Tuesday, August 8, 2023

Rumah Terbakar : Aku Redha dengan Ujian Allah SWT






Tanggal 6 Ogos 2023 (Ahad) merupakan hari sejarah pahit bagiku, namun aku redha dengan ketentuan dan ujian daripada Allah SWT. Kira-kira jam 10.30 pagi, rumah yang aku duduki baru kira-kira 4 tahun telah mengalami kebakaran. Tarikh ini juga merupakan hari lahir anakku yang ketiga yang kini berusia 8 tahun. 

Kebakaran berpunca dari bilik nombor 4, namun pada ketika ini, siasatan masih berjalan dan laporan penyiasatan masih belum aku perolehi dari pihak bomba. Mungkin esok atau lusa baru mendapat laporannya. 

Aku bersyukur kerana anak-anak dan anak-anak buah yang aku tinggalkan sempat keluar menyelamatkan diri. Ketika itu aku tinggalkan mereka untuk pergi  bersarapan di kedai tidak jauh dari rumah. Pada awalnya, aku mengajak mereka, tetapi mereka tidak mahu ikut. Jadi aku dan isteri dan anak bongsu sahaja yang pergi keluar bersarapan.

Baru sahaja air yang aku pesan sampai, tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada anak buah menyatakan rumah terbakar. Lantas aku mendapatkan kereta untuk pulang. Sempat aku melihat cctv di dalam telefon bimbit dan kelihatan asap hitam berkepul-kepul keluar dari dalam rumah. Isteri pula segera menelefon bomba. Dalam masa yang sama, jiran aku turut menghubungi aku menyatakan hal yang sama iaitu rumahku terbakar dan beliau juga telah menghubungi pihak bomba. 

Sampai sahaja di rumah, aku melihat asap hitam keluar di segenap ruang yang terbuka. Ketika ini jentera bomba belum tiba lagi. Ingin aku masuk untuk menyelamatkan apa yang perlu, tapi asap hitam membantutkan hasrat aku. Aku cuma dapat mencapai kunci kereta dan motor yang terletak di tepi pintu untuk mengeluarkannya dari dalam halaman rumah. 

Dari luar kedengaran bunyi kaca-kaca berderai. Aku hanya mampu melihatnya sahaja. Jentera bomba tiba dalam pukul 10.55 pagi dan segera memadamkan kebakaran. Sebentar sahaja pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran. 

Walaupun kebakaran hanya melibatkan bilik nombor 4, namun akibat daripada itu hampir seluruh rumah dipenuhi jelaga hitam di lantai, dinding dan syiling. Kesan teruk nyata kelihatan di bilik nombor 4 di mana dinding merekah dan pecah, lantai seramik pecah, struktur bumbung meleding hingga atap hampir roboh. 

Di ruang tamu dan ruang makan juga menerima tahap kepanasan hingga pendingin udara, kipas syiling dan alatan dari plastik hampir cair. Lantai seramik di bahagian dapur juga terbongkar dan pecah.

Tiada apa yang dapat aku katakan. Aku redha dengan ujian yang Allah SWT berikan ini dan aku amat bersyukur kerana ahli keluargaku semuanya selamat dari bencana ini. 

Sehinggalah kini aku masih belum mengusik apa-apa barang dari rumah. Hanya mengambil pakaian, dokumen penting dan barang-barang persekolahan anak-anak. Aku telah berurusan dengan pihak insurans bagi mentafsir kerugian. Pada ketika ini aku menumpang di rumah mak aku. 

Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan sekalian ahli keluargaku. 

Thursday, August 3, 2023

2024 Tahun Melawat Melaka

Dengan slogan "Mana lagi? Melaka ler...!" bakal menggamit kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Melaka pada tahun hadapan. Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Melaka telah pun melancarkan Tahun Melawat Melaka 2024 dengan menyasarkan kunjungan pelancong seramai 19.7 juta orang.

Sebagai rakyat Melaka dan bertugas di dalam sektor pelancongan, aku amat mengalu-alukan kedatangan para pelancong ke negeri Hang Tuah ini.

Sebenarnya, jika dilihat keadaan sektor pelancongan di negeri Melaka sekarang, pada pemerhatian aku ia sudah kembali rancak seperti era sebelum pandemik covid-19. Bukan sahaja pada hujung minggu atau cuti umum, pada hari biasa pun, Melaka khususnya di Bandar Hilir dipenuhi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Kadangkala terfikir juga aku, mereka ni tak bekerja ke? 🤔



Risau akan jalan raya sesak? Usah bimbang sangat. Ia adalah perkara biasa bagi lokasi pelancongan. Bukan di Melaka sahaja, negeri-negeri lain pun sama sesak di kawasan tumpuan pelancong.

Justeru, jangan serik datang ke Melaka. Orang Melaka sentiasa menanti kehadiran anda semua. Dan jangan lupa, kunjungilah muzium. 😊

Kapal dagang dari seberang, 
sarat muatan kayu meranti;
dari jauh tuan puan datang, 
orang Melaka sedia menanti.