Wednesday, September 13, 2023

WW : Keretapi Tanah Melayu


Mi Sup Tengkera Melaka!

Mi Sup Tengkera merupakan antara kedai makan yang popular di Melaka sejak sekian lama. Terkenang kembali zaman persekolahan dulu, masa 'main motor', kerap juga ke kedai ini bersama rakan-rakan.



Kedai Mi Sup Tengkera ini mempunyai persamaan dengan kedai Mee Bodo. Jarak kedua-dua kedai ini kira-kira 200 meter sahaja. Dan kedua-dua kedai ini adalah perniagaan keluarga mereka. Mee Bodo di sebelah pagi, Mi Sup Tengkera pula di sebelah petang. Buka setiap hari kecuali hari Khamis. 

Di kedai Mi Sup Tengkera terdapat hanya hidangan mi sup, kuetiau sup dan mihun sup. Lain-lain makanan tiada. Hidangannya pun ringkas, ada mi, kuetiau atau mihun, sedikit sayur sawi, hirisan cili dan racikan isi ayam. Namun ada yang istimewa di situ iaitu popia, goreng dan basah. Namun selalu sahaja cepat habis. Datang lambat masa balik kerja, memang habislah jawabnya. 

Kedainya sentiasa ramai orang, namun layanannya cepat. Tak perlu tunggu lama. Apabila sudah memesan makanan, tak sampai satu minit sudah sampai. Makan pun sekejap sahaja. Ada orang boleh makan sehingga dua mangkuk, tapi aku cukuplah satu mangkuk sahaja. 

Jika nak dibandingkan antara Mi Sup Tengkera dan Bodo, secara jujurnya aku lebih suka Mee Bodo. Apabila lalu sahaja di Jalan Tengkera, secara automatik fikiran sudah terbayang nak makan Mee Bodo.

Jadi, kepada sesiapa yang datang ke Melaka jangan lupa untuk merasai makanan di kedua-dua kedai ini. Sekali cuba pasti nak lagi. šŸ˜€šŸ‘šŸ¼

Tuesday, September 12, 2023

Roti Canai Roti Terbaik Dunia!!!


Syabas dan tahniah buat Roti Canai Malaysia kerana telah diiktiraf sebagai roti terbaik dunia oleh TasteAtlas bagi kedudukan terkini September 2023 dengan mata sebanyak 4.9. Kedudukan ini sedikit sebanyak mungkin dapat menaikkan nama Malaysia serata dunia melalui kulinari yang sememangnya menjadi subjek tular zaman kini.

Berikut merupakan kedudukan 10 terbaik roti dunia menurut laman sesawang TasteAtlas :

1. Roti canai, Malaysia
2. Pan de bono, Colombia
3. Butter garlic naan, India
4. Nan-e barbari, Iran
5. PĆ£o de queijo, Brazil
6. Baguette, France
7. Naan (collectively), India
8. Piadina Romagnola, Italy
9. Marraqueta, Chile
10. Pan de yuca, Colombia

Memang tidak dinafikan bahawa roti canai amat popular di Malaysia. Bukan sahaja oleh rakyat Malaysia, malah orang asing juga gemar menikmati hidangan ini. Aku sebagai salah seorang yang berkebolehan menebar roti canai juga amat berbangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh roti canai.

Banyak kenangan aku bersama roti canai sejak zaman sekolah menengah lagi aku telah mahir menebar roti canai. Aku membantu abang ipar aku di kedainya. Kedainya dulu pun ramai juga pelanggannya kerana terletak di lokasi perindustrian. Jadi ramai pekerja pelabuhan dan kilang menjamu selera di kedainya.

Dahulu, seingat aku roti canai kosong dijual dengan harga RM0.40 sahaja. Murah! 

Roti canai dinikmati tak kira bangsa dan agama. Semua masyarakat menyukai roti canai. Makanan yang menyatukan. Menyatukan rakyat Malaysia.

Zaman dahulu, roti canai tidak banyak pilihan, hanya roti kosong dan roti telur. Jika memesan roti telur, secara automatik akan terdapat cili dan bawang di dalamnya. Jika tidak mahu cili dan bawang, perlu maklumkan dahulu kepada peniaga. Sekarang jika memesan roti telur, hanya ada telur sahaja, jika hendak tambah cili dan bawang perlu maklumkan dan ia dicas lain harga. Seterusnya wujud pula roti sardin. 

Zaman sekarang sudah banyak variasi roti canai. Sudah pelbagai antaranya roti bawang, roti pisang, roti tisu, roti sarang burung dan pelbagai lagi sehingga terdapat menu yang pelik-pelik. Jelas kini roti canai bergerak seiring perkembangan zaman.

Cukuplah sahaja coretan aku berkaitan roti canai. Majukan roti canai untuk Malaysia!!!