Sunday, December 18, 2022

Lima (5) Sebab Kenapa Anda Perlu Mengunjungi Muzium

Adalah kelaziman masyarakat kita di Malaysia ini menganggap muzium adalah membosankan. Tidak mengikut zaman. Hanya mempamerkan barang-barang lama. Bangunannya pun bangunan lama dan menyeramkan. Pernyataan ini mungkin disebabkan segelintir individu telah lama tidak mengunjungi muzium sedangkan terdapat beberapa perubahan, tarikan dan lain-lain perihal yang dirasakan masyarakat perlu kembali mengunjungi muzium.

Berikut merupakan antara sebab musabab kenapa kita perlu mengunjungi muzium :

1. HARGA MURAH

Jika hendak dibandingkan dengan pusat hiburan keluarga yang lain seperti taman tema, panggung wayang dan lain-lain pusat tarikan pelancong, muzium adalah sebuah pusat di mana bayaran tiketnya adalah murah. Bukan sahaja murah, bahkan terdapat juga muzium yang tidak dikenakan bayaran. Mengambil contoh muzium-muzium yang terdapat di Melaka, harga tiketnya serendah RM3.00 dan yang tertinggi adalah RM10.00. Jika hendak dilawati seisi keluarga pun, ia tetap berbaloi.

2. BERILMU DAN BERMANFAAT

Muzium adalah gedung ilmu. Ya, sudah pastinya muzium menyajikan ilmu yang bermanfaat untuk para pelawat. Dengan mengunjungi muzium, masyarakat dapat mengetahui sejarah, warisan dan kebudayaan khususnya di sesuatu negeri atau tempat. Ia amat sesuai dikunjungi oleh pelajar sekolah bagi mempelajari segala khazanah ilmu yang terkandung di dalam muzium.

3. HIBURAN

Siapa kata muzium tidak menghiburkan? Kini, di sesetengah muzium telah mula mengetengahkan kaedah interaktif dalam pameran. Pameran interaktif ini memberi peluang bagi pelawat untuk berinteraksi secara fizikal atau maya dengan bahan yang dipamerkan. Ini dilakukan bagi menarik lebih ramai generasi muda mengunjungi muzium. Antara pameran berbentuk interaktif yang dipamerkan seperti menggunakan objek 3 dimensi (3D), realiti maya (virtual reality), tayangan 5 dimensi (5D), skrin sentuh (touch screen) dan pelbagai lagi media interaktif.

4. CARA BERKESAN UNTUK BELAJAR

Khusus buat para pelajar tidak kira dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti. Bagi mempelajari subjek-subjek seperti sejarah, warisan dan kebudayaan, institusi muzium merupakan tempat wajib untuk dikunjungi. Selain belajar melalui pembacaan di buku-buku, pelajar boleh merujuk silang tentang perkara yang dipelajari dengan mendapatkan fakta sampingan di muzium. Dengan melihat dan menelaah sendiri apa yang dipamerkan di muzium, membolehkan pelajar lebih memahami apa yang dipelajari.

5. OOTD MUSEUM

Contoh OOTD @ Muzium


Siapa kata dekat muzium tidak menarik? Sebenarnya di muziumlah terdapatnya ruang-ruang yang menarik untuk bergambar dan dijadikan kenangan terindah. Di muzium terdapatnya diorama-diorama yang menarik contohnya diorama nostalgia seperti warung lama, perabut lama dan lain-lain yang mengambarkan zaman dahulu (old school). Terdapat juga galeri seni lukis dan pengunjung boleh OOTD bersama karya-karya seni bagi menghasilkan gambar yang kelihatan 'mewah'. Bangunan-bangunan muzium yang kebiasaannya merupakan bangunan tinggalan penjajah juga merupakan 'angle' yang terbaik untuk OOTD.

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Saturday, December 17, 2022

Empat (4) Fungsi Utama Muzium

Bermesra bersama artifak


APA ITU MUZIUM?

