Sunday, June 18, 2023

Peranan Pelajar Praktikal di Dalam Organisasi dan Manfaat Yang Bakal Diperoleh

Peranan pelajar praktikal atau intern sangat penting dalam memberikan pengalaman kerja praktikal kepada mereka sebelum mereka memasuki dunia kerja sepenuhnya. Berikut adalah beberapa peranan penting yang dimainkan oleh pelajar praktikal seperti pembelajaran dan peningkatan kebolehan, pemupukan kemahiran kerja, penerapan teori dalam amalan, membangunkan rangkaian profesional dan lain-lain lagi.

Pelajar praktikal mendapat peluang untuk belajar dan meningkatkan kebolehan mereka dalam konteks kerja sebenar. Mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari dalam persekitaran kerja sebenar dan meningkatkan pemahaman mereka tentang industri dan bidang yang berkaitan. Melalui pengalaman praktikal, pelajar dapat memupuk kemahiran kerja yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang tertentu. Mereka dapat belajar tentang disiplin, kecekapan, ketekunan, kerjasama dalam pasukan dan kemahiran interpersonal yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

Melalui penerapan teori dalam amalan, pelajar praktikal dapat melihat bagaimana teori yang dipelajari di universiti diterapkan dalam amalan sebenar. Mereka dapat melibatkan diri dalam projek-projek praktikal, menyaksikan proses kerja dan memahami bagaimana teori dikaitkan dengan situasi sebenar di tempat kerja. Selain itu, pelajar praktikal dapat memanfaatkan peluang untuk membina rangkaian profesional dengan bekerja dengan profesional dalam bidang yang berkaitan. Mereka dapat berinteraksi dengan rakan sekerja, penyelia dan pengurus serta membina hubungan yang berpotensi memberi manfaat dalam jangka panjang.

Pelajar praktikal juga dapat menyumbang kepada organisasi tempat mereka menjalani latihan praktikal. Mereka dapat membantu dalam menjalankan tugas harian, menyumbangkan idea atau cadangan dan memberikan perspektif baru yang boleh membantu organisasi tersebut berkembang. Tambahan pula, praktikal dalam alam pekerjaan dapat memberikan pengesahan kelayakan kepada pelajar dalam bidang yang mereka minati. Pengalaman praktikal yang baik dapat meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian kerana ia menunjukkan kepada majikan bahawa mereka mempunyai pengalaman dan kebolehan dalam bidang yang berkaitan.

Melalui pengalaman praktikal juga pelajar dapat mengenal pasti sama ada bidang kerja tertentu sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka. Ia dapat membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat mengenai kerjaya mereka dan membantu mengarahkan langkah-langkah seterusnya dalam pendidikan dan pembangunan profesional mereka.

Kesimpulannya, pelajar praktikal memainkan peranan penting dalam memperoleh pengalaman kerja yang berharga dan membantu mereka dalam pemantapan kerjaya mereka. Ia memberikan peluang untuk pembelajaran, perkembangan kemahiran dan membina rangkaian profesional, serta membantu mereka memahami aplikasi teori dalam amalan sebenar.

Gambar sekadar hiasan


PERLUKAH PELAJAR PRAKTIKAL MEMPERTIKAIKAN GAJI YANG BAKAL ATAU TELAH DITERIMA?

Sebagai seorang pelajar praktikal, pengalaman dan latihan yang diperoleh mungkin lebih penting daripada upah atau gaji yang diterima. Pertimbangkan sama ada praktikal tersebut memberi peluang untuk belajar dan mengembangkan kemahiran yang bernilai dalam bidang yang diminati.

Dalam hal mempertikaikan gaji yang diterima, penting untuk melakukannya dengan sopan dan terbuka. Jaga komunikasi yang baik dengan pihak tempat praktikal dan cari jalan penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak. Ingatlah bahawa sebagai seorang pelajar praktikal, fokus utama adalah memperoleh pengalaman dan pembelajaran yang berharga.

MAKSUD PELAJAR PRAKTIKAL

Merupakan pelajar atau pelatih yang bekerja, ada kalanya tanpa bayaran untuk menimba pengalaman kerja bagi memenuhi syarat kelayakan. 

Monday, June 12, 2023

Albert Einstein Pernah Mengunjungi Melaka?



Pada tahun 1921, Dr. Albert Einstein telah dianugerahi Hadiah Nobel Fizik atas kerja kerasnya dalam memperkenalkan teori fizik khususnya dalam penemuannya berkaitan undang-undang Photoelectric Effect

Pada 8 Oktober 1922 beliau telah bertolak dari Marseille apabila telah dijemput untuk memberikan siri kuliah di Jepun. Albert Einstein bersama isterinya Elsa telah belayar untuk perjalanan selama 6 bulan ke Timur Jauh.

Semasa di Jepun, Albert Einstein dan isterinya Elsa berpeluang bertemu dengan Maharaja dan Permaisuri Jepun. Selepas selesai siri kuliahnya di Jepun, Albert Einstein dan isteri berlepas dari Jepun menaiki sebuah kapal baharu yang siap dibina pada tahun 1922 iaitu kapal Haruna Maru dan singgah di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

Di dalam diari perjalanannya, Albert Einstein telah menulis :

12 Januari : Bertolak dari Singapura pada pukul 5.00 petang

13 Januari : Tiba di Melaka pada awal pagi di mana kapal berada di dalam kedudukan di laut lepas sehingga pukul 3.00 petang. Kami melawat Melaka pada waktu pagi. Gereja Portugis dan lain-lain bangunan. Kepelbagaian kaum India, Melayu, Cina. Kereta beroda dua berbumbung jerami, ditarik oleh lembu bertanduk panjang. Matahari tropika yang terik namun kurang lembap berbanding Singapura. Pada sebelah petang menemui lalat besar di dalam salap elektrik milik saya. Sayang sekali. Panas Tropika yang sebenar.

14 Januari : Tiba di Pulau Pinang

Sebulan kemudian Albert Einstein dan isteri tiba di Palestin dan tinggal di sana selama dua belas hari dan akhirnya melawat Sepanyol selama dua minggu sebelum pulang ke tanah air.

Sumber rujukan : 
The Travel Diaries of Albert Einstein: The Far East, Palestine, and Spain, 1922–1923

Saturday, June 10, 2023

Siapakah Hang Kasturi?

Terdapat beberapa gelaran ‘perhangan’ di zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Nadim, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan, Hang Hussin dan Hang Tuah. Walaupun terdapat di dalam catatan karya lama, watak-perwatakan yang banyak dicatatkan adalah Hang Tuah dan Hang Jebat.

Tidak seperti Hang Tuah yang diketahui nama asalnya iaitu Daeng Mempawah, namun tiada pula diketahui nama asal Hang Kasturi. Jika dirujuk kepada istilah bahasa, Kasturi membawa maksud haruman yang wangi.

Hang Kasturi digambarkan sebagai seorang sahabat dan hulubalang Melaka bersama-sama Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka berlima belajar ilmu mempertahankan diri di Gunung Ledang bersama seorang guru yang dikenali sebagai Adiputra. Selain daripada berperanan sebagai hulubalang istana, peranan lain Hang Kasturi tidak diketahui. Justeru, apa yang boleh digambarkan kepada watak Hang Kasturi ialah seorang yang memiliki watak yang serius, kurang bercakap namun cekap dalam menumpaskan ancaman musuh-musuh serta termasuk dalam senarai pahlawan terbilang di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Walaubagaimana pun, terdapat sedikit perbezaan yang tercatat pada dua karya agung Melayu iaitu di dalam catatan Hikayat Hang Tuah, yang menderhaka kepada sultan adalah Hang Jebat manakala di dalam karya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) pula, individu yang menderhaka kepada Sultan adalah Hang Kasturi. Sekiranya hendak diambil watak-perwatakan Hang Kasturi seperti yang tertera di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), maka Hang Kasturi adalah seorang pahlawan yang terbilang yang mempunyai keberanian, namun suka berfoya-foya, pendendam serta seorang penuntut keadilan.

Hang Kasturi dipercayai dimakamkan di Jalan Hang Jebat yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Gelanggang. Makam ini merupakan makam yang bersaiz sederhana besar terletak di dalam kawasan batu bertembok dikelilingi pagar besi. Bahagian hadapan makam terdapat sebuah pintu gerbang. Sebahagian tembok kawasan makam berbentuk suku bulatan yang turut bercantum dengan rumah kedai disebelahnya. Makamnya pula dibina berbentuk segi empat bujur bertingkat-tingkat. Daripada corak batu nisannya dipercayai berasal dari kurun ke-18. Pada bahagian tembok makam pula turut dibina sebuah lubang berbentuk segi tiga yang digunakan sebagai tempat meletak lilin atau pelita. Berdasarkan dari corak binaan sedia ada makam ini telah diperbaiki dari semasa ke semasa.



Makam Hang Kasturi telah diwartakan sebagai Zon Penempatan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 pada 28 Disember 2006.

Trivia Makam Hang Kasturi

Pada sekitar tahun 1930-an makam Hang Kasturi telah dijaga oleh seorang Cina peranakan yang bernama Bibik Gee Neo. Beliau tinggal bersebelahan dengan makam Hang Kasturi. Pada ketika itu, tidak ramai yang datang mengunjungi makan tersebut. Bibik Gee Neo tanpa mendapat mana-mana arahan, telah sendiri mejaga makam tersebut dengan membersihkan dan menanam pokok bunga bagi mencantikan kawasan tersebut. Beliau turut mengunci pagar makam Hang Kasturi kerana bimbang akan kerosakan dan vandalisme yang sering berlaku di makam tersebut.

Menurut Bibik Gee Neo, dahulu terdapat seorang tua yang kerap berulang-alik ke makam tersebut untuk membaca doa di situ. Beliau juga pernah berjumpa dengan lembaga berpakaian berwarna kuning sering keluar dan masuk ke kawasan makam Hang Kasturi di waktu malam. Semenjak dari itu, Bibik Gee Neo menghormati makam tersebut dan tidak membenarkan orang membuat perkara yang tidak baik di makam Hang Kasturi.

Sumber trivia : Berita Harian bertarikh 12 Oktober 1969