Sunday, January 15, 2023

Teringat Lirik-lirik Indah Lagu Cinta Pantai Merdeka

Selamat datang ke Tanjung Dawai


Ku ukir namamu
Di awang Gunung Jerai
Disaksikan laut daun nyiur melambai
Jauh pandangan permai
Di situ Tanjung Dawai terkenang peristiwa
Cinta kita terurai.

Begitu indahnya bait-bait lagu Cinta Pantai Merdeka nyanyian kumpulan Jinbara yang dicipta oleh arwah Pak Long atau Shafie Ahmad pada tahun 1993. Lirik ini jelas memaparkan lokasi-lokasi tertentu di negeri Kedah darul Aman termasuklah Gunung Jerai, Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai. Jadi, apa kena-mengenanya dengan aku? Adakah aku teringat akan kekasih lama?

Sebenarnya, semasa ke Pulau Pinang tempoh hari, aku turut berkesempatan singgah sebentar ke Tanjung Dawai di mana seberangnya ialah Pantai Merdeka.  Singgah di sana untuk menikmati mee udang yang dikatakan terkenal di situ sambil menyaksikan keindahan matahari terbenam. Pertama kali merasai mee udang di situ ternyata terasa amat sedap dan boleh dicadangkan (recommended). Lupa pula apa nama kedainya. Kedainya di deretan medan selera, di tingkat atasnya pula menjual produk-produk hasil laut.

Rasanya lesai dan bergizai...

Ada 4 ekor udang yang agak besar dan puas dimakan. Dalam gambar di atas nampak 3 ekor sahaja, seekor lagi tenggelam di bawah rimbunan mee. 

Usai menjamu selera, apa lagi, aku bergerak secara solo turun ke pantai Tanjung Dawai untuk mengambil detik-detik tayum temayum. Beberapa gambar yang aku sempat tangkap dan yang ini merupakan hasil tangkapan yang aku paling berpuas hati.

Di seberang sana ialah Pantai Merdeka

Thursday, January 12, 2023

Wonder Food Museum Penang, Agak Menyeronokkan


Kesiannya... Anak siapalah ini...?


Berpeluang pergi ke Wonder Food Museum di Pulau Pinang baru-baru ini merupakan salah satu pengalaman yang menyeronokkan. Muzium ini sesuai dikunjungi oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa. Mana-mana yang suka OOTD tu, memang digalakkan untuk melawat ke muzium ini kerana terdapat banyak sudut-sudut yang menarik untuk mengambil gambar.

Muzium ini memaparkan replika dan miniatur makanan-makanan yang terdapat di negara kita, Malaysia. Setiap replika yang dihasilkan begitu halus dan berseni. Dari pemerhatian aku, mungkin terdapat lebih daripada seorang artis yang membuat replika ini memandangkan terdapat stroke yang berbeza-beza, namun tetap menghasilkan replika yang menarik.

Walaupun kelihatan seperti sekadar hiburan, muzium ini dilihat turut menyampaikan maklumat berkaitan makanan tradisional, perniagaan tradisi dan memori kenangan lalu yang digarap melalui diorama dan miniatur.

Berikut merupakan beberapa keping gambar yang sempat aku tangkap sebagai kenangan dan jejak aku telah sampai di sana.

Ruang hadapan Wonder Food Museum

Dari pandangan sisi

Aneka replika ais krim dan makanan-makanan boleh potong kaki

Aneka makanan yang kelihatan sedap belaka

Kuih-muih kelihatan seperti sebenar

Pelbagai makanan kaum India

Aneka makanan kaum Cina

Buah-buahan tempatan yang membuka selera

Nasi lemak, menu sarapan rakyat Malaysia, menu perpaduan bangsa

Onde-Onde/ buah Melaka/ kelepong

Wow.. Sedapnya sate

Miniatur warung roti canai mamak

Miniatur membakar lemang. Eh, apasal muka lelaki tu kelihatan seperti Tun M?

Miniatur makan-makan sempena Tahun Baharu Cina

Siapa yang order Kuew teow goreng tadi? Tunggu sekejap ye.