Sunday, April 7, 2024

Ubi Kayu Pengganti Nasi



Memang tak dinafikan bahawa ubi kayu sedap dimakan. Ubi kayu jika direbus dicicah dengan sambal tumis atau kelapa parut memang lazat. Makanan tradisi ini memang disukai oleh generasi terdahulu dan juga generasi kini.
Jika diimbau kembali di zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, orang-orang dahulu memang kekurangan beras dan terpaksa memakan ubi kayu untuk kelangsungan hidup. Itu dahulu, masa zaman sukar. 

Kini, beras ada di sana sini. Cuma harganya yang berbeza. Ada yang mahal, ada yang murah ikut gred dan jenis beras seperti beras tempatan, beras import, basmati dan lain-lain.

Nasi sudah menjadi makanan ruji rakyat Malaysia. Jika hendak ditukarkan kepada makan ubi kayu untuk mendapatkan karbohidrat agak sukar kerana ia sudah lama sebati dalam diri masyarakat. Bukan sahaja orang Melayu, kaum Cina dan India juga memakan nasi.

Aku secara peribadi, suka juga memakan ubi kayu rebus. Tapi bukan sebagai makanan utama, sekadar makanan minum petang. Bolehlah menjamah 2,3 ketul. Tak boleh lebih-lebih, nanti angin satu badan. Asyik sendawa saja nanti. Nasib tak baik boleh tangkap di kepala. Berat saja kepala.

Jadi, bukan semua orang boleh makan ubi kayu. Lebih-lebih lagi jika nak dijadikan makanan ruji. Kalian bagaimana? 

Malam Tujuh Likur Dalam Masyarakat Melayu



Malam 7 likur merupakan tradisi masyarakat Melayu pada 10 malam terakhir Ramadan. Malam 7 likur lazimnya jatuh pada malam ke-27. 

Pada malam tersebut, mereka memeriahkan persiapan raya dengan menyalakan pelita di halaman rumah dan bersama-sama sanak-saudara dan jiran tetangga melakukan aktiviti seperti membuat dodol, wajik, bermain bunga api dan mercun. 

Pemasangan pelita juga dikatakan membantu orang pulang ke rumah selepas beribadah di masjid atau surau kerana ramai yang pulang lewat dari masjid pada malam-malam terakhir Ramadan untuk beribadah di rumah Allah SWT.

Namun, terdapat kepercayaan yang tidak berasas bahawa pelita dipasang untuk memudahkan malaikat melihat jalan ke rumah atau membantu roh si mati pulang ke rumah. Walau bagaimanapun, kisah dan kepercayaan ini tidak mempunyai asas dalil yang kukuh dan dikategorikan sebagai karut.

Thursday, April 4, 2024

Surah al-Qadr Mengenai Lailatulqadar



Surah al-Qadr 

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar.

2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?

3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

4. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut;

5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

*****

Malam ini 25 Ramadan.
Malam ini malam ganjil. 
Malam ini malam Jumaat.
Malam ini Jumaat terakhir di bulan Ramadan
Malam ini 10 Ramadan terakhir. 
Andai malam ini Lailatulqadar, jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja.
Mari sama-sama memperbanyakkan amal ibadat. 

Insya Allah.