Friday, December 22, 2023

Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 4) - Berkunjung ke Museum Bank Indonesia

Selepas tamat majlis perasmian Galeri Melaka Jakarta, bagi memanfaatkan masa yang terluang, aku berpeluang untuk mengunjungi Museum Bank Indonesia. Lokasi antara muzium ini dengan Museum Sejarah Jakarta tidaklah jauh, tapi akibat macet (jalan sesak) agak mengambil sedikit masa. Masa ini kami menaiki buggy yang boleh memuatkan 10 orang.

Museum Bank Indonesia pernah diiktiraf sebagai muzium terbaik di Indonesia kalau tidak silap bagi tahun 2022. Apabila aku masuk ke dalam muzium ini, sememangnya muzium ini layak untuk mendapat pengiktirafan tersebut. Bank kot.. Banyak duit. Pasal itu mereka boleh mengeluarkan kos yang tinggi untuk menubuhkan muzium ini. Mereka pun tidak segan silu menyatakan penataan muzium mereka ini mendapat aspirasi dari Muzium Bank Negara Malaysia. 

Bagi aku konsep dan penataan ruang pameran di muzium ini kelihatan menarik. Kena dengan jiwa aku yang mementingkan ringkas, bersih dan minimalis. Harga tiket pun tidak mahal, hanya 5,000 rupiah saja atau bersamaan dengan RM1.50. Masa kami datang ini, diberikan kemasukan percuma. Maklumlah, tamu negara kan... 

Layanlah sahajalah beberapa tangkapan gambar yang sempat aku ambil sepanjang mengunjungi muzium ini.






Wednesday, December 20, 2023

Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 3) - Majlis Perasmian Galeri Melaka Jakarta

Bermula pada tahun 2013, penubuhan Galeri Melaka di Jakarta buat pertama kali bertempat di Jalan Melaka 7-9, Kelurahan Roa Melaka, Kecamatan Tambora, Jakarta Barat. Kemudian berpindah ke lokasi baru iaitu di Gedung Kantor Pos, Kawasan Kota Tua, Jalan Fatahilah, Jakarta Barat pada tahun 2018. Namun atas faktor tertentu, galeri ini terpaksa di pindahkan ke Museum Sejarah Jakarta pada tahun 2022 dan ianya telah mula dibuka kepada pelawat pada 12 Ogos 2023.

Pada 16 Disember 2023, galeri ini secara rasminya telah dirasmikan oleh YB. Datuk Wira Zaidi Bin Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Museum Sejarah Jakarta.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Tuan Yang Terutama Dato’ Syed Mohamad Hasrin bin Tengku Hussin, Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, YB. Datuk Haji Zaidi bin Attan, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERZIM, YBhg. Datuk Kamarul Baharin bin A. Kassim, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBrs. Drs. Mohd Nasruddin bin Rahman, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka dan YBrs. Ibu Esti Utami, Kepala Unit Pengelola Museum Kesejarahan Jakarta.

Galeri Melaka di bangunan Museum Sejarah Jakarta adalah sangat penting ​bagi menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia terutamanya di Jakarta untuk datang ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 kelak.

Pernyataan di atas inilah yang membawa aku ke Jakarta pada kali ini iaitu bermula pada 15 hingga 17 Disember 2023. Urusan majlis perasmian aku yang menguruskannya dibantu beberapa kakitangan lain. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun pada asalnya hanya sekadar untuk membuat secara kecil-kecilan, namun hasilkan nampak begitu kemilau.

Terima kasih kepada semua yang membantu dari awal hingga akhir majlis ini diadakan. 





Saturday, December 16, 2023

Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 2) - Review Holiday Inn & Suites Gajah Mada

Sebelum meneruskan pembacaan, sila layari juga Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 1).

Kali ini aku nak mengulas (review) sedikit sebanyak tempat penginapan aku di Jakarta iaitu di Holiday Inn & Suites Gajah Mada yang terletak di Jalan Gajah Mada, Kota Jakarta Barat, Indonesia.

Hotel ini  merupakan hotel yang besar dan tinggi. Mempunyai 28 aras ketinggian dan aku menginap di aras 21. Sudah cukup tinggi untuk melihat pemandangan kota raya Jakarta dengan jelas. 

Biliknya besar dan selesa. Penataan bilik pun menarik, bersih, ringkas dan minimalis. Bilik air juga memiliki penataan yang menarik. Yang paling penting, ia mempunyai seterika dan penunjuk arah kiblat. Akan tetapi, tiada pula sejadah disediakan. 

So far so good, kalau kalian ke Jakarta, Indonesia aku amat merekomen sekiranya memilih hotel ini untuk dijadikan penginapan dan sesuai untuk seisi keluarga. 

Aku asyik berpetualang seorangan, entah bila berpeluang untuk membawa keluarga bercuti luar negara. Ini pun kerana biayanya ditanggung jabatan, kalau tak, entah bila merasa untuk sering ke luar negara. 

Nah, layan saja beberapa gambar Holiday Inn & Suites Gajah Mada yang sempat aku ambil.