Thursday, January 27, 2022

Bunga Telang Rancak Berbunga

Alhamdulillah.. Benih bunga telang pemberian Cik Nur yang aku semai pada Julai 2021 lalu kian rancak berbunga. Tak tahu nak buat apa dengan bunga-bunga ini, kebiasaannya aku akan buat air dengan merendam beberapa kumtum bunga telang pada air panas dan letakkan sedikit gula. Sekiranya ada limau, perahkan sedikit untuk lebih sedap.

Bunga telang ni merupakan pewarna asli. Sudah ramai yang gunakan sejak zaman berzaman. Jika di Melaka ni, bunga telang bukan sahaja digunakan oleh orang Melayu, malah turut biasa digunakan oleh kaum Baba Nyonya, Chetti dan Portugis. Ada yang menggunakannya untuk membuat kuih, nasi kerabu dan lain-lain lagi. 

Baru-baru ini aku ada membeli uncang teh kosong di Shopee, nanti-nanti bolehlah petik bunga telang lagi, jemur dan masukkan dalam uncang. Nak minum nanti, rendamkan saja pada air panas seperti membancuh teh.

Dengar-dengar, banyak juga khasiat bunga telang ni. Kalau kalian nak tahu khasiatnya, sila Google sahaja. Banyak maklumat boleh diperolehi.




Friday, January 21, 2022

Kereta Lembu Dari Melaka


Alhamdulillah.. Akhirnya siap juga sebuah buku Siri Khazanah Warisan : Kereta Lembu Dari Melaka yang siap dicetak pada awal Januari 2022 lalu. Ini merupakan terbitan pertama bagi Siri Khazanah Warisan, insyaallah, selepas ini terdapat lagi siri-siri yang lain bakal diterbitkan. 

Buku ini bukanlah sebuah buku yang 'berat', tujuan kami menerbitkan buku ini sebagai satu dokumentasi agar dapat dibaca, difahami, dirasai, ditatapi oleh masyarakat seterusnya memulihara agar khazanah ini tidak hilang ditelan zaman. Umum sedia maklum, kereta lembu amat popular di Melaka, bermula seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah kini, kereta lembu terus wujud namun pengusahanya semakin kurang dan hampir pupus.

Justeru, buku ini merupakan salah sebuah bahan yang boleh menjadi rujukan kepada masyarakat untuk mengetahui tentang hal-hal berkaitan sejarah kereta lembu, pekembangannya, kaedah pembuatan, bahagian-bahagian kereta lembu, pemilihan jenis lembu dan banyak lagi. Sekiranya ada yang berminat untuk membeli buku ini, harganya cuma RM30.00 sahaja, saya boleh bantu untuk poskan sekiranya ada yang berminat.

Insyaallah, selepas ini kami akan menerbitkan beberapa judul lagi bagi Siri Khazanah Warisan bagi tahun 2022. Antara yang telah dirancang ialah Dondang Sayang, Sanggul Lintang dan Permainan Tradisional.