Sunday, September 5, 2021

Terima Hadiah "Top Commentators" Bulan Ogos 2021

Alhamdulillah.. Orang memberi kita merasa. Tak sangka pula masih mendapat hadiah sebagai antara pengomen tegar di blog shikinrazali.



Seingat aku, dah mula kurang bertandang dan meninggalkan komen dalam beberapa minggu ni, kerana ada ketentuan lain yang menyebabkan aku kurang berblog. Namun tak sangka pula, masih lagi merupakan individu yang banyak meninggalkan komen di beberapa buah blog yang biasa saya kunjungi.

Jadi, terima kasih tak tehingga diucapkan kepada blogger shikinrazali atas pemberian hadiah Top Commentator Bulan Ogos 2021. Ianya amat dihargai.

Saturday, September 4, 2021

Teh Tarik Bungkus Ikat Tepi

 


Pada saat entri ini ditulis, negeri Melaka masih lagi di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1. Aku bekerja mengikut jadual dan penggiliran. Ada kalanya seminggu sekali, ada juga seminggu dua kali. Namun sekiranya ada banyak kerja, aku akan tetap ke pejabat tanpa ikut jadual.

Kedai-kedai pun masih banyak yang belum buka. Kedai yang biasa aku sarapan dan makan tengah hari juga belum memulakan kembali perniagaan. Agak sukar juga. Ditambah lagi masih banyak kedai yang tidak membenarkan pelanggan makan di kedai. Hanya boleh bungkus sahaja.

Berpusing aku mencari kedai untuk membeli sarapan. Masih tak buka lagi. Ada juga yang baru nak buka kedai, barangkali aku datang terlalu awal. Peniaga baru nak susun kerusi, tapi jam dah menunjukkan 7.30 pagi. Akhirnya terjumpa sebuah kedai mamak. Difikirkan mahu makan di kedai sahaja, namun kecewa. Hanya bungkus dibenarkan.

Jadi aku mengambil keputusan untuk membungkus 2 keping roti canai kosong dengan kuah kari. Airnya pula pada awal aku memesan teh O ais. Tapi apabila ada seorang pelanggan yang turut hadir memesan teh tarik, jadi aku bertukar fikiran untuk sama memesan teh tarik. Dah lama tak merasa teh tarik mamak. Rindu.

Dah siap dibungkus aku pun segera kembali ke pejabat. Air teh tarik tu mula-mula ia diikat mati. Apabila mula nak makan roti canai, aku ikatlah tepi, mudah sedikit nak diminum. Tiada pula tempat nak gantung, aku gantunglah di kabinet fail di yang terletak di belakang meja aku. 

Nak dijadikan cerita, roti canai yang dicicah dengan kuah kari tu memang sedap. Kena pula dengan teh tarik, lagi bertambah sedap. Pasal inilah agaknya kenapa ramai orang memilih untuk makan di kedai atau restoran mamak. Mungkin ada beberapa rahsianya yang kita tidak tahu. 

Friday, September 3, 2021

Oh! Teratai Bunga Indah


Aku bukanlah orang bandar. Orang kampung. Walaupun orang kampung, masa aku kecil-kecil tidak pernah ke sawah padi. Mungkin kerana tiada ahli keluarga yang terlibat secara langsung dengan kerja-kerja di sawah. Lantaran itu, aku tidak pernah masuk ke sawah untuk bermain lumpur dan selut.

Walaupun begitu, bukan bererti aku tidak pernah langsung pergi ke bendang di masa kecil. Ya pernah, tapi cuma berlalu saja. Memancing di sawah pun tidak pernah. Dulu lebih suka memancing di pantai, kerana rumah mak pun berhampiran pantai. Cuma sekarang ini sahaja apabila berpindah di kawasan perumahan yang begitu hampir dengan sawah padi, aktiviti memancing di tali air telah menjadi kebiasaan aku.

Baru-baru ini aku berbasikal. Kayuh berseorangan melalui laluan kampung, tali air dan sawah padi yang terbentang luas. Ya Allah! Dalam hati aku kenapa aku tak pernah merasakan perasaan dan pemandangan yang begitu indah sekali sebelum ini. Kawasan ini dekat sahaja di kawasan perumahan aku, namun ia kelihatan asing bagiku kerana memang aku tak pernah melalui kawasan tersebut.

Beberapa kali dalam hati ini terdetik perasaan malang bagiku. Umur sudah melepasi 4 siri tetapi baru tahu ada tempat yang aman damai seperti ini. Kayuh basikal petang-petang walaupun berseorangan tidak merasa penat dan lelah. Ramai orang memancing di situ. Barangkali orang-orang kampung berdekatan. Sesekali berhenti mengayuh menyapa orang-orang yang sedang memancing. Ada yang muda, ada yang berusia.

Mungkin ini saja catatan aku pada kali ini. Benarlah kata orang-orang terdahulu, jauh perjalanan luas pemandangan. Maaf jika ada sedikit perubahan pada kata ganti nama diri. Awalnya dulu, memang menggunakan 'aku', kemudian tukar kepada 'saya'. Kini kembali menggunakan AKU kerana aku rasa ia lebih selesa bagiku menulis demikian.