Thursday, September 7, 2023

Masuk TV Majalah 3

4 September 2023 lalu, sekali lagi muka yang tak berapa nak handsome ni terpapar di kaca televisyen. Bukan berlakon drama, tetapi menjadi salah seorang individu yang ditemuramah untuk rancangan Majalah 3.

Episod kali ini adalah berjudul Kulinari Warisan Harmoni di mana memaparkan masakan kaum Melayu, Baba Nyonya dan Chetti yang menjadi warisan kaum masing-masing yang kekal hingga kini. Episod ini juga dirakam sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Tak besar mana.. Besar ni je... 

Light, camera and action.. 

Makkk.. Fairus masuk TV... 

Sebelum ini, pernah juga beberapa kali muka aku keluar di kaca televisyen seperti di rancangan Jejak Rasul bersama hosnya Ahmad Fedtri Yahya dan Astro Oasis bagi rancangan Merentas Samudera ke Nusantara yang dihoskan oleh Zainal Ariffin Ismail.

Kenangan bersama Zainal Ariffin Ismail menjayakan rancangan Dari Samudera ke Nusantara 

Aku masuk televisyen ni pun bukanlah aku minta. Ini semua atas arahan big bos. Dia yang buat keputusan bagi mana-mana kakitangannya untuk membantu dalam apa-apa permohonan untuk ditemuramah bagi rakaman televisyen. Bukan aku nak sangat pun... 

Akan datang nantikan lagi kemunculan aku di kaca televisyen bagi rancangan Mercu. Tak pastilah bila ia akan ditayangkan. Mengikut penerbit, mungkin akan ditayangkan pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Nak lihat rakaman penuh Majalah 3 episod Kulinari Warisan Harmoni boleh klik di pautan Youtube ini : KLIK

Sunday, September 3, 2023

Sertai Pertandingan Bola Tampar

Aku sedari, aku bukanlah kaki bangku. 😄Aku boleh bermain banyak sukan. Boleh bermain bola sepak, sepak takraw, boling dan lain-lain lagi termasuk bola tampar. Namun hakikatnya aku tidaklah begitu handal seperti seorang superstar dalam bidang sukan.

Banyak juga pertandingan sukan yang pernah aku sertai sejak dari sekolah rendah hingga kini yang usia ku mencecah 42 tahun. Seingat aku, sukan pertama yang aku sertai dalam pertandingan ialah sepak takraw di mana aku pernah mewakili di sekolah rendah lewat tahun 80-an. 

Di sekolah menengah pula aku lebih pada bermain bola sepak. Mewakili sekolah hingga di tingkatan enam. Juga bermain kelab-kelab di kampung. Namun kini, sudah kurang bermain bola sepak kerana sudah malas nak berlari. Haha. 😆

Pada 2 September 2023 semalam, jabatan aku dijemput untuk menyertai pertandingan bola tampar tertutup daerah Jasin bagi merebut piala YB. Datuk Zaidi Attan yang juga merupakan Pengerusi tempat aku bekerja.

Sebenarnya, jabatan aku ni ramai yang dikategorikan sebagai otai. Umur masing-masing sudah 40 tahun ke atas dan ramai juga yang menanti hendak pencen. Jadi, yang nak bermain sukan pun orang-orang yang sama dan umur masing-masing makin meningkat. Jadinya, yang mana ada sahaja dijadikan pemain termasuklah aku. Namun ada tiga ke empat orang dalam pasukan yang berkemahiran dalam sukan ini. 

Jersi pun pinjam, itu pun bukan jersi bola tampar yang sebenar. Jersi bola tampar ada nombor di belakang dan hadapan. 


Bola tampar bukanlah permainan kebiasaan yang aku bermain, tapi asasnya aku ada. Boleh main, tapi tak berapa mahir. 

Main secara berkumpulan, dalam kumpulan kami mempunyai tiga pasukan. Pasukan-pasukan yang menyertai nampak begitu berpengalaman dengan gaya dan saiz badan masing-masing kecuali pasukan aku. 😅

Pasukan aku hanya menjadi pelengkap jadual. Dalam peringkat kumpulan, kedua-dua perlawanan kami kalah. Namun, tidak semudah yang disangka. Kami turut memberi tentangan yang hebat. Mata kemenangan pihak lawan dengan pasukan kami tidak jauh pun. Cuma kami tiada nasib sahaja. Latihan pun hanya dapat dijalankan sehari sahaja. 

Pertandingan ini dijalankan di luar bukan di dalam dewan. Jadi cuaca agak panas. Perlawanan pertama pasukan kami berlangsung kira-kira jam 10 pagi manakala perlawanan kedua pula tepat jam 12 tengah hari ketika matahari betul-betul tegak di atas kepala. Kulit muka, tangan pun menjadi kering dan gelap. 

Keletihan jelas terasa. Pulang dari pertandingan terus terlelap hingga ke petang. Tahu-tahu emak kejutkan "Fairus, dah sembahyang ke belum..?"