Sunday, December 10, 2023

Peribahasa Melayu Bergambar (Bahagian 1)

Mencipta gambar Artificial Intelligence (AI) dengan menggunakan Bing Creator merupakan salah satu yang boleh dikatakan terbaik bagi aku. Pelbagai laman sesawang dan aplikasi pernah aku cuba, dan buat masa ini Bing Creator adalah yang terbaik.

Dalam aku menelusuri dan mendalami Bing Creator maka terpancar ilham untuk mencipta gambar-gambar yang merujuk kepada peribahasa Melayu. Lantaran ini terjadilah gambar-gambar di bawah ini yang mungkin dapat memberikan manfaat kepada semua yang mencari bahan untuk peribahasa Melayu.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga

Ada udang di sebalik batu 

Jangan disangka air yang tenang tiada buaya 

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri

Lembu punya susu, sapi dapat nama

Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit 

Sudah jatuh ditimpa tangga 

Ini baru bahagian satu, kalau rajin nanti aku buat bahagian seterusnya. 


Tuesday, December 5, 2023

E-Madani : Kenapa Tak Layak?


Entahlah.. Aku pun tak tahu. Aku kategori apa sebenarnya. Entah B40, M40 jauh lagi untuk capai T20. Bukan kaya pun. Gaji tak besar mana. Dari BRIM, BSH dan entah apa-apa lagi, tak pernah dapat. Bantuan anak sekolah pernah juga merasa dulu.

Sedang ramai duk mendaftar untuk mendapat RM100 e-madani, aku pun sama lorat isi permohonan juga. Akhirnya kecewa, tak berjaya. Takpelah. Mungkin bukan rezeki. Yang peliknya, bos aku pun layak, aku yang kuli pulak tak layak.. Haha..

Malas aku nak mohon dan rayu lagi.. Biarlah ia pergi dari minda aku ni. Baru je berangan nak beli baju kerja baharu. Haha.. Tak kesampaian. 

Kisah Si Burung Gagak


Alang-alang sudah dapat tangkap gambar gagak, sini aku kongsikan sedikit beberapa maklumat mengenai burung gagak termasuk apa yang terkandung dalam Al-Quran. 

Gagak adalah seekor haiwan yang tergolong dalam kumpulan burung, dimasukkan dalam filum cordata, kelas aves, order passeriformes, keluarga corvidae dan genus corvus dalam taksonomi saintifik. Terdapat kira-kira 40 spesies gagak di seluruh dunia, dengan setiap spesies biasanya ditemui di kawasan tertentu. Sebagai contoh, Corvus benneti dan Corvus orru adalah spesies asli Australia, sementara Corvus levaillantii tersebar di China, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Bhutan dan Thailand. Di Malaysia, spesies biasa adalah Corvus enca, dikenali dengan paruh kecil dan kurus serta dikenali sebagai "slender-billed crow."

Gagak adalah haiwan maserba atau omnivor dengan diet yang berubah mengikut kawasan. Mereka cenderung menjadi perakus (scavenger) dan opportunis, memanfaatkan peluang dan sumber makanan yang tersedia. Gagak di kawasan bandar sering menggunakan tempat pembuangan sampah untuk mendapatkan makanan. Dengan sifat adaptasi yang tinggi, gagak memperlihatkan daya survival dan daya tahan yang kuat terhadap pelbagai persekitaran. Sumber : Si Gagak Yang Mati 

Terdapat kisah burung gagak dalam ayat Al-Quran di surah Al-Ma'ida pada ayat ke-31 yang bermaksud :

"Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal."

Ayat ini menyatakan Habil adalah manusia pertama yang meninggal dunia. Kematian si gagak akibat berkelahi dan dikebumikan oleh sesama gagak dijadikan hikmah Allah untuk mengajarkan cara yang baik dalam mengurus jenazah. Tindakan menguburkan jenazah menjadi amalan, termasuk dalam Islam di mana menjadi fardu kifayah bagi orang Islam untuk mengebumikan sesama muslim yang telah meninggal dunia.

Burung gagak juga merupakan antara haiwan yang boleh dibunuh sepertimana yang diriwayatkan oleh Aisyah R.anha, nabi Muhammad SAW bersabda :

“Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu: tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing gila atau ganas.”

Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim. 

Burung gagak boleh dibunuh kerana ia merupakan haiwan perosak dan membawa mudarat dan bahaya kepada manusia. Perkataan "fasiq" pada haiwan adalah dengan maksud dicabut kehormatan pada sebahagian haiwan disebabkan sifatnya yang membawa kemudaratan, kehinaan dan kemusnahan kepada manusia. Sumber : Haiwan Yang Harus Untuk Dibunuh Dalam Islam 

Sekian sahaja perkongsian. Moga bermanfaat.