Monday, October 2, 2023

Rindu Nak Duduki Semula Rumah



Dalam beberapa hari lagi sudah menghampiri dua bulan musibah kebakaran rumah terjadi kepada aku. Aku redha akan ketentuan Allah SWT. Hampir dua bulan juga aku duduk menyewa rumah yang terletak di dalam kawasan perumahan aku.

Tidak pasti bilakah episod tuntutan insurans kebakaran akan berakhir. Kini, hal tuntutan berada di fasa akhir. Sebenarnya pihak insurans telah pun menawarkan sejumlah bayaran, tetapi harga yang ditawarkan agak rendah berbanding sebut harga membaikpulih yang telah diberikan oleh beberapa kontraktor yang aku berikan. Aku dan isteri sedang berusaha untuk mendapatkan bayaran yang setimpal.

Sekarang ini, kerja-kerja membaikpulih rumah sedang berjalan. Aku mengeluarkan tabungan dan menggunakan sumbangan yang diterima. Ini tidak menganggu proses tuntutan insurans kerana laporan dari pihak bomba dan adjuster insurans telah pun selesai. Lagipun apabila lulus tuntutan insurans nanti, pihak insurans akan terus transfer wang ke akaun aku.

Sebenarnya banyak ingin aku kongsikan hal tuntutan insurans kebakaran. Tapi mungkin bukan sekarang. Apabila semuanya sudah selesai, akan aku kongsikan pengalaman aku perihal menuntut insurans kebakaran rumah.

Sunday, October 1, 2023

Pantun Buat Manchester United



Ikan tenggiri, sayur bendi, 
nasi dihidang beralas palas, 
laman sendiri menjadi badi, 
salam kosong satu dari Crystal Palace.

Burung tiong di balik kayu, 
menari-nari bersama tempua, 
wahai penyokong fanatik M.U,
marilah-mari masuk ke gua.

Pergi pekan membeli paku, 
diketuk tukul dibuat perahu, 
usah dikenang benda dah berlaku, 
penyokong M.U menangis siapa yang tahu. 

Air kelapa sama dirasa, 
enak airnya sampai termangu, 
buat apa membazir masa, 
Melaka United, Manchester United sama-sama dungu. 

Saturday, September 30, 2023

Menikmati Secawan Hazelnut Latte di Stadthuys Cafe



Di satu pagi yang cerah lagi mendamaikan di negeri Melaka yang bersejarah, aku memutuskan untuk mengunjungi  Stadthuys Cafe yang terletak di Muzium Sejarah dan Etnografi setelah menghadiri mesyuarat. Muzium ini tempat terletak pejabat aku di dalamnya. Bangunan muzium ini dikenali sebagai Stadthuys (Dewan Bandaran) dan lebih dikenali sebagai Rumah Merah. 

Aku memesan secawan hazelnut latte panas, yang harumnya begitu menggoda. Ketika aku duduk di dalam kafe, dengan jelas aku melihat bangunan bersejarah Stadthuys yang indah dan pohon-pohon yang hijau di sekitar courtyard

Ketika menghirup  hazelnut latte, rasanya begitu nikmat, dengan sentuhan kacang hazelnut yang lazat dan berkrim yang lembut. Suasana kafe yang tenang dan pemandangan yang indah membuatkan saat sebegini begitu sempurna.

Aku menikmati hazelnut latte tersebut sambil menyingkap hal sejarah Melaka yang kaya dan bagaimana tempat ini telah menyaksikan begitu banyak peristiwa bersejarah. Ini merupakan pagi yang damai dan penuh kenikmatan di Stadthuys Cafe.