Wednesday, December 20, 2023

Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 3) - Majlis Perasmian Galeri Melaka Jakarta

Bermula pada tahun 2013, penubuhan Galeri Melaka di Jakarta buat pertama kali bertempat di Jalan Melaka 7-9, Kelurahan Roa Melaka, Kecamatan Tambora, Jakarta Barat. Kemudian berpindah ke lokasi baru iaitu di Gedung Kantor Pos, Kawasan Kota Tua, Jalan Fatahilah, Jakarta Barat pada tahun 2018. Namun atas faktor tertentu, galeri ini terpaksa di pindahkan ke Museum Sejarah Jakarta pada tahun 2022 dan ianya telah mula dibuka kepada pelawat pada 12 Ogos 2023.

Pada 16 Disember 2023, galeri ini secara rasminya telah dirasmikan oleh YB. Datuk Wira Zaidi Bin Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Museum Sejarah Jakarta.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Tuan Yang Terutama Dato’ Syed Mohamad Hasrin bin Tengku Hussin, Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, YB. Datuk Haji Zaidi bin Attan, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERZIM, YBhg. Datuk Kamarul Baharin bin A. Kassim, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBrs. Drs. Mohd Nasruddin bin Rahman, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka dan YBrs. Ibu Esti Utami, Kepala Unit Pengelola Museum Kesejarahan Jakarta.

Galeri Melaka di bangunan Museum Sejarah Jakarta adalah sangat penting ​bagi menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia terutamanya di Jakarta untuk datang ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 kelak.

Pernyataan di atas inilah yang membawa aku ke Jakarta pada kali ini iaitu bermula pada 15 hingga 17 Disember 2023. Urusan majlis perasmian aku yang menguruskannya dibantu beberapa kakitangan lain. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun pada asalnya hanya sekadar untuk membuat secara kecil-kecilan, namun hasilkan nampak begitu kemilau.

Terima kasih kepada semua yang membantu dari awal hingga akhir majlis ini diadakan. 





Saturday, December 16, 2023

Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 2) - Review Holiday Inn & Suites Gajah Mada

Sebelum meneruskan pembacaan, sila layari juga Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 1).

Kali ini aku nak mengulas (review) sedikit sebanyak tempat penginapan aku di Jakarta iaitu di Holiday Inn & Suites Gajah Mada yang terletak di Jalan Gajah Mada, Kota Jakarta Barat, Indonesia.

Hotel ini  merupakan hotel yang besar dan tinggi. Mempunyai 28 aras ketinggian dan aku menginap di aras 21. Sudah cukup tinggi untuk melihat pemandangan kota raya Jakarta dengan jelas. 

Biliknya besar dan selesa. Penataan bilik pun menarik, bersih, ringkas dan minimalis. Bilik air juga memiliki penataan yang menarik. Yang paling penting, ia mempunyai seterika dan penunjuk arah kiblat. Akan tetapi, tiada pula sejadah disediakan. 

So far so good, kalau kalian ke Jakarta, Indonesia aku amat merekomen sekiranya memilih hotel ini untuk dijadikan penginapan dan sesuai untuk seisi keluarga. 

Aku asyik berpetualang seorangan, entah bila berpeluang untuk membawa keluarga bercuti luar negara. Ini pun kerana biayanya ditanggung jabatan, kalau tak, entah bila merasa untuk sering ke luar negara. 

Nah, layan saja beberapa gambar Holiday Inn & Suites Gajah Mada yang sempat aku ambil. 












Friday, December 15, 2023

Berpetualang ke Jakarta, Indonesia (Bahagian 1) - Perihal Galeri Melaka Jakarta

Jakarta, Indonesia bukanlah asing bagi aku.. Haha.. Rasanya sudah empat kali aku ke Jakarta pasal urusan kerja. Huh, macam ahli perniagaan pula bila ada urusan kerja di sini. Kali pertama aku ke Jakarta adalah pada tahun 2015. Sebenarnya, sebab mengapa aku sering ke Jakarta adalah kerana terdapat sebuah Galeri Melaka di sana.

Galeri Melaka di Jakarta adalah satu kerjasama strategik antara Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) iaitu tempat aku bertugas dengan Muzium Kesejarahan Jakarta. Kerjasama ini meliputi penubuhan Galeri Melaka Jakarta di Muzium Sejarah Jakarta manakalan Galeri Jakarta Melaka pula ditubuhkan di Muzium Sejarah Melaka. Kedua-dua galeri ini bertempat di bangunan kolonial Belanda di kedua-dua buah negeri/ provinsi. 

Ikutkan sebelum ini, Galeri Melaka di Jakarta telah berpindah sebanyak tiga kali. Sebelum ini kerajaan negeri Melaka menyewa bangunan di Jakarta bagi menempatkan Galeri Melaka Jakarta. Sudah dua kali menyewa bangunan. Akibat telah tamat tempoh dan kadar sewaan yang terus meningkat, kali ini negeri Melaka melalui PERZIM telah menjalinkan kerjasama dengan Muzium Kesejarahan Jakarta bagi menempatkan Galeri Melaka di salah satu ruang yang terdapat di muzium tersebut. 

Begitu jugalah sebagai timbal balik, Galeri Jakarta juga ditempatkan di salah sebuah ruang yang terdapat di dalam Muzium Sejarah Melaka. 

Kali ini, pemergian aku ke Jakarta adalah untuk mengadakan majlis perasmian Galeri Melaka Jakarta yang akan diadakan pada 16 September 2023. Hal perasmian ini boleh dikatakan diuruskan aku dari awal hingga ke akhirnya. Semoga majlis esok berjalan dengan lancar tanpa terdapat sebarang cacat celanya. 

Beberapa gambar di bawah ini merupakan Galeri Melaka yang terdapat di Muzium Sejarah Jakarta. 














Antara sumbangan aku pada Galeri Melaka Jakarta ialah penerangan (write up) yang terdapat di galeri ini adalah hasil daripada penulisan aku. Adalah juga jasa aku pada penubuhan galeri ini.