Wednesday, April 10, 2024

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1445H



Selamat Hari Raya Aidilfitri. 

Di saat ini yang penuh dengan kegembiraan dan keberkatan, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua saudara dan sahabat handai yang mengenali diri ini. Semoga kita semua dapat menyambut hari yang mulia ini dengan hati yang penuh dengan kasih sayang dan kegembiraan.

Semoga setiap langkah kita di bulan Ramadan yang lalu mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah SWT. Mari kita ambil peluang ini untuk mempererat silaturahim dan memperbaiki hubungan dengan sesama manusia.

Saya berharap agar kegembiraan Hari Raya Aidilfitri membawa kebahagiaan yang berkekalan kepada kita semua. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin dari saya dan keluarga. Semoga kita semua dapat merayakan hari yang suci ini dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan. 

Taqabbalallahu Minna Wa Minkum.

Tuesday, April 9, 2024

Mengeringkan Pakaian di Kedai Dobi di Petang Raya

Minggu yang amat memenatkan. Masih mengemas rumah. Tiga buah rumah. Dua rumah yang aku sewa dan sebuah rumah iaitu rumah aku yang telah siap dibaikpulih akibat kebakaran dahulu. 




Proses nak angkut mengangkut dari rumah ke rumah memang cukup memenatkan. Apatah lagi di bulan puasa. 

Pakaian pun banyak yang belum terurus. Apabila telah angkut mesin basuh ke rumah, baru membasuh pakaian. Ampaian pula tidak besar mana, jadi terpaksa ke kedai dobi untuk mengeringkan pakaian. 

Buat masa ni, cukup 2 bakul dahulu. Nanti-nanti boleh sambung. Sekarang yang penting nak balik ke rumah mak untuk tolong apa yang patut.

Buat masa ni, rumah yang baru diperbaiki tu masih dalam keadaan tidak tersusun lagi. Pinggan mangkuk, almari, katil dan lain-lain belum disusun dengan sempurna. 

Langsir pun baru nak dipasang semula. Isteri aku yang jahit sendiri. Tugas aku pula, memasang railing langsir, fuh! Mencabar sungguh nak menebuk lubang menggunakan drill. Itupun belum siap lagi. Keras sangat dindingnya. 

Sunday, April 7, 2024

Ubi Kayu Pengganti Nasi



Memang tak dinafikan bahawa ubi kayu sedap dimakan. Ubi kayu jika direbus dicicah dengan sambal tumis atau kelapa parut memang lazat. Makanan tradisi ini memang disukai oleh generasi terdahulu dan juga generasi kini.
Jika diimbau kembali di zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, orang-orang dahulu memang kekurangan beras dan terpaksa memakan ubi kayu untuk kelangsungan hidup. Itu dahulu, masa zaman sukar. 

Kini, beras ada di sana sini. Cuma harganya yang berbeza. Ada yang mahal, ada yang murah ikut gred dan jenis beras seperti beras tempatan, beras import, basmati dan lain-lain.

Nasi sudah menjadi makanan ruji rakyat Malaysia. Jika hendak ditukarkan kepada makan ubi kayu untuk mendapatkan karbohidrat agak sukar kerana ia sudah lama sebati dalam diri masyarakat. Bukan sahaja orang Melayu, kaum Cina dan India juga memakan nasi.

Aku secara peribadi, suka juga memakan ubi kayu rebus. Tapi bukan sebagai makanan utama, sekadar makanan minum petang. Bolehlah menjamah 2,3 ketul. Tak boleh lebih-lebih, nanti angin satu badan. Asyik sendawa saja nanti. Nasib tak baik boleh tangkap di kepala. Berat saja kepala.

Jadi, bukan semua orang boleh makan ubi kayu. Lebih-lebih lagi jika nak dijadikan makanan ruji. Kalian bagaimana?