Thursday, August 26, 2021

Doa Sambutan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Pada 31 Ogos 1957

Sumber gambar : rijalunsodaqu.com

Berikut merupakan doa yang telah dilafazkan oleh Almarhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, Mufti Negeri Sembilan semasa sambutan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.

Ya Allah! 

Anugerahkanlah taufiq kepada sekalian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

Ya Allah! 

Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. 

Ya Allah! 

Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

Ya Allah! 

Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.

Ya Allah! 

Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan.

Ya Allah! 

Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.

Sunday, August 22, 2021

Ada Terowong Rahsia Di Bukit Melaka?

Bukit Melaka atau kini dikenali sebagai Bukit St. Paul merupakan pusat pentadbiran kerajaan kesultanan Melayu Melaka pada ratusan tahun dahulu. Kawasan yang amat strategik kerana menghadap ke arah laut. Sesuai untuk aspek pertahanan dan pentadbiran khususnya perdagangan, perkapalan dan pelabuhan.

Masa silih berganti, kesultanan Melayu Melaka akhirnya jatuh ke tangan Portugis dan mereka mentadbir Melaka juga dari kawasan sekitar Bukit Melaka. Kemudian, Belanda dan British juga turut mentadbir di kawasan yang sama. Kuasa-kuasa barat ini cuma membaiki apa yang sedia ada dan memperkuatkan pertahanan di sini.

Ratusan tahun lamanya Bukit Melaka ini menjadi saksi bisu atas penguasaan kerajaan-kerajaan yang pernah bertakhta di situ. Pasti ada misteri yang masih belum terungkai di bukit ini antