini dikenali sebagai Munshi Abdullah, elok rasanya aku catatkan juga maklumat-maklumat penting yang agar aku mengingati dan berkongsikan kepada rakan-rakan yang sudi membacanya.

Abdullah Munsyi



Sedang aku membaca, suka pula aku ingin kongsikan maklumat berkaitan peralatan dan bahan penyeksaan zaman pemerintahan Belanda di Melaka Mengikut Catatan Abdullah Munsyi. Peralatan dan bahan ini di lokasi yang aku percaya dan yakin kini terdapat di sekitar bangunan Stadthuys (Bangunan Merah) di Banda Hilir, Melaka. 

Mengikut pemahaman aku, berikut adalah antara peralatan dan bahan tersebut, yang di mana jelas dicatatkan oleh Munshi Abdullah dalam bukunya iaitu :

1. Penjara

Disebut oleh orang Melaka sebagai Miskurdi atau di dalam bahasa Portugis disebut sebagai Misericordia yang bermaksud tempat kasihan. 

2. Terungku/ Terungku Gelap

Ia merupakan tempat memasung pesalah yang melakukan kesalahan besar. Terungku ini dicatatkan sebagai sebuah kurungan yang gelap gelita.

3. Teratu

Digambar sebuah bangku tempat meletakkan pesalah. Di bangku tersebut sendi-sendi pesalah akan dipecahkan, kemudian pesalah tersebut akan digantung di Pulau Jawa.

* Pulau Jawa dimaksudkan bukanlah di Kepulauan Jawa yang kini beradada di Indonesia. Pulau Jawa merupakan sebuah pulau kecil di perairan Melaka yang kini telah ditambak dan dijenamakan sebagai Pulau Melaka.

4. Cap Besi

Cap besi merupakan sejenis peralatan yang digunakan untuk mengecap kepada anggota badan pesalah (tidak tahu di bahagian mana. Munshi menyebutnya di sebelah "tamparan nyamuk", mungkin di telapak tangan). Cap besi akan dipanaskan sehingga berwarna kemerah-merahan dan dicap kepada pesalah, kemudian barulah pesalah tersebut dirantai. 

5.  Tempat Kujut

Tempat gantungan pesalah. Dalam istilah Bahasa Melayu, kujut boleh ditakrifkan sebagai tempat gantungan atau mengikat pesalah. Kemungkinan tempat kujut ini adalah tempat mengantung pesalah seperti tali gantung atau sekadar tempat mengikat pesalah sahaja.

6. Pipa

Pipa adalah paip. Paip yang dimaksudkan ini ialah sebuah paip yang besar di mana boleh  memuatkan seorang pesalah. Di dalam paip ini terdapat paku-paku di dalamnya. Pesalah akan dimasukkan ke dalam paip dan paip akan digolekkan di sekeliling negeri. Badan pesalah akan hancur dengan penyeksaan seperti ini.

Begitulah antara perlatan dan bahan penyeksaan di zaman pemerintahan Belanda di Melaka. Apabila dibayangkan, kelihatan terdapat unsur kekejaman di situ. Mungkin pemerintah Belanda ingin menunjukkan kekuasaan dan mencegah daripada rakyat Melaka dari membuat khianat kepada pihak mereka.