Friday, April 12, 2024

Peralatan dan Bahan Penyeksaan Zaman Pemerintahan Belanda di Melaka Mengikut Catatan Abdullah Munsyi (Munshi Abdullah)

Alang-alang sedang mentelaah buku Hikayat Abdullah yang dikarang oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau kini dikenali sebagai Munshi Abdullah, elok rasanya aku catatkan juga maklumat-maklumat penting yang agar aku mengingati dan berkongsikan kepada rakan-rakan yang sudi membacanya.

Abdullah Munsyi



Sedang aku membaca, suka pula aku ingin kongsikan maklumat berkaitan peralatan dan bahan penyeksaan zaman pemerintahan Belanda di Melaka Mengikut Catatan Abdullah Munsyi. Peralatan dan bahan ini di lokasi yang aku percaya dan yakin kini terdapat di sekitar bangunan Stadthuys (Bangunan Merah) di Banda Hilir, Melaka. 

Mengikut pemahaman aku, berikut adalah antara peralatan dan bahan tersebut, yang di mana jelas dicatatkan oleh Munshi Abdullah dalam bukunya iaitu :

1. Penjara

Disebut oleh orang Melaka sebagai Miskurdi atau di dalam bahasa Portugis disebut sebagai Misericordia yang bermaksud tempat kasihan. 

2. Terungku/ Terungku Gelap

Ia merupakan tempat memasung pesalah yang melakukan kesalahan besar. Terungku ini dicatatkan sebagai sebuah kurungan yang gelap gelita.

3. Teratu

Digambar sebuah bangku tempat meletakkan pesalah. Di bangku tersebut sendi-sendi pesalah akan dipecahkan, kemudian pesalah tersebut akan digantung di Pulau Jawa.

* Pulau Jawa dimaksudkan bukanlah di Kepulauan Jawa yang kini beradada di Indonesia. Pulau Jawa merupakan sebuah pulau kecil di perairan Melaka yang kini telah ditambak dan dijenamakan sebagai Pulau Melaka.

4. Cap Besi

Cap besi merupakan sejenis peralatan yang digunakan untuk mengecap kepada anggota badan pesalah (tidak tahu di bahagian mana. Munshi menyebutnya di sebelah "tamparan nyamuk", mungkin di telapak tangan). Cap besi akan dipanaskan sehingga berwarna kemerah-merahan dan dicap kepada pesalah, kemudian barulah pesalah tersebut dirantai. 

5.  Tempat Kujut

Tempat gantungan pesalah. Dalam istilah Bahasa Melayu, kujut boleh ditakrifkan sebagai tempat gantungan atau mengikat pesalah. Kemungkinan tempat kujut ini adalah tempat mengantung pesalah seperti tali gantung atau sekadar tempat mengikat pesalah sahaja.

6. Pipa

Pipa adalah paip. Paip yang dimaksudkan ini ialah sebuah paip yang besar di mana boleh  memuatkan seorang pesalah. Di dalam paip ini terdapat paku-paku di dalamnya. Pesalah akan dimasukkan ke dalam paip dan paip akan digolekkan di sekeliling negeri. Badan pesalah akan hancur dengan penyeksaan seperti ini.

Begitulah antara perlatan dan bahan penyeksaan di zaman pemerintahan Belanda di Melaka. Apabila dibayangkan, kelihatan terdapat unsur kekejaman di situ. Mungkin pemerintah Belanda ingin menunjukkan kekuasaan dan mencegah daripada rakyat Melaka dari membuat khianat kepada pihak mereka.

Wednesday, April 10, 2024

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1445H



Selamat Hari Raya Aidilfitri. 

Di saat ini yang penuh dengan kegembiraan dan keberkatan, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua saudara dan sahabat handai yang mengenali diri ini. Semoga kita semua dapat menyambut hari yang mulia ini dengan hati yang penuh dengan kasih sayang dan kegembiraan.

Semoga setiap langkah kita di bulan Ramadan yang lalu mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah SWT. Mari kita ambil peluang ini untuk mempererat silaturahim dan memperbaiki hubungan dengan sesama manusia.

Saya berharap agar kegembiraan Hari Raya Aidilfitri membawa kebahagiaan yang berkekalan kepada kita semua. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin dari saya dan keluarga. Semoga kita semua dapat merayakan hari yang suci ini dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan. 

Taqabbalallahu Minna Wa Minkum.

Tuesday, April 9, 2024

Mengeringkan Pakaian di Kedai Dobi di Petang Raya

Minggu yang amat memenatkan. Masih mengemas rumah. Tiga buah rumah. Dua rumah yang aku sewa dan sebuah rumah iaitu rumah aku yang telah siap dibaikpulih akibat kebakaran dahulu. 




Proses nak angkut mengangkut dari rumah ke rumah memang cukup memenatkan. Apatah lagi di bulan puasa. 

Pakaian pun banyak yang belum terurus. Apabila telah angkut mesin basuh ke rumah, baru membasuh pakaian. Ampaian pula tidak besar mana, jadi terpaksa ke kedai dobi untuk mengeringkan pakaian. 

Buat masa ni, cukup 2 bakul dahulu. Nanti-nanti boleh sambung. Sekarang yang penting nak balik ke rumah mak untuk tolong apa yang patut.

Buat masa ni, rumah yang baru diperbaiki tu masih dalam keadaan tidak tersusun lagi. Pinggan mangkuk, almari, katil dan lain-lain belum disusun dengan sempurna. 

Langsir pun baru nak dipasang semula. Isteri aku yang jahit sendiri. Tugas aku pula, memasang railing langsir, fuh! Mencabar sungguh nak menebuk lubang menggunakan drill. Itupun belum siap lagi. Keras sangat dindingnya.