Monday, May 1, 2023

Kenali Potensi Anak

Kesilapan aku ialah menganggap apa yang keluar dari mulut anak aku hanya sebagai angin lalu. Dia kata suka main bola, dia kata lariannya pantas sehingga sering mengalahkan rakan-rakan sekelasnya semasa mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Namun, aku sekadar mendengar dan tidak mengambil serius.

Sehinggalah pada satu ketika anak aku, Muhammad Firas Faiq berusia 8 tahun menyatakan dia terpilih untuk mewakili sekolah dalam acara pertandingan bola sepak jemputan St. Michael's Soccer Association Melaka Cup (SMSA Melaka Cup 2023) bawah 8 tahun yang telah diadakan pada 11 - 12 Mac 2023 lalu yang diadakan di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Sebagai seorang penyerang, pada hari pertama dia telah menjaringkan 3 biji gol dalam 4 perlawanan. Walaubagaimanapun, pasukannya tidak berjaya ke pusingan seterusnya. Hari berikutnya, pasukan yang tidak berjaya bertanding pula dalam Frienship Cup. Namun pasukannya sekadar menduduki tempat ke-7 secara keseluruhan. Nampak bakatnya di situ, sekiranya digilap, insyaallah boleh terus mewakili sekolah pada tahun-tahun berikutnya. 

Tiga biji gol sahaja ayah...

Besar harapan aku, agar suatu hari dia berjaya menjadi pemain bola sepak profesional seperti sepupunya Nizarruddin Jazi yang kini bermain di JDT2. Atau sekurang-kurangnya perlulah mengatasi aku sebagai ayahnya yang bermain bola sepak untuk sekolah hingga ke peringkat daerah. Hihi.


Muhammad Firas Faiq bersama pasukannya

Poster-poster Ucapan Selamat Hari Pekerja

Ada yang mencari poster untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja untuk rakan taulan dan saudara mara? Di sini disertakan beberapa idea poster ucapan Selamat Hari Pekerja yang boleh digunakan. Untuk membuat poster sebegini tidaklah begitu sukar, boleh layari dan edit poster di laman sesawang ini : PosterMyWall Mudah sahaja. Selamat mencuba. Selama ni, laman sesawang inilah yang membantu aku untuk membuat poster yang ringkas-ringkas sebegini. 














Sunday, April 30, 2023

Hari Pekerja Sekadar Cuti Umum?



Setiap pekerja adalah aset bagi sesebuah organisasi. Mereka inilah yang menjalankan fungsi bagi menjayakan objektif atau matlamat organisasi. Justeru, pekerja perlu diberikan perhatian sepenuhnya dengan memberikan kebajikan dan ganjaran yang sewajarnya mengikut kemahiran, kelayakkan dan kepakaran yang pekerja miliki. Walaubagaimanapun, terdapat juga pekerja yang menjadi liabiliti kepada organisasi. Pekerja sebegini perlu diambil tindakan yang sewajarnya mengikut kebijaksanaan majikan.

Sesebuah organisasi mempunyai hierarki, iaitu kedudukan tinggi, rendah dalam organisasi. Terdapat peringkat pengurusan tertinggi, pengurusan dan pelaksana. Pihak pengurusan merancang dan membuat keputusan manakala pihak pelaksana menjalankan segala arahan yang diperturunkan untuk dilaksanakan. Justeru, pengurusan perlu membuat perancangan dan keputusan dengan cepat dan tepat agar pihak pelaksana juga dapat melaksanakan tugas dengan cepat dan tepat. Sekiranya pihak pengurusan lambat, jangan disalahkan pihak pelaksana yang juga lambat untuk bertindak atas arahan.

Begitulah rempah dan rencahnya berorganisasi. Aku yang lebih 17 tahun sebagai pekerja di beberapa syarikat swasta dan agensi kerajaan telah "masak" dengan pelbagai jenis ragam dalam organisasi. Namun aku masih lagi bersikap positif dalam segala hal. 

Oklah, setakat ini sahaja luahan aku sebagai seorang pekerja. Selamat Hari Pekerja 2023. Satu sahaja ingin diingatkan, bekerja mencari rezeki untuk menyara keluarga kerana Allah SWT.