Thursday, August 3, 2023

2024 Tahun Melawat Melaka

Dengan slogan "Mana lagi? Melaka ler...!" bakal menggamit kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Melaka pada tahun hadapan. Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Melaka telah pun melancarkan Tahun Melawat Melaka 2024 dengan menyasarkan kunjungan pelancong seramai 19.7 juta orang.

Sebagai rakyat Melaka dan bertugas di dalam sektor pelancongan, aku amat mengalu-alukan kedatangan para pelancong ke negeri Hang Tuah ini.

Sebenarnya, jika dilihat keadaan sektor pelancongan di negeri Melaka sekarang, pada pemerhatian aku ia sudah kembali rancak seperti era sebelum pandemik covid-19. Bukan sahaja pada hujung minggu atau cuti umum, pada hari biasa pun, Melaka khususnya di Bandar Hilir dipenuhi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Kadangkala terfikir juga aku, mereka ni tak bekerja ke? 🤔



Risau akan jalan raya sesak? Usah bimbang sangat. Ia adalah perkara biasa bagi lokasi pelancongan. Bukan di Melaka sahaja, negeri-negeri lain pun sama sesak di kawasan tumpuan pelancong.

Justeru, jangan serik datang ke Melaka. Orang Melaka sentiasa menanti kehadiran anda semua. Dan jangan lupa, kunjungilah muzium. 😊

Kapal dagang dari seberang, 
sarat muatan kayu meranti;
dari jauh tuan puan datang, 
orang Melaka sedia menanti. 

Mee Bodo Tengkera : Ringkas dan Sedap

Tengkera merupakan laluan pergi balik aku dari rumah ke tempat kerja. Bukan setakat ke tempat kerja, anak-anak aku juga bersekolah melalui laluan tersebut. Seorang di SK Tengkera 1 dan seorang lagi di MGS 2. Jadi aku akan melalui kedai makan Mee Bodo Tengkera yang termasyhur di Melaka sejak 1969.

Nak kata aku sering ke kedai Mee Bodo tak juga. Tapi jarang-jarang. Walau jarang-jarang, apabila melalui kedai ini pastinya di kepala otak terlintas rasa keenakan Mee Bodo atau juga dikenali sebagai Mee Hassan.

Nampak macam biasa-biasa saja, tetapi luar biasa 
Mee gorengnya ringkas sahaja. Ada mee, taugeh, sambal dan timun. Yang lebih sedap lagi ialah telur yang digoreng dengan menggunakan campuran sambal. Yummyyy.

Harganya kalau tak silap RM3.00 sepinggan. Dan telur goreng RM1.50 sebiji. Kalau dua biji telur RM3.00 le. Biasa aku makan, dua biji telur sekali makan.

Beratur untuk mendapatkan telur goreng segar dari dalam kuali 
Walaupun kedainya selalu ramai, tetapi tempoh menunggu tidaklah lama. Cuma telur goreng sahaja perlu beratur dan ambil sendiri. Mee dan air akan diambil pesanan dan akan dihantar. Bayar pula di kaunter. 

Kalau orang luar Melaka yang masih belum merasai Mee Bodo Tengkera, bolehlah cuba. Cari sahaja melalui Waze, pasti akan jumpa. Jangan datang hari Khamis pula pasal kedainya tutup pada setiap hari Khamis. 

Wednesday, August 2, 2023

Lawatan Kerja ke Makassar, Indonesia

Pada 24 hingga 27 Julai 2023 lalu aku berpeluang ke Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia bagi mengikuti beberapa program iaitu seminar, mesyuarat dan lawatan kerja. Lawatan diaturkan oleh jabatan aku yang disertai delegasi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

Hari pertama dan keempat hanyalah melibatkan perjalanan pergi dan pulang manakala dua hari lagi dipenuhi dengan program yang dirancang di mana hari kedua adalah seminar dan mesyuarat manakala hari kedua adalah lawatan kerja.

Seminar berlangsung di Universitas Negeri Makassar (UNM) dengan tajuk International Talk on Architecture Heritage and Culture Between Malaysia and Indonesia 2023.Kemudian diikuti dengan mesyuarat antara bagi membincangkan kolaborasi yang boleh diadakan bersama bagi kedua-dua belah pihak.

Hari berikutnya merupakan lawatan kerja. Terdapat beberapa lokasi bersejarah yang dilawati antaranya Fort Rotterdam, Museum Karaeng Pattingalloang, Benteng Somba Opu, Makam raja-raja di Katangka dan beberapa lagi tempat bersejarah.

Bab makan di sana, memang agak mewah. Pelbagai makanan tradisi Makassar yang telah aku rasai. Kebanyakkan adalah makanan laut. Tak lupa juga menikmati Nasi Padang di sana. Makanan di sana enak-enak juga namun 2 hari perut aku tidak selesa, takut-takut tersalah makan. Sempat juga aku pergi membeli ubat di apotek (farmasi). Selepas makan ubat, barulah selesa sedikit.

Di Makassar bagi aku terkenal dengan 2 perkara iaitu Bugis di mana kebanyakkan orang di Makassar ialah berketurunan Bugis. Satu lagi ialah pinisi iaitu kapal tradisi masyarakat Makassar.


Bergambar kenangan di hadapan Menara Pinisi, Universitas Negeri Makassar

Benteng Somba Opu, kubu pertahanan kerajaan Gowa

Hanya dapat seketika berada di Makam Raja-raja di Katangka. Tak sempat nak teliti pemilik makam