Saban tahun Majlis Muzium Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai International Council of Museum (ICOM) mengkaji dan mengemaskini definisi muzium selari dengan fungsi muzium yang kini dilihat bukan lagi sebuah organisasi yang statik, tetapi ia merupakan organisasi serta bidang yang dinamik. Ini adalah selaras dengan fungsi permuziuman itu sendiri yang memiliki bidang-bidang kepakaran yang tertentu, bukan sahaja sekadar mempamerkan artifak dan bahan-bahan lama yang bersejarah, malah lebih daripada itu.

Menurut definisi yang sering digunakan oleh mana-mana organisasi permuziuman di dunia, muzium didefinisikan sebagai "institusi bersifat tetap, tidak berorientasikan keuntungan, terbuka kepada umum dengan peranannya memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamerkan bukti-bukti peninggalan manusia dan persekitarannya untuk tujuan pendidikan dan hiburan."

APA TUGAS KAKITANGAN MUZIUM?

Kecuali tugasan pentadbiran dan kewangan, tugas-tugas kakitangan muzium adalah berbeza dengan jabatan-jabatan lain. Terdapat tiga (3) jawatan di muzium yang tiada di jabatan lain iaitu Kurator (S41), Penolong Kurator (S29) dan Pembantu Muzium (S19). Sekiranya disamakan dengan jawatan pentadbiran, jawatan-jawatan ini adalah mempunyai tingkatan pangkat seperti Pegawai Tadbir (N41), Penolong Pegawai Tadbir (N29) dan Pembantu Tadbir (N19).

Di sini ingin diperjelaskan perihal empat (4) tugas-tugas kakitangan muzium iaitu bersamaan dengan fungsi muzium itu sendiri iaitu memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamer. Berikut adalah huraiannya :

A. MEMPEROLEH

Bahan utama yang menyebabkan kewujudan sesebuah muzium ialah ARTIFAK dan bahan bersejarah. Apa itu artifak? Menurut definisi yang digunapakai oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM), artifak adalah peralatan atau barang-barang buatan manusia peninggalan pada zaman dahulu. Usia bahan yang ditakrifkan sebagai artifak adalah antara 50 tahun dan ke atas. Selain artifak, fosil dan lain-lain bahan bersejarah turut dipamerkan di dalam muzium.

Di dalam dunia pemuziuman, terdapat beberapa kaedah dalam memperoleh atau mengumpul artifak. Kelazimannya bahagian atau unit yang terlibat di dalam perolehan artifak adalah sama ada Bahagian Pengurusan Koleksi, Bahagian Pengurusan Artifak atau lain-lain istilah yang bersesuaian. Kaedah-kaedah perolehan yang biasa digunapakai oleh institusi muzium ialah :

i. SUMBANGAN

Masyarakat yang mempunyai artifak dan bahan-bahan bersejarah adalah digalakkan untuk menyumbangkannya kepada pihak muzium. Ini adalah bertujuan, artifak tersebut dapat dipamerkan seterusnya memberikan manfaat dalam bentuk pendidikan dan pemahaman kepada masyarakat. 

Masyarakat yang menyumbangkan artifak atau bahan bersejarah kepada muzium merupakan satu langkah yang sewajarnya diberi kepujian. Ini adalah kerana kesanggupan dan kepercayaan yang diberikan kepada pihak muzium untuk menjaga seterusnya mempamerkan bahan tersebut bakal memberikan suatu sudut pandang yang berbeza dari aspek sejarah, kebudayaan atau warisan berdasarkan bahan yang disumbangkan. 

Adalah berkemungkinan bahan tersebut tiada dalam simpanan atau pameran di muzium, justeru ia amat bermakna jika masyarakat dapat menyumbangkan bahan, lebih-lebih lagi ia merupakan bahan yang bersejarah dan unik.

Kelazimannya, apabila seseorang telah menyumbangkan artifak kepada pihak muzium, sebagai galang gantinya mereka akan menerima beberapa manfaat. Manfaat ini bergantung kepada pihak pengurusan muzium masing-masing. Sebagai contoh manfaat yang diberi ialah memberikan pas masuk percuma ke muzium kepada penyumbang, memberi imbuhan secara 'one off', memberi sijil penghargaan, pengecualian cukai dan lain-lain yang difikirkan perlu.

ii. PEMBELIAN

Bagi meningkatkan koleksi artifak dan bahan bersejarah di muzium adalah dengan kaedah pembelian. Kebiasaannya organisasi muzium telah menetapkan belanjawan tahunan bagi pembelian artifak dan bahan bersejarah. Lazimnya harga artifak tidaklah murah, justeru institusi muzium menetapkan belanjawan pembelian artifak menjangkau ratusan ribu ringgit setahun, malah bagi muzium-muzium yang besar, menetapkan perolehan melalui pembelian artifak melepasi jutaan ringgit. 

Pembelian seperti ini harus dilakukan bagi menambah koleksi artifak di muzium agar ia dapat dipamerkan bagi manfaat orang ramai khususnya bagi tujuan pendidikan seterusnya memperkayakan ilmu-ilmu berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan untuk tatapan generasi kini dan akan datang.

iii. JUMPAAN

Artifak jumpaan adalah berkait rapat dengan disiplin arkeologi. Kerja-kerja pengorekan, cari gali atau istilahnya ekskavasi arkeologi merupakan salah satu sub-bidang dalam dunia permuziuman. Apabila kerja-kerja ekskavasi dijalankan, kebiasaannya akan menemui bahan-bahan bersejarah seperti artifak atau fosil. 

Jumpaan-jumpaan ini adalah penting bagi pembuktian sejarah, budaya dan warisan di sesebuah tapak yang digali. Seterusnya ia disimpan atau pamerkan di muzium bagi tujuan pendidikan, penyelidikan serta apa-apa tujuan lain dalam mengetengahkan khazanah warisan negara.

B. MEMULIHARA

Apabila memperoleh sesuatu artifak atau bahan bersejarah, proses seterusnya adalah memulihara. Di dalam dunia permuziuman, memulihara disebut sebagai konservasi artifak. Artifak yang baru diperoleh perlu menjalani proses konservasi bergantung kepada keadaan artifak tersebut. Sekiranya arifak tersebut sekadar kotor dan berhabuk, pembersihan secara fizikal perlu dilakukan bagi menghilangkan segala kotoran yang terlekat pada artifak tersebut. 

Sekiranya terdapat kerosakan-kerosakan dan kekotoran tertentu yang sukar dibersihkan secara fizikal, proses pembaikan secara penggunaan bahan kimia atau lain-lain kaedah yang difikirkan perlu diambil bagi menyelamatkan jangka hayat artifak tersebut. Tidak hanya pada artifak yang baru diperoleh, artifak yang terdapat di ruang pameran dan kawasan repositori juga perlu melalui proses konservasi.

Konservasi artifak terbahagi kepada dua iaitu konservasi preventif dan konservasi kuratif. Konservasi preventif adalah bertindak untuk mencegah atau menghalang artifak supaya tidak mudah rosak akibat persekitaran seperti suhu, cahaya, kelembapan dan serangga perosak seperti fungus, serangga serta pencemaran udara.

Konservasi kuratif pula merupakan tindakan secara terus yang diambil terhadap artifak yang telah mengalami deteriorasi. Tindakan ini diambil bagi memberhenti atau merencatkan proses deteriorasi terus berlaku terhadap artifak.

Di dalam bidang pemuziuman, kakitangan yang melaksanakan kerja-kerja konservasi dikenali sebagai konsevator yang mempunyai kemahiran menggunakan bahan-bahan mekanikal dan kimia bagi proses konservasi. Setiap muzium kebiasaannya mempunyai Bahagian Konservasi bagi menempatkan kakitangan di sebuah lap untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Bagi artifak dan bahan bersejarah yang telah rosak yang perlu dibaiki, kaedah restorasi boleh digunapakai. Restorasi merupakan kaedah di mana artifak dirawat bagi mengembalikan artifak seperti sediakala dengan menggunakan material yang sama atau hampir sama dengan bahan asal artifak tersebut.

C. MENYELIDIK

Menyelidik merupakan salah satu aspek penting dalam bidang permuziuman. Setiap muzium yang mempamerkan artifak harus mempunyai keterangan atau maklumat yang perlu disampaikan. Bagi menyampaikan maklumat tersebut, penyelidikan dibuat bagi mengetahui sesuatu artifak atau bahan bersejarah. 

Penyelidikan berkaitan artifak ini lazimnya dilaksanakan oleh kurator yang mempunyai disiplin ilmu tertentu sama ada artifak tersebut berkait dengan sejarah, kebudayaan, warisan atau sebagainya. Justeru, kurator memainkan peranan yang penting untuk membuat penyelidikan bagi memastikan maklumat yang bakal disampaikan adalah benar dan tepat. 

Selain kurator yang menjalankan penyelidikan, pihak muzium turut mendapatkan bantuan daripada para penyelidik khususnya daripada instituti pengajian yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Boleh juga mendapatkan bantuan daripada penyelidik-penyelidik persendirian atau individu-individu yang mempunyai kemahiran dalam satu-satu bidang yang hendak diselidiki.

D. MEMPAMERKAN

Seterusnya, artifak dan bahan bersejarah perlu dipamerkan. Ia adalah bertujuan agar ia boleh dilihat atau disaksikan oleh orang ramai yang mengunjungi muzium. Ini adalah salah satu proses pendidikan muzium di mana para pelawat memperoleh ilmu, maklumat dan hiburan dari artifak yang dilihat seterusnya memberi manfaat khususnya dalam mengenali sejarah, budaya dan warisan negara. 

Dahulu, artifak dan bahan bersejarah dipamerkan secara konvensional di mana hanya dipamerkan di dalam peti pameran dan terdapat penerangan berkaitan bahan tersebut. Namun kini, penggunaan teknologi moden sering digunakan dalam aspek mempamerkan artifak sama ada dalam bentuk 3D, Virtual Reality (VR), Audio Tour dan lain-lain kaedah bersifat interaktif yang mana antara lainnya bagi menarik golongan muda untuk mengunjungi muzium.

Tuntasnya, itulah antara empat (4) fungsi utama muzium yang menggerakkan institusi permuziuman khususnya di negara kita ini bagi menyebarluaskan pendidikan muzium kepada masyarakat. Walaubagaimanapun terdapat juga lain-lain tugas, peranan atau fungsi tertakluk kepada sesuatu muzium seperti zoologi yang berperanan menjalankan penyelidikan dan kerja-kerja berkaitan hidupan haiwan meliputi taksidermi iaitu pengawetan haiwan dan sebagainya. 

Turut terpakai dalam alam permuziuman ialah konservasi bangunan. Muzium kelazimannya menggunakan bangunan-bangunan lama era kolonial. Oleh itu, penjagaan bangunan muzium adalah amat berbeza berbanding penjagaan bangunan baharu. Bangunan muzium dibaikpulih mengikut kaedah konservasi dengan diawasi oleh konservator bertauliah. Ini dilakukan agar fasad bangunan dan lain-lain hiasan luaran serta dalaman dibaikpulih dengan sempurna dengan mengekalkan seni bina asalnya. Sepertimana kaedah konservasi, pengekalan bahan asal adalah penting dalam membaiki sesuatu kerosakan, sekiranya tiada, bahan hampir sama perlu digunakan bagi mengekalkan rupa asal bangunan tersebut.

Justeru, masyarakat perlu memahami fungsi kewujudan muzium dan peranannya kepada masyarakat. Muzium perlu dijadikan destinasi utama apabila melancong ke sesebuah negeri atau negara kerana ia bukan hanya memberikan hiburan malah terdapat banyak khazanah ilmu yang bermanfaat terdapat di dalamnya. Bukan sahaja berkaitan sejarah, terdapat banyak disiplin ilmu yang terdapat di muzium antaranya kebudayaan, warisan, seni bina, permuziuman dan lain-lain lagi.

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)