Thursday, February 8, 2024

Salam Isra' Mi'raj



Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Al-Isra : 1

Assalamualaikum WBT. 

Salam Isra' Mi'raj diucapkan kepada semua. Semua peristiwa Isra' Mi'raj ini meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT dan yakin serta bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW. adalah pesuruh Allah SWT. 

Tuesday, February 6, 2024

Review Hotel : Shahzan Hotel, Kuantan, Pahang

Kira-kira jam di tangan menunjukkan angka 2.30 petang, aku selamat sampai di bandar Kuantan, Pahang Darul Makmur. Aku bertolak dari Melaka kira-kira jam 9.30 pagi. Aku menaiki kenderaan jabatan, sebuah Proton Perdana yang dibawa oleh pemandu jabatan.

Tujuan aku ke Kuantan, Pahang bukanlah untuk bercuti. Tetapi untuk mengikuti sebuah program iaitu kolukium anjuran Muzium Pahang. Kolukium ini diadakan selama dua hari bermula 7 hingga 8 Februari 2024. Jadi, aku datang awal sehari memandangkan Melaka dan Pahang bukanlah dekat.

Kali ini Muzium Pahang mengadakan kolukium bertajuk "Daulat Tuanku : Kepimpinan Tradisional Dalam Institusi Kesultanan Melayu". Melihat kepada senarai tajuk dan para pembentang, ia bakal menjadi sebuah kolukium yang penuh berilmu dan bermanfaat bagi aku secara peribadi.

Tidak mahu aku mengulas lebih lanjut mengenai kolukium ini. Mungkin setelah selesai nanti baru boleh aku membuat post yang baharu untuk menceritakan hal kolukium tersebut.

Hari ini aku sekadar untuk mengulas hal penginapan hotel yang aku duduki di Kuantan iaitu Hotel Shahzan. Ketika menulis post ini, aku sedang berbaring di atas katil sambil menaip di telefon bimbit.

Hotel ini dikategorikan sebagai hotel 3 bintang. Biliknya tidak besar tapi tidak juga terlalu kecil. Bolehlah buat untuk menumpang tidur semalam dua. Cuma bilik airnya agak kecil. 

Mungiin hotel ini merupakan hotel lama, nampak kesan-kesan keuzuran pada perabot-perabot di dalamnya. Jubin atau seramik di dalam bilik air juga tidak kelihatan kemas. Dari aspek kebersihan, jika diberi markah skala 5, aku memberinya pada skala 3 kerana terdapat kesan kotoran yang tidak dibersihkan di celah-celah katil dan perabot.

Penghawa dingin pula agak mengecewakan. Kurang dingin. Aku fikirkan baru masuk dan buka jadi kurang sejuk, tapi apabila sudah lama berada di dalam bilik, masih kurang sejuk.

Namun, aku tidaklah mahu komen yang buruk-buruk sangat. Janji ia selamat dan boleh tidur dengan selesa, ia sudah cukup baik bagiku. Untuk tinggal sebentar untuk mengikuti acara mungkin agak berbaloi, namun jika hendak berbulan madu atau bercuti bersama keluarga, ini bukan pilihan aku.

Katil bujang memuatkan aku dan pemandu jabatan 



Pemandangan di luar. Tempat kolukium bawah situ sahaja. Boleh berjalan kaki 

Bilik air yang sedikit kecil. Nak angkat gambar keseluruhan pun payah 


Ada televisyen dan perabot yang ringkas 

Kolam mandi juga ada. 

Monday, January 29, 2024

Menukil Pantun Untuk Muzium

Gambar sekadar hiasan

Alkisahnya pagi tadi terima pesanan whatsapp dari bos. Beliau meminta aku untuk mencipta pantun untuk muzium. Pantun-pantun yang diminta dibuat ini adalah untuk dipaparkan di pintu masuk muzium-muzium. Pantun-pantun yang perlu dibuat adalah bertemakan muzium tersebut dan mengalu-alukan kehadiran pelawat.

Jadi, disebabkan tiada kerja-kerja yang terlalu segera yang perlu dilaksanakan, aku meluangkan sedikit masa untuk menukil beberapa pantun seperti yang terdapat di bawah ini :

Pantun untuk Muzium Samudera (replika Kapal Flor De La Mar)

Mari dimakan sirih puan,
sirih dipetik si anak mami;
selamat datang tuan puan,
menjadi tetamu muzium kami.

Burung camar di pohon mangga,
datang helang menjadi teman;
Flor De La Mar bukan dibangga,
sekadar menginsafi dijadi pedoman.

Pantun untuk Muzium Istana Kesultanan Melaka

Menguntum manis senyuman si dara,
datang teruna ingin bersua;
jemput masuk saudari saudara,
salam hormat untuk semua.

Nun di sana dusun buah-buahan,
pohon nangka dinaiki dedalu;
Muzium Istana simbol kemegahan,
Empayar Melaka di masa lalu.

Pantun untuk Muzium Sejarah Melaka

Anak muda turun ke bendang,
menuai padi bersama petani;
hadir kalian dijemput diundang,
penyeri muzium kami ini.

Mari ziarah teratak bonda,
tinggalkan duka biar berlalu;
bangunan Stadthuys tinggalan Belanda,
rekonstruksi Melaka masa dahulu.