Tuesday, March 12, 2024

Orang Melaka Tak Cakap Macam Tu!

Sekarang tular di media sosial video berkaitan penggunaan loghat atau dialek negeri. Semua rakyat di negeri nak tonjolkan cara percakapan masing-masing termasuklah negeriku Melaka.

Gambar sekadar hiasan. Siapa bilang gadis Melayu tak menawan. 


Apabila lihat video tersebut, rasa malu aku mengaku aku ni orang Melaka. Manalah ada orang Melaka bercakap macam tu. Bercakap kasar, terpekik-pekik, memaki-maki tak tentu pasal. Yang melakonkan video tu pula kebanyakannya perempuan. Malulah sedikit. 

Aku sendiri pun tak tahu, memang wujud ke orang Melaka bercakap sedemikian. Bagi keluarga dan sanak saudara aku, alhamdulillah, tiada pun bertutur kata sebegitu rupa.

Lagi aku tak suka apabila ada yang mengatakan, cakap saja kasar, tapi hati baik. Sebenarnya pertuturan dan hati perlu seiring. Pertuturan baik, Insya-Allah hati pun baik, sebaliknya apabila pertuturan buruk, pastinya hati pun buruk. Wallahuaklam. 

Selamat Menyambut Bulan Ramadan al-Mubarak dan Selamat Berpuasa


Bulan suci Ramadan al-Mubarak kembali tiba, membawa keberkahan dan keberkatan kepada kita semua. Selamat menyambut bulan yang penuh keberkahan ini dan semoga amalan ibadah dan puasa kita diterima oleh Allah SWT.

Dalam bulan yang penuh keberkahan ini, mari kita memperkukuhkan ikatan dengan Allah SWT melalui amalan kebajikan, doa dan tadarus al-Quran serta lain-lain kebaikan yang dituntut Islam. Semoga setiap amalan puasa kita menjadi jalan menuju kebaikan dan ketakwaan.

Saya juga ingin memohon maaf jika terdapat kata, penulisan atau perbuatan yang mungkin menyinggung perasaan. Semoga kita dapat menjalani bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan dan mendapatkan keampunan dari-Nya. Selamat berpuasa kepada seluruh saudara Muslim seluruh dunia.

Puasa tau.. Jangan tak puasa. 

Saturday, March 9, 2024

Bagaimana Aku Boleh Sampai ke Berlin, Jerman?


29 Februari 2024 pada hari Khamis di tahun lompat, tatkala jam menunjukkan pukul 4.56 petang aku mendapat pesanan mesej dari aplikasi whatsapp. Pengurus Besar lama aku yang mesej.

"Salam" 

"Waalaikumussalam WBT. Ya bos"

"Saya cadang kat Pengurus Besar, kau wakil jabatan ke Berlin. Jangan tolak pulak."

Begitulah bunyi perbualan kami di whatsapp. Masa dapat mesej diarahkan ke Berlin, ligat berputar di pemikiran aku untuk memberi alasan untuk tidak ikuti tugasan ini. 

Memikirkan anak yang akan mula bersekolah, nak mula berpuasa Ramadan dan masanya juga agak lama iaitu bermula 3 Mac hingga 10 Mac 2024.

Telah aku menghantar mesej kepada Pengurus Besar untuk tidak sertai tugasan di Berlin dengan memberi alasan-alasan tertentu. Akan tetapi beliau tetap mengarahkan aku pergi. Jadi, aku akur dan turuti sahaja arahan yang telah diberikan. 

Seperti biasa, masa nak memberitahu kepada isteri merupakan suatu yang sukar. Dia pasti tak setuju dengan pemergian aku ke luar negara dengan waktu yang lama.

Namun setelah berbincang baik-baik akhirnya isteriku akur juga walaupun aku tahu hatinya agak kurang senang dengan situasi ini. Iyalah, bukannya sekejap, tapi lama. Nak uruskan 5 orang anak dan 4 orang bakal memulakan musim persekolahan baharu. 

Tujuan aku ke Berlin adalah untuk menyertai misi dagangan ITB di Messe, Berlin bermula 5 hingga 7 Mac 2024. Ia merupakan pameran produk pelancongan berkonsepkan business to business. 
 
Pameran dagangan terbesar ini menghimpunkan hampir seluruh dunia tourism players antaranya dari Eropah, negara-negara Arab, Asia, Amerika Latin dan lain-lain. Pameran dagangan ini diadakan pada setiap tahun.