Friday, April 7, 2023

Sejarah Perkampungan Portugis di Ujong Pasir Melaka

MANA DATANGNYA PORTUGIS DI MELAKA? 

Sejak dahulu lagi bangsa Portugis dikenali sebagai ahli pelayaran yang mahir dalam ilmu kelautan. Bangsa ini direkodkan sebagai bangsa Eropah pertama yang mempelopori laluan baharu bagi perdagangan rempah dan lain-lain bahan dagangan dari Hindia Timur. 

Pada pertengahan abad ke-15, bangsa Portugis telah berjaya belayar hingga ke Afrika apabila Bartholomew Diaz telah mengelilingi Tanjung Harapan pada tahun 1488 kemudiannya Vasco Da Gama sampai ke India pada tahun 1498. Mereka turut belayar mencari laluan lain ke Timur.

Lebih 500 tahun dahulu telah wujud bangsa Portugis di Melaka apabila Melaka jatuh ke tangan angkatan tentera Portugis yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque pada tahun 1511. Pertembungan budaya melalui perkahwinan campur antara Bangsa Portugis dengan penduduk tempatan telah menghasilkan masyarakat Portugis yang juga dikenali sebagai Serani yang terdapat di Perkampungan Portugis di Ujong Pasir pada masa kini. Hakikat ini telah mewarnai kepelbagaian etnik dan budaya yang terdapat di negeri Melaka.

Pasangan pengantin Portugis, Melaka 

Maka segala orang Melaka pun berkampunglah melihat rupa Peringgi itu, sekaliannya hairan melihat dia. Maka kata orang Melaka ia ini Benggali putih; maka pada seorang orang Peringgi itu, ber-puluh-puluh orang Melaka mengerumun dia, ada yang memutar janggutnya ada yang menepuk kepalanya, ada yang mengambil cepiaunya, ada yang memegang tangannya.”

Petikan dari Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)

PEMBUKAAN PERKAMPUNGAN PORTUGIS DI MELAKA 

Gambar lama perkampungan Portugis di Ujong Pasir, Melaka 


Pendudukan Portugis di Melaka selama 130 tahun menyebabkan berlakunya perkahwinan campur antara bangsa Portugis dengan penduduk tempatan hingga melahirkan masyarakat Portugis yang terasimilasi dengan budaya masyarakat setempat. Masyarakat ini terus mendiami bumi Melaka dengan mempraktikkan budaya tempatan dan masih berpegang teguh kepada agama yang dianuti iaitu Kristian bermazhab Katolik.

Semasa pendudukan Belanda di Melaka, bangsa Portugis berada di dalam suasana tertekan disebabkan perebutan kuasa serta perbezaan mazhab iaitu Belanda bermazhab Protestan manakala Portugis bermazhab Katolik. Disebabkan tekanan ini, bangsa Portugis telah meninggalkan kawasan bandar dan mula menetap di penempatan baharu iaitu di Alor Gajah dan Melaka Pindah.

Hubungan baik di antara Portugis dan British akhirnya mengembalikan semula masyarakat Portugis ke kawasan bandar iaitu di sekitar Bandar Hilir, Tengkera, Bunga Raya, Kampung Tengah dan Kubu. Kesudahannya, pada tahun 1933 sebuah perkampungan khusus untuk masyarakat Portugis diwujudkan di Ujong Pasir, Melaka.

Dua orang golongan agamawan telah berperanan penting dalam penubuhan Perkampungan Portugis iaitu Rev. J. Pier Francois, paderi dari Gereja St. Francis dan Rev. A.M. Coroado, paderi dari Gereja St. Peter. Usaha ini telah dijalankan sejak awal tahun 1926. Rayuan penubuhan perkampungan ini telah dikemukakan kepada Mr. Reginald Crichton iaitu Residen Kaunselor British di Melaka dan Mr. E.Y.G. Day, Pemungut Hasil Tanah negeri Melaka, yang akhirnya bersetuju untuk menubuhkan penempatan khas untuk masyarakat Portugis.

Sebidang tanah kira-kira 28 ekar di Ujong Pasir telah dihadiahkan oleh pihak British untuk dijadikan perkampungan masyarakat Portugis. Ketika itu, nilai harga bagi hartanah ini adalah kira-kira $30,000.00. Sekitar kawasan perkampungan ini pada asalnya merupakan hutan paya yang dipenuhi pokok nipah.

Pada tahun 1930, pihak kerajaan melalui Public Works Department (Jabatan Kerja Raya) telah memulakan kerja-kerja menambak tanah yang mengambil masa selama 3 tahun. Selepas itu, sekitar tahun 1933, kawasan ini mula diduduki oleh masyarakat Portugis. Kampung ini turut dikenali sebagai Padre Sa Chao dalam bahasa Portugis yang memberi maksud ‘the priest land’. Pada awalnya Rev. J. Pier Francois telah memilih untuk menamakan perkampungan ini sebagai Kampung St. John (St. John Village) dan ia digunakan hingga sekitar tahun 1940-an namun lama-kelamaan dikenali sebagai Perkampungan Portugis.

Rumah tradisional di Perkampungan Portugis pada asalnya diperbuat dari kayu-kayan. Bahagian hadapan rumah mempunyai beranda yang kecil. Kulit-kulit kayu yang dicat dengan kapur berwarna putih dijadikan dinding di sebelah luar rumah. Atapnya pula diperbuat dari anyaman daun nipah.

Potret keluarga Portugis, Melaka 

Untuk memastikan kawasan penempatan masyarakat Portugis di negeri Melaka ini dilindungi, pada tahun 2002 Kerajaan Negeri Melaka telah mewartakan penempatan di Perkampungan Portugis di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 [Enakmen No. 6 Tahun 1988] dengan nombor warta Jil. 46 / No. 14 / 4 Julai 2002.

AGAMA 

Masyarakat Portugis di Melaka menganut agama Kristian bermazhab Katolik sejak zaman nenek-moyang mereka lagi. Mereka dikenali sebagai penganut yang taat pada ajaran agama. Di kebanyakan rumah masyarakat Portugis mempunyai berhala “shrine of our lady”. 

Potret dua orang jejaka Portugis, Melaka 


Mazhab ini dibawa oleh askar-askar dan para pedagang Portugis ketika era penjajahan terhadap Melaka dan kekal sehingga ke hari ini. Meskipun pada awalnya mendapat penentangan daripada Belanda yang bermazhab Protestan semasa pendudukan Belanda di Melaka, namun mazhab ini dapat dipertahankan.

BAHASA 

Bahasa tradisional orang-orang Portugis di Melaka ialah bahasa “Cristao” atau disebut sebagai “Kristang”, terdapat juga yang menyebutnya sebagai “Papiah Portugis Melaka” atau “Papiah Portugis”. Bahasa ini merupakan bahasa klasik Portugal yang sukar difahami oleh orang Portugal pada masa kini. 

Bahasa ini tidak dipelajari di sekolah namun menjadi pertuturan lisan dan diturunkan dari generasi ke generasi di Perkampungan Portugis. Bahasa ini dituturkan melalui percakapan antara jiran tetangga atau apabila masyarakat Portugis bertemu sesama mereka dan kekal sehingga ke hari ini.

Penari kebudayaan Portugis, Melaka mempersiapkan diri sebelum membuat persembahan 

Kini, akibat pergaulan dengan masyarakat setempat yang berbilang bangsa, bahasa Kristang/Papiah Portugis walaupun masih digunakan namun masyarakat Portugis di Melaka turut menggunakan bahasa lain seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di dalam kehidupan seharian mereka.

Tuesday, February 21, 2023

Sehari di Pekan Baru, Riau, Indonesia

Kali ini sudah kali ketiga aku menjejakkan kaki ke Pekan Baru, Riau, Indonesia. 13-14 Februari 2023 lalu, sekali lagi aku telah ke sana. Bukan pergi semata-mata untuk melancong, tetapi ada urusan kerja yang perlu dilaksanakan. Aku ke sana kerana ingin meninjau ruang promosi bagi menempatkan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Melaka berkaitan pelancongan di Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II di Pekan Baru.

Pelancongan kesihatan bukan asing bagi negeri Melaka. Ramai pesakit dari Indonesia khususnya di sebelah Sumatera mendapatkan rawatan kesihatan di hospital-hospital swasta di Melaka seperti Hospital Putra dan Hospital Mahkota. Walau bagaimanapun di Hospital Pantai dan Hospital Oriental masih kelihatan kurang pesakit dari sana.

Maka tidak hairanlah syarikat penerbangan berani membuka operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, Melaka. Setahu aku, hanya terdapat 2 penerbangan di lapangan terbang sini iaitu Batik Air ke Pekan Baru dan Air Asia ke Pulau Pinang.

Malindo Air dijenamakan semula menjadi Batik Air

Tiada apa yang menarik yang dapat dikongsikan kerana kedatangan aku ke Pekan Baru sangat terhad iaitu hanya satu hari. Namun sempat juga aku menikmati masakan nasi padang yang mempunyai lauk pauk yang enak-enak di Restoran Garuda. Makanan di Indonesia ni banyak yang pedas-pedas, tapi aku masih lagi boleh menikmatinya kerana aku pun suka yang pedas-pedas. 


Masa ni pelayan belum habis hantar lauk lagi, yang sebetulnya bertingkat-tingkat lauknya 


Aku menginap di Hotel Jatra. Hotel lama. Seingat aku pernah menginap di hotel ini pada kali pertama aku ke sini pada tahun 2008. Bagi aku, hotel ini biasa saja. Kalau nak beri markah persepuluh, aku beri 6/10. Cuma semasa aku daftar masuk, bilik berbau rokok. Di bilik air kelihatan sedikit kurang bersih kerana ada sedikit kotoran di belakang mangkuk tandas. 

Namun, jika datang bersama keluarga, mungkin aku tidak menyarankan hotel ini kerana terdapat kelab malam dan karaoke di dalam hotel ini. Bayangkan, di lobi pun masih boleh kedengaran orang melalak menyanyi sama ada lunak atau sumbang. Hotel ni pun memang promosikan kelab malam mereka, buka saja televisyen ada iklan kelab. Semasa daftar masuk juga dapat kupon masuk kelab ini secara percuma. Namun aku tak masuklah, bukan gaya hidup aku pun. 

Lobi hotel

Pemandangan dari jendela 

Pemandangan dari jendela 

Ruang bilik yang besar tapi tidur seorang 

Masuk-masuk dah ada iklan kelab malam di televisyen 

Ruangan di dalam bilik air 


Di sana aku turut berpeluang berjumpa dengan kenalan. Seorang memang tinggal di Pekan Baru dan dua orang lagi dari Siak. Sekiranya aku ke Pekan Baru, pasti aku aku ketemu dengan mereka. Yang buat aku terharu ialah mereka yang datang dari Siak. Bagi aku jaraknya agak jauh juga untuk datang semata-mata untuk bertemu. Siak ke Pekan Baru kira-kira dua jam. 

Kenalan dari Pekan Baru ialah Pak Yoserizal Zen. Masa kenal dahulu beliau adalah Kepala Muzium di Pekan Baru, kini beliau sebagai Kepala Dinas Kebudayaan Provinsi Riau. Beliau biasa juga ke Melaka, dan kebiasaannya aku akan menyantuni beliau di sini. 

Rakan-rakan dari Siak pula yang membawa aku makan malam di sana. Kami lepak hingga jam 12.00 malam. Makan malam di Restoran Tepi Sungai, kemudiannya mengopi di kedai kopi Galore.

Pemandangan di Restoran Tepi Sungai 

Masak lemak 

Lain rasa asam pedas di sini

Sempat angkat signboard kedai kopi je


Keesokan harinya setelah selesai sarapan aku sendirian berjalan mengelilingi bandar Pekan Baru. Dapatlah buat 5000++ langkah. Bak kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan. Dapat juga mengenali tempat orang walaupun hanya seketika pemergian aku ke Pekan Baru.