Friday, January 21, 2022

Kereta Lembu Dari Melaka


Alhamdulillah.. Akhirnya siap juga sebuah buku Siri Khazanah Warisan : Kereta Lembu Dari Melaka yang siap dicetak pada awal Januari 2022 lalu. Ini merupakan terbitan pertama bagi Siri Khazanah Warisan, insyaallah, selepas ini terdapat lagi siri-siri yang lain bakal diterbitkan. 

Buku ini bukanlah sebuah buku yang 'berat', tujuan kami menerbitkan buku ini sebagai satu dokumentasi agar dapat dibaca, difahami, dirasai, ditatapi oleh masyarakat seterusnya memulihara agar khazanah ini tidak hilang ditelan zaman. Umum sedia maklum, kereta lembu amat popular di Melaka, bermula seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah kini, kereta lembu terus wujud namun pengusahanya semakin kurang dan hampir pupus.

Justeru, buku ini merupakan salah sebuah bahan yang boleh menjadi rujukan kepada masyarakat untuk mengetahui tentang hal-hal berkaitan sejarah kereta lembu, pekembangannya, kaedah pembuatan, bahagian-bahagian kereta lembu, pemilihan jenis lembu dan banyak lagi. Sekiranya ada yang berminat untuk membeli buku ini, harganya cuma RM30.00 sahaja, saya boleh bantu untuk poskan sekiranya ada yang berminat.

Insyaallah, selepas ini kami akan menerbitkan beberapa judul lagi bagi Siri Khazanah Warisan bagi tahun 2022. Antara yang telah dirancang ialah Dondang Sayang, Sanggul Lintang dan Permainan Tradisional.

Thursday, January 6, 2022

Terima Buku Perancangan Tahun 2022 Dari Abam Kie

Alhamdulillah... Dalam menyepi dalam dunia blog buat seketika ada juga rezeki yang diberikan oleh rakan blogger. Kali ini aku terima sebuah buku perancangan tahunan bagi tahun 2022.

Buku ini aku terima blogger Abam Kie sempena menjadi sebahagian Pengomen Tegar blog Abam Kie pada tahun 2021. Daripada 7 orang yang dipilih sebagai pengomen tegar, aku di tangga keempat. Tak sangka pula. 




Apa-apa pun, aku berterima kasih kepada Abam Kie atas hadiah ini. Memang buku ini sampai tepat dan sesuai pada waktunya. Kebetulan, belum terima apa-apa buku perancangan tahunan dari jabatan, jadi buku ini sudah pastinya menjadi buku utama untuk aku bawa ke hulu ke hilir pada tahun ini.

Terima kasih Abam Kie...

Tuesday, January 4, 2022

Ada Yang Rindu Ke?

Ada yang rindu ke? Hehehe...

Minta maaf banyak-banyak kepada rakan bloggers kerana saya tidak aktif berblog seperti dahulu. Bak kata orang tua-tua, daun palas sudah melekat di belakang badan. Aduh.. Malas betul dah sekarang nak kemaskini blog. Jangan kata nak kemaskini, nak buka blog sendiri pun dah malas. Huk aloh.

Nak dikatakan tugasan banyak di pejabat, ya juga. Bukan setakat tugasan di pejabat, bermula Oktober hingga Disember 2021 yang lepas aku banyak berada di tapak ekskavasi bagi meneruskan usaha penyelamatan dan mencari artifak di sekitar kawasan tambak laut di Pulau Melaka. Hari-hari pakaian dan anggota badan dipenuhi lumpur dan kotoran dari tanah. Balik rumah, badan pun sudah penat. Jadi bermula Oktober tahun lepas jugalah aku mula perlahan dan terus tidak mengemaskini blog.

Rehat tengah hari. Nampak benar penatnya. Hehehe


Alhamdulillah, kerja-kerja penggalian ekskavasi penyelamatan artifak pada masa tersebut telah banyak menaikkan artifak-artifak seusia zaman Kesultanan Melayu Melaka. Antara artifak yang paling banyak ditemui ialah porselin dan serpihan-serpihan porselin (biru-putih) dari zaman Dinasti Ming. 

Terdapat juga lebih 200 keping syiling timah bercetak Sultan Muzaffar Syah. Lain-lain jumpaan seperti syiling Portugis, serpihan-serpihan tembikar tanah dan batu serta lain-lain lagi. Sebahagian artifak ini yang masih dalam keadaan baik ada dipamerkan di Kompleks Muzium Rakyat. 

Selain itu, selepas kerja-kerja ekskavasi tamat, aku bersama bahagian aku telah melaksanakan sesi bicara warisan dengan menjemput 3 orang pakar dalam bidang arkeologi dan maritim untuk membentangkan kertas kerja masing-masing berkaitan penemuan artifak-artifak tersebut.

Sebenarnya, kerja-kerja ekskavasi tersebut belum selesai sepenuhnya cuma lesen penggalian dari Jabatan Warisan Negara (JWN) telah tamat. Kerja-kerja sebegini sebenarnya memerlukan kos yang agak besar juga, jadi kami dalam usaha untuk meneruskan lagi dan akan memohon kembali lesen penggalian. 

Nak lihat beberapa artifak yang ditemui boleh lihat di SINI.