Sunday, December 3, 2023

Matahari Terbenam di Pantai Puteri

Menangkap gambar keindahan alam merupakan antara kesukaan aku. Suka sekadar suka kerana aku sukakan keindahan, kebersihan dan sesuatu yang menarik dipandang.

Mengambil gambar tayum temayum atau matahari terbenam merupakan antara kegemaran ku. Dalam bidang fotografi ia disebut sebagai masa keemasan atau golden hour.

Boleh dikatakan setiap hari aku akan memerhati langit. Melihat keindahan kejadian yang diciptakan Allah SWT sambil mengucapkan Maha Suci Allah. Setiap hari gambaran terbaharu terpapar di langit melambangkan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.



Gambar ini aku rakamkan di Pantai Puteri, Melaka. Rasanya penulisan dalam blog ini banyak juga gambar-gambar dan kisah Pantai Puteri yang aku muat naik kerana ia sangat berhampiran dengan kampung aku iaitu berdekatan rumah bonda ku. 

Lagipun, anak saudara aku berniaga makanan di pantai ini justeru kerap juga aku ke sini melepak di kedainya bersama keluarga. Ada kalanya siap dengan khemah sekali aku dirikan untuk healing tepi pantai

Saturday, December 2, 2023

Nelayan Pantai Turun Menjaring Ikan


Keluar pagi balik petang
ada kala sampai malam 
cari rezeki bawa pulang 
untuk orang yang tersayang 
Oooo.. Bersabarlah. 

Lirik lagu Nyanyian Serambi yang dinyanyikan oleh Papa Rock Ramli Sarip bagai selari dengan kehidupan nelayan pantai yang mencari rezeki di pinggiran laut. Rezeki mereka diumpamakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau tidak kais maka tiadalah rezeki.

Namun, rezeki adalah kurniaan Allah SWT. Jika Dia berkehendak untuk memberi lebih rezeki, tidak mustahil sekali kais boleh makan berhari-hari. Yang penting perlu berusaha selebihnya biarlah Allah SWT Yang menentukan takat mana rezeki yang bakal diterima.

Pokoknya ialah usaha. Usaha tangga kejayaan!

Gambar di atas diambil di Pantai Puteri, Melaka semasa nelayan pantai menurunkan jaring. Sekarang musim ikan cencaru. Saiz sedang-sedang. Dibuat bakar dicicah dengan kicap yang diperah limau bercampur cili dan bawang, perghhh... Memang padu.