Saturday, January 7, 2023

Nikmati Keindahan dan Kehijauan Saujana Mata Memandang di Kampung Agong, Pulau Pinang

Masih lagi berkisarkan tentang kunjungan ke Pulau Pinang. Kali ini mengenai lawatan aku ke Kampung Agong buat kali kedua. Ya, kali kedua dan ia tidak menjemukan.

Berkonsepkan pertanian, kehijauan dan suasana kampung merupakan kekuatan utama yang menarik perhatian pengunjung bagi mengunjungi perkampungan yang unik ini. Suasananya tenteram dan damai, angin menghembus syahdu dan alunan muzik era 60-an saling berkumandang di corong radio. 

Deretan pokok-pokok kelapa dan bendang padi saujana mata memandang merupakan tarikan utama di situ. Terdapat juga spot-spot menarik untuk bergambar turut dibina untuk pelancong bergambar. Satu idea yang menarik, seiring dengan peredaran zaman di mana orang suka bergambar dan memuatnaiknya ke media sosial.

Kunjungan kali kedua ini tidak banyak aku mengambil gambar dan kurang juga berjalan menjelajah ke seluruh kawasan kampung tersebut. Cuma aku berbasikal di situ dan ia juga merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan.

Kepada yang masih belum berkunjung ke Kampung Agong, jangan lepaskan peluang apabila berada di Pulau Pinang. 

Jom, layan sahaja, beberapa keping gambar yang sempat aku rakamkan buat kenang-kenangan sebagai tanda aku telah hadir ke sana. 







Thursday, January 5, 2023

Muzium Perang Antara Destinasi Yang Wajib Dilawati di Pulau Pinang

Adalah tidak patut sekiranya aku sebagai orang muzium tidak berkunjung ke muzium apabila tiba di sesebuah negeri. Kali ini aku berpeluang untuk berkunjung ke Pulau Pinang dan antara tempat menarik yang telah aku lawati ialah Muzium Perang. 

Muzium Perang ini amat menarik. Mengekalkan monumen-monumen lama zaman kolonial British di samping penambahbaikan dari aspek penerangan, lanskap, kemudahan asas dan sebagainya.

Lokasi Muzium Perang di Bukit Batu Maung sebenarnya merupakan tapak asal kubu pertahanan British yang dibina pada sekitar tahun 1930-an. Kubu ini seterusnya diambil alih oleh tentera Jepun semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Pelbagai monumen-monumen dan tinggalan sejarah yang menarik dapat dilihat di muzium ini dengan penuh bermaklumat. Dapat menelusuri kubu bawah tanah merupakan sesuatu yang sukar dilupakan. Dengan berkonsepkan 'living museum', muzium ini menyajikan pengalaman-pengalaman menarik buat pengunjung.

Harga bagi tiket masuk ke Muzium Perang ialah RM22.00 untuk dewasa manakala RM12.00 bagi kanak-kanak berumur antara 5 hingga 12 tahun. Secara peribadi aku merasakan harganya sangat berbaloi kerana terdapat banyak monumen bersejarah yang menarik dan kawasan yang luas sehingga memerlukan lebih 2 jam untuk mengekplorasi muzium ini.

Berikut merupakan beberapa gambar yang sempat dirakamkan sewaktu berkunjung ke Muzium Perang pada 3 Januari 2023 yang lalu.