Sunday, January 15, 2023

Teringat Lirik-lirik Indah Lagu Cinta Pantai Merdeka

Selamat datang ke Tanjung Dawai


Ku ukir namamu
Di awang Gunung Jerai
Disaksikan laut daun nyiur melambai
Jauh pandangan permai
Di situ Tanjung Dawai terkenang peristiwa
Cinta kita terurai.

Begitu indahnya bait-bait lagu Cinta Pantai Merdeka nyanyian kumpulan Jinbara yang dicipta oleh arwah Pak Long atau Shafie Ahmad pada tahun 1993. Lirik ini jelas memaparkan lokasi-lokasi tertentu di negeri Kedah darul Aman termasuklah Gunung Jerai, Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai. Jadi, apa kena-mengenanya dengan aku? Adakah aku teringat akan kekasih lama?

Sebenarnya, semasa ke Pulau Pinang tempoh hari, aku turut berkesempatan singgah sebentar ke Tanjung Dawai di mana seberangnya ialah Pantai Merdeka.  Singgah di sana untuk menikmati mee udang yang dikatakan terkenal di situ sambil menyaksikan keindahan matahari terbenam. Pertama kali merasai mee udang di situ ternyata terasa amat sedap dan boleh dicadangkan (recommended). Lupa pula apa nama kedainya. Kedainya di deretan medan selera, di tingkat atasnya pula menjual produk-produk hasil laut.

Rasanya lesai dan bergizai...

Ada 4 ekor udang yang agak besar dan puas dimakan. Dalam gambar di atas nampak 3 ekor sahaja, seekor lagi tenggelam di bawah rimbunan mee. 

Usai menjamu selera, apa lagi, aku bergerak secara solo turun ke pantai Tanjung Dawai untuk mengambil detik-detik tayum temayum. Beberapa gambar yang aku sempat tangkap dan yang ini merupakan hasil tangkapan yang aku paling berpuas hati.

Di seberang sana ialah Pantai Merdeka