Friday, February 10, 2023

Sambut Ulang Tahun Perkahwinan Ke-15 di Restoran Ikan Bakar Ala Kassim

Pejam celik, pejam celik sudah 15 tahun mengharungi kehidupan bersama isteri tersayang. Pahit maung, suka, duka dikongsi bersama. Pada hakikatnya isteri adalah orang lain, milik keluarganya, orang yang tidak pernah dikenali sebelum ini namun akhirnya kami ditakdirkan bersama sebagai suami isteri dan berkeluarga. Alhamdulillah, kini telah mempunyai 5 orang anak.

Rezeki itu datangnya dari Allah SWT, ditakdirkan anak pertama lahir pada tahun yang sama hari pernikahan kami. Orang-orang dahulu sebut 'bunting pelamin'. Nikah awal tahun, hujung tahun menimang cahaya mata. Alhamdulillah. Jadi kelebihannya di sini,  aku dapat mengingati usia perkahwinan kami iaitu seusia anak sulung. 

Hendak dijadikan cerita, kami sekeluarga menyambut ulang tahun perkahwinan dengan makan malam di Restoran Ikan Bakar Ala Kassim di cawangannya Taman 1 Lagenda. Sebelum-sebelum ini kami biasa juga ke restoran utamanya di Medan Ikan Bakar Alai. 

Sesiapa datang ke Melaka, boleh cuba makan di sini. Disarankan (recommended)


Di sana kami nikmati seekor ikan siakap di mana sebelah dimasak bakar berlada dan sebelah lagi dibakar kosong sahaja. Lain-lain makanan ialah sotong goreng tepung dan udang butter. Dimakan dengan menu kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi lemak bungkus.

Harganya oklah. Tak betapa mahal. Semua sekali harga makanan dan minuman hanya RM104.00 sahaja. Makan pun sedap dan puas. Anak-anak pun suka. 

Ikan siakap bakar berlada

Ikan siakap bakar

Sotong goreng tepung

Udang butter

Kisah ini tidak habis di sini, macam biasa mesti ada kejutan pada hari-hari sebegini. Sebelum nak keluar pergi makan, isteri dan anak-anak telah awal berada di dalam kereta.  Aku macam biasa akan menjadi orang yang terakhir kerana perlu memastikan lampu-lampu yang tidak diperlukan di dalam rumah ditutup, begitu juga dengan pintu.

Sejurus masuk ke dalam kereta maka terkejutlah aku melihat bungkusan yang diletakkan di bawah tempat letak kaki di bahagian pemandu dengan jeritan isteri dan anak-anak menyebut supriseeeeee!!! Oh, rupa-rupanya isteri telah menghadiahkan telefon bimbit baharu iaitu Honor X9a. Aku apa lagi, dengan gaya melawak aku pun menggenggam jari sambil menyebut Yes! Yes! Yes!

Terpaksa menerima telefon bimbit baharu 😀👍🏼

Monday, February 6, 2023

Sambut Hari Lahir Biras dan Anak Buah di Restoran Rest Haus Melaka

Jarang sekali aku membuat posting berkaitan makan-makan di kedai atau restoran. Tapi kali ni aku ingin kongsikan sebuah restoran di mana aku dan keluarga telah dijemput oleh akak iparku untuk sama-sama meraikan hari lahir biras dan anak buah aku di Restoran Rest Haus Melaka.

Restoran ini terletak di Taman 1 Lagenda berdekatan dengan pasaraya Lotus dan AEON Bandaraya Melaka. Senang saja nak mencari restorannya, dekat dengan bulatan (roundabout)

Ini merupakan kali pertama aku menjejakkan kaki ke restoran ni. Sebelum ni aku tak pernah perasan pun kewujudan restoran ini. Restoran ni pun tak berapa besar, konsepnya seperti privasi yang sesuai untuk menjamu selera bersama keluarga dan orang tersayang.

Nak masuk ke restoran ni pula perlu membuka selipar atau kasut. Dalamnya berkarpet dan dilengkapi penghawa dingin. Jadi, apabila duduk di dalam restoran ini, rasa nyaman sahaja. 

Makanan di restoran ini terdapat menu tempatan dan menu barat (western). Aku yang bertekak Melayu ni biasanya akan memilih untuk menikmati menu tempatan. Budak-budak apa lagi kesukaannya, pastinya makanan ringan seperti kentang goreng, chicken chop dan lain-lain.

So far so good.. Makanan di restoran ni sedap-sedap belaka. Portion'nya' pun agak banyak sehingga senak aku nak menghabiskan sepinggan nasi goreng kampung. Anak aku makan pun tak habis, jadinya minta dibungkus untuk dibawa pulang ke rumah.

Membaca doa selamat sebelum menikmati juadah

Menu-menu yang membuatkan aku tak tahu nak pilih apa, akhirnya aku pilih nasi goreng kampung. Haha 

Cheezy wedges pilihan anak-anak

Kentang goreng a.k.a French fries juga kegemaran anak-anak

Anak perempuan aku order lamb chop. Makan termahal yang dia pilih.. huhu

Nasi putih dengan daging masa lada hitam

Nasi goreng chicken chop pilihan isteriku

Ini menu aku order nasi goreng kampung. Siap ada ketulan ayam goreng

Spaghetti Bolognese untuk anak buah


Friday, February 3, 2023

Giveaway 23rd Anniversary Cik Nur and Husband

Bersempena sedikit masa terluang ini, ingin aku sertai giveaway anjuran Dapur Cik Nur iaitu antara blogger yang telah lama aku ikuti blognya. Giveaway ini adalah bersempena menyambut ulang tahun perkahwinannya bersama suami yang telah menjangkau 23 tahun pada 13 Februari ini. Alhamdulillah, tahniah diucapkan. Insyaallah, pastinya akan kekal buat selamanya. 

Klik gambar untuk menyertai giveaway ini


Dikesempatan ini, ingin diucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun buat kali ke-23 untuk Cik Nur dan pasangan dengan ucapan semoga berbahagia hingga ke anak cucu, hidup diberkati dan selamat melalui tahun-tahun seterusnya dengan penuh kesabaran dan keinsafan kepada Allah SWT.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Surah Ar-Rum : Ayat 21