Tuesday, October 4, 2022

Cara Mudah Menukar Kad ATM Maybank

Sebelum ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib, isteri sudah berpesan supaya belikan beberapa barangan di kedai. Jadi, aku bawalah dompet dan telefon bimbit sekali ke masjid supaya selepas solat boleh terus ke kedai. Biasanya aku tak bawa semua tu semasa ke masjid, hanya membawa diri saja. Masjid dan rumah tak jauh mana. Tak lalu pun jalan besar.

Dompet dibawa dengan tujuan untuk membayar, telefon bimbit pula untuk membaca senarai barangan yang perlu dibeli yang dipesan melalui aplikasi Whatsapp. Kalau bawa diri saja, nak bayar dengan apa... Nak beli apa...?

Awal lagi aku sudah berpesan, malam tersebut balik lewat sedikit pasal ada kuliah Maghrib. Justeru, selepas Isyak baru dapat pergi ke kedai untuk membeli barang. 

Selepas solat aku terus memecut ke kedai. Motorsikal Honda PCX 150 pemberian isteri sempena hari lahir ku dua tahun lalu aku tunggang dengan laju dan bergaya dengan baju kurta, kain pelikat dan ketayap yang hampir-hampir terbang akibat kelajuan motorsikal. 

Setibanya di kedai, dengan penuh keyakinan aku mengangkat satu persatu barangan yang dipesan oleh isteriku. Ada juga barangan yang tidak dapat dibeli kerana ketiadaan stok. Tak mengapa, selepas ini boleh ke kedai runcit sebelah pula, mungkin ada barangan tersebut di kedai itu.

Tiba masa untuk membayar, aku memaklumkan untuk membayar menggunakan kad debit. Aku memang gemar menggunakan kad debit berbanding tunai. Aku juga jarang mempunyai tunai yang banyak di dalam dompet. 

Semasa wave debit kad tiba-tiba mesin tersebut menolak kerana kad debit telah tamat tempoh. Aduhai, payahlah macam ni... Aku sendiri tak perasan kad debit sudah tamat tempoh. Duit dalam dompet tak banyak. Korek punya korek, adalah sedikit duit tapi masih belum mencukupi. Belakang aku pula sudah dua tiga orang berbaris untuk membayar. Aduh, parah.

Aku maklumkan pada juruwang tersebut bahawa duit tidak cukup, aku perlu pulang dahulu ke rumah untuk mengambil duit. Selepas ambil duit di rumah, aku bayarlah kembali jumlah yang kurang. 

Keesokan harinya semasa waktu rehat tengah hari, aku ke Maybank untuk menukar debit kad. Sebelum pergi ke bank, aku telah Google dahulu tentang bagaimana untuk menukar debit kad yang telah tamat tempoh. Jadi, yang paling mudah disarankan agar menggunakan Debit Card Replacement Kiosk. 

Melalui pencarian Google tersebut menyatakan bahawa di Melaka hanya terdapat satu sahaja cawangan Maybank yang mempunyai kiosk tersebut iaitu di Maybank Jalan Hang Tuah iaitu merupakan cawangan utamanya di Melaka. Jadinya, aku ke situ untuk menukarkan kad debit.

Inilah Debit Card Replacement Kiosk by Maybank


Mudah sungguh menggunakan kiosk ini. Hanya memerlukan satu hingga dua minit untuk memperoleh kad debit yang baharu. Semua arahan dipaparkan di skrin, kita cuma perlu ikut sahaja satu persatu arahan yang diberikan. Bermula dari memasukkan kad debit lama, kemudian masukkan nombor pin, pengesahan dengan memasukkan kad pengenalan dan pengesahan cap jari. 

Seterusnya kita pilihlah corak kad yang dipaparkan. Ada 4 pilihan. Aku pilih corak yang mempunyai gambar pasukan Manchester United. Walaupun baru kalah 6 - 3 dengan Manchester City, kira oklah tu. Corak tu saja yang lain daripada lain selebihnya hanya gambar buah epal.

Selepas memilih, keluarlah kad debit tersebut dan sudah boleh digunakan seperti biasa. Huh, sekian sahaja perkongsian aku mengenai cara untuk menukar kad debit yang telah tamat tempoh. Semoga bermanfaat.

Monday, October 3, 2022

Permainan Tikam

Tanpa kita sedari, sejak dari kecil kita terjebak dengan satu permainan yang sememangnya berunsurkan perjudian. Permainan Tikam! Inilah permainan pertama yang melibatkan kanak-kanak berjudi sama ada disedari atau tidak. 

Dulu-dulu panggil ni Tikam Dayak

Dengan rasa bersalah, aku mengaku pernah juga bermain permainan ini semasa zaman kecil. Jangan kata kecil, semasa masih bersekolah menengah juga aku pernah bermain permainan tikam. Tapi bukanlah selalu, sekali sekala saja.

Tidak dapat aku pastikan sama ada di zaman ini masih terdapat permainan ini di pasaran. Harap-harapnya tiadalah lagi, agar budak-budak sekarang tidak terjerumus ke dalam aktiviti yang mendorong kepada unsur perjudian. 

Ada sesiapa yang pernah main tikam? Cuba komen pengalaman kalian pula. 

Sunday, October 2, 2022

Kisah Masjid Selat Melaka Yang Mungkin Orang Tak Tahu

Masjid Selat Melaka merupakan sebuah masjid terapung yang terletak di Pulau Melaka. Pulau Melaka pula merupakan sebuah pulau buatan manusia yang telah ditambak. Pulau ini terletak di Selat Melaka, lantaran itu dinamakan sebagai Masjid Selat Melaka.

Masjid Selat Melaka


Pada asalnya, di kawasan Pulau Melaka ini terletak sebuah pulau kecil yang dikenali sebagai Pulau Jawa. Pulau Jawa telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Terdapat catatan menyatakan bahawa di sekitar Pulau Jawa merupakan kawasan kapal-kapal berlabuh sebelum masuk ke pelabuhan Melaka. 

Selat Melaka merupakan selat terpanjang dan tersibuk di dunia. Ia merupakan selat yang menghubungkan jalan laut antara dunia Timur dan Barat.  Apabila berada di tepi pantai Selat Melaka, dengan jelas kelihatan kapal-kapal dagangan melalui selat ini. Aku sendiri pernah ke tengah laut untuk memancing melihat betapa banyaknya kapal-kapal besar di Selat Melaka. Ada kapal kargo, ada juga kapal minyak dan gas.

Namun, bukan pasal Selat Melaka yang aku ingin ceritakan. Aku nak bercerita pasal Masjid Selat Melaka. Sekiranya kalian mengetahui bahawa Masjid Selat Melaka, merupakan masjid yang agak unik dari segi seni bina dan lokasinya. Disebabkan itu, ramai pelancong dari luar negara datang mengunjungi masjid ini. 

Masjid ini memang biasa aku kunjungi, sebab ia merupakan masjid di mana aku menunaikan solat Jumaat. Memang ramai pelancong luar yang datang ke sini, walaupun pada hari Jumaat. Ada saja pelancong dari China, Korea dan mat-mat Saleh yang datang untuk melihat keindahannya. 

Yang amat aku kagum adalah pada pengawal keselamatannya. Beberapa kali aku perhatikan pengawalan keselamatan Masjid Selat Melaka agak fasih berbahasa Inggeris. Pelawat-pelawat luar negara yang hadir diberikan penerangan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di dalam masjid. Semasa khutbah dan solat Jumaat dilaksanakan, pelawat tidak dibenarkan masuk dan perlu menunggu di luar sehingga selesai solat barulah dibenar masuk. 

Masjid Selat Melaka juga merupakan kawasan tumpuan untuk penggemar fotografi untuk menangkap gambar. Suasana dan pemandangan matahari terbenam juga agak indah di sini. Jika di "Google" memang terlalu banyak gambar-gambar yang menarik memaparkan Masjid Selat Melaka.

Jadi, apa lagi... Jika berkesempatan ke Melaka jangan lupa singgah ke masjid ini. Di sekitar masjid ini juga mempunyai tempat rehat dan rawat yang sesuai dijadikan perhentian sementara meneruskan perjalanan atau aktiviti.