Saturday, January 13, 2024

Giveaway Sampul Raya Rare 2024


Lama rasanya tidak menyertai pemberian percuma (giveaway). Hari ini aku cuba meluangkan sedikit masa untuk membuat entri untuk menyertai giveaway ini. Bukan apa, si Cuya ni sudah menjemput, lalu tak sanggup rasanya untuk tidak menghiraukan jemputan ini.

Kali ni si Cuya membuat giveaway sampul surat raya pula. Menarik. Raya pun bakal menjelma tidak lama lagi. Jadi, bagus kiranya aku mencuba nasib. Manalah tahu, untuk sabut timbul, untung batu tenggelam.

Melihat kepada sampul-sampul surat yang bakal dimenangi, kelihatan menarik. Reka bentuknya boleh membuatkan bakal penerima duit raya gembira menerimanya.

Justeru, jomlah sama-sama rakan bloggers menyokong giveaway yang dianjurkan oleh SI Cuya ini. Jika ingin menyertainya, silalah klik pada poster promosi di atas.

Thursday, January 11, 2024

Bukit Melaka



Kerajaan Negeri Melaka bersetuju untuk menamakan kembali Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka yang dipercayai sebagai nama asal bukit ini. Nama Bukit Melaka telah digunakan dalam penulisan-penulisan Barat pada era penjajahan dan juga sarjana-sarjana di Malaysia selepas zaman kemerdekaan negara sehingga kini.

Apabila disingkap kembali kepada penulisan-penulisan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, tiada sebarang penggunaan nama sama ada Bukit Melaka atau Bukit St. Paul yang dicatat oleh para pelayar dari China, Arab mahupun Barat yang datang mengunjungi Melaka. Namun begitu, di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi A. Samad Ahmad telah mencatatkan nama Bukit Melaka pada kisah Sultan Alau'd-Din Riayat Syah bersama Hang Isap pergi mengejar pencuri. Gambaran yang dicatatkan melalui kisah ini dilihat selari dengan keadaan semasa kawasan persekitaran bukit ini yang merangkumi kompleks istana, bukit, sungai dan jambatan sepertimana lakaran dan gambar dari sumber Barat terhadap bukit ini.

Begitu juga semasa zaman penjajah Portugis, tiada penggunaan nama Bukit St. Paul ke atas bukit ini. Pada ketika itu, bukit ini dikenali dengan beberapa nama seperti Nossa Senhora do Oiteiro (Our Lady of the Hill), Monte Dalimaria (The Hill of Animals) dan lain-lainnya atau dikenali sebagai bukit sahaja. Nama St. Paul hanya disebut pada sekitar tahun 1620-an dengan merujuk kepada tempat kediaman Persatuan Jesus (College of the Jesuits) namun ia bukanlah sebuah gereja.

Akan tetapi, terdapat juga sebutan the Hill of Malaca dicatat oleh Alfonso de Albuquerque dan Tome Pires manakala Godinho de Eredia, seorang ahli kartografi telah melakarkan peta menunjukkan Buquet Malaca iaitu kawasan pentadbiran Melaka sejak zaman Parameswara di mana jika dilihat pada lakarannya, adalah selari dengan kawasan sekitar di bukit ini.

Terdapat catatan Belanda menyatakan bahawa gereja di atas bukit ini adalah gereja St. Paul sedangkan sebenarnya nama St. Paul hanyalah sebuah kediaman bagi Persatuan Jesus (College of the Jesuits). Kesilapan menamakan gereja di atas bukit ini sebagai gereja St. Paul dikesan semasa Belanda mula menguasai Melaka walaupun terdapat perbezaan dalam mazhab antara Katolik dan Protestan. Namun begitu pihak Belanda tetap menamakan gereja tersebut sebagai Gereja St. Paul meskipun hanya digunakan pada hari-hari perayaan sahaja.

Sekitar tahun 1753, aktiviti keagamaan tidak lagi dijalankan di gereja St. Paul dan ianya telah digunakan sebagai kawasan perkuburan dan kekal sehingga kini. Justeru, nama Bukit St. Paul berkemungkinan bermula pada era penjajahan Belanda di Melaka bersempena nama gereja ini.

Berdasarkan catatan-catatan yang telah dinyatakan oleh penulis tempatan dan Barat serta lakaran oleh De Eredia, maka terdapat hipotesis kewujudan Bukit Melaka zaman Kesultanan Melayu Melaka serta lokasinya adalah di bukit ini. Malah, telah banyak penulisan-penulisan sarjana tempatan masa kini sama ada dalam bentuk buku ataupun artikel yang menulis nama bukit ini sebagai Bukit Melaka.

Mengambil semangat untuk mengembalikan nama-nama berunsur penjajahan ke Bahasa Malaysia, menanam sikap patriotik antara rakyat serta menyemai semangat cintakan tanah air serta berdasarkan catatan-catatan yang telah dijelaskan maka bukit yang dahulunya dikenali sebagai Bukit St. Paul kini dinamakan sebagai Bukit Melaka.

Baca juga :



Bukan A Famosa, Bukan Juga Porta de Santiago

A Famosa? Porta de Santiago?


Ada yang mengenali pintu gerbang di atas ini sebagai A Famosa, ada juga yang sedikit berilmu mengenalinya sebagai Porta de Santiago. Jika nak dikatakan ia sebagai A Famosa, memang jauh sama sekali tersasar kerana A Famosa telah lama musnah. A Famosa bukanlah sebuah pintu gerbang, sebaliknya A Famosa disebut sebagai istana atau tempat tinggal kapten-kapten Portugis.

Jadi, bagaimana pula dengan Porta de Santiago? Adakah pintu gerbang ini adalah Porta de Santiago? Di sini masih boleh dipersoalkan. Mengikut Report of Governor Balthasar Bort on Malacca 1678 pintu gerbang tersebut adalah binaan baharu. Bukan dibaikpulih sepertimana yang kita biasa dengar bahawa Belanda membaikpulih atau menaiktaraf bangunan-bangunan yang dibina oleh Portugis. 

Ya benar, memang banyak bangunan-bangunan Portugis yang dibaikpulih oleh Belanda tapi tidak pintu gerbang ini. Pintu gerbang yang disebut sebagai Porta de Santiago ini sebenarnya binaan baharu oleh Belanda bukan dinaiktaraf. Governor Balthasar Bort begitu teliti dalam setiap inci laporannya, mana bangunan yang dinaiktaraf, dinyatakan dinaiktaraf, mana bangunan yang hanya ditukar nama, dinyatakan ditukar nama. Begitu juga terdapat beberapa bangunan baharu yang dibina, dinyatakan ia bangunan baharu.

Bagi bangunan atau binaan yang ditukar nama jelas sekali dinyatakan oleh Governor Balthasar Bort dalam laporannya seperti berikut :

1. St. Domingo dijenamakan (renamed) kepada Victoria
2. Madre Deos dijenamakan kepada Emelia
3. Ongie Mille Virgines atau 11000 virgin dijenamakan kepada Henriette Louise 
4. St. Jago (Santiago) dijenamakan sebagai Wilhelmus
5. Hospitael del Rey dijenamakan sebagai Mauritius
6. Caurassa dijenamakan sebagai Fredrick Henrick 
7. Hospitael del Povne dijenamakan sebagai Ernestus Casimir

Terdapat juga bangunan-bangunan yang dinaiktaraf atau dibina semula seperti menara peninjau : 

"Some wooden watchtowers were also rebuilt in my time in stone..."

Begitu juga dengan beberapa bahagian lain yang dinaiktaraf seperti : 

"I have only had the small point Victoria enlarged by a third and furnished with more guns, so that it is now considerably stronger and more defensible."

Selain itu Bort juga menjelaskan setelah menaiktaraf kota Melaka : 

"The fort of Malacca is now very strong, having seven strong bastions and two angles by the walls, all of stone, as close and hard as iron..."

Namun, bagi Pintu Gerbang Santiago (Porta de Santiago) tiada pula dicatatkan ia dibaikpulih atau dinaiktaraf, sebaliknya Bort menyatakan bahawa terdapat dua binaan pintu gerbang baharu yang dibina disebelah sungai (river side) dan sebuah lagi disebelah darat (land side) dengan menyebut : 

"Some new works also were made, e.g. two strong stone gates, one between the bastions Middelburgh and Ernestus on the river side and the other between the bastions Wilhelmus and Henriette Louise on the land side, both having their due curvature, width and length and each great double doors with a wicket. They were made in I669, because the gates in existence here when I came were old, bad and inadequate for this fine strong fort."

Pintu gerbang ini dibina pada tahun 1669 iaitu zaman pemerintahan Belanda di Melaka dan siap sepenuhnya pada 1670, sepertimana lorekan tahun yang terdapat di hadapan pintu gerbang ini (Anno 1670). 

Lakaran pelan lama Fortaleza de Malaca (Kota Melaka) zaman Portugis

Justeru pintu gerbang tersebut bukanlah binaan Portugis yang dinaiktaraf, sebaliknya ia merupakan binaan baharu oleh Belanda. Jadi apakah nama pintu gerbang ini? Menurut Bort pintu gerbang ini dikenali sebagai LAND GATE atau dalam nama Belanda disebut LANDPOORT. Lebih tepat lagi, pintu gerbang ini bukan binaan Portugis, tetapi ia adalah binaan Belanda. Maka tidak hairanlah bahawa terdapat simbol-simbol Belanda (VOC) menghiasi pintu gerbang ini. 

Jadi, anda nak pintu gerbang ini dikenali sebagai apa? A Famosa, Porta de Santiago atau Landpoort?

Baca juga :