Saturday, January 13, 2024

Giveaway Perfume SR


Hari ni aku kemas kini entri blog dengan hanya menyertai pemberian percuma (giveaway). Pagi tadi sudah sertai segmen pemberian percuma dari Cuya, malam ini pula sekali lagi meluangkan masa untuk menyertai pemberian percuma dari Syazni Rahim pula.

Bagi yang berminat untuk menyertai pemberian percuma ini, silalah klik pada gambar poster di atas. 

Selamat bersegmen semua dan moga berjaya. 

Giveaway Sampul Raya Rare 2024


Lama rasanya tidak menyertai pemberian percuma (giveaway). Hari ini aku cuba meluangkan sedikit masa untuk membuat entri untuk menyertai giveaway ini. Bukan apa, si Cuya ni sudah menjemput, lalu tak sanggup rasanya untuk tidak menghiraukan jemputan ini.

Kali ni si Cuya membuat giveaway sampul surat raya pula. Menarik. Raya pun bakal menjelma tidak lama lagi. Jadi, bagus kiranya aku mencuba nasib. Manalah tahu, untuk sabut timbul, untung batu tenggelam.

Melihat kepada sampul-sampul surat yang bakal dimenangi, kelihatan menarik. Reka bentuknya boleh membuatkan bakal penerima duit raya gembira menerimanya.

Justeru, jomlah sama-sama rakan bloggers menyokong giveaway yang dianjurkan oleh SI Cuya ini. Jika ingin menyertainya, silalah klik pada poster promosi di atas.

Thursday, January 11, 2024

Bukit Melaka



Kerajaan Negeri Melaka bersetuju untuk menamakan kembali Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka yang dipercayai sebagai nama asal bukit ini. Nama Bukit Melaka telah digunakan dalam penulisan-penulisan Barat pada era penjajahan dan juga sarjana-sarjana di Malaysia selepas zaman kemerdekaan negara sehingga kini.

Apabila disingkap kembali kepada penulisan-penulisan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, tiada sebarang penggunaan nama sama ada Bukit Melaka atau Bukit St. Paul yang dicatat oleh para pelayar dari China, Arab mahupun Barat yang datang mengunjungi Melaka. Namun begitu, di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi A. Samad Ahmad telah mencatatkan nama Bukit Melaka pada kisah Sultan Alau'd-Din Riayat Syah bersama Hang Isap pergi mengejar pencuri. Gambaran yang dicatatkan melalui kisah ini dilihat selari dengan keadaan semasa kawasan persekitaran bukit ini yang merangkumi kompleks istana, bukit, sungai dan jambatan sepertimana lakaran dan gambar dari sumber Barat terhadap bukit ini.

Begitu juga semasa zaman penjajah Portugis, tiada penggunaan nama Bukit St. Paul ke atas bukit ini. Pada ketika itu, bukit ini dikenali dengan beberapa nama seperti Nossa Senhora do Oiteiro (Our Lady of the Hill), Monte Dalimaria (The Hill of Animals) dan lain-lainnya atau dikenali sebagai bukit sahaja. Nama St. Paul hanya disebut pada sekitar tahun 1620-an dengan merujuk kepada tempat kediaman Persatuan Jesus (College of the Jesuits) namun ia bukanlah sebuah gereja.

Akan tetapi, terdapat juga sebutan the Hill of Malaca dicatat oleh Alfonso de Albuquerque dan Tome Pires manakala Godinho de Eredia, seorang ahli kartografi telah melakarkan peta menunjukkan Buquet Malaca iaitu kawasan pentadbiran Melaka sejak zaman Parameswara di mana jika dilihat pada lakarannya, adalah selari dengan kawasan sekitar di bukit ini.

Terdapat catatan Belanda menyatakan bahawa gereja di atas bukit ini adalah gereja St. Paul sedangkan sebenarnya nama St. Paul hanyalah sebuah kediaman bagi Persatuan Jesus (College of the Jesuits). Kesilapan menamakan gereja di atas bukit ini sebagai gereja St. Paul dikesan semasa Belanda mula menguasai Melaka walaupun terdapat perbezaan dalam mazhab antara Katolik dan Protestan. Namun begitu pihak Belanda tetap menamakan gereja tersebut sebagai Gereja St. Paul meskipun hanya digunakan pada hari-hari perayaan sahaja.

Sekitar tahun 1753, aktiviti keagamaan tidak lagi dijalankan di gereja St. Paul dan ianya telah digunakan sebagai kawasan perkuburan dan kekal sehingga kini. Justeru, nama Bukit St. Paul berkemungkinan bermula pada era penjajahan Belanda di Melaka bersempena nama gereja ini.

Berdasarkan catatan-catatan yang telah dinyatakan oleh penulis tempatan dan Barat serta lakaran oleh De Eredia, maka terdapat hipotesis kewujudan Bukit Melaka zaman Kesultanan Melayu Melaka serta lokasinya adalah di bukit ini. Malah, telah banyak penulisan-penulisan sarjana tempatan masa kini sama ada dalam bentuk buku ataupun artikel yang menulis nama bukit ini sebagai Bukit Melaka.

Mengambil semangat untuk mengembalikan nama-nama berunsur penjajahan ke Bahasa Malaysia, menanam sikap patriotik antara rakyat serta menyemai semangat cintakan tanah air serta berdasarkan catatan-catatan yang telah dijelaskan maka bukit yang dahulunya dikenali sebagai Bukit St. Paul kini dinamakan sebagai Bukit Melaka.

Baca juga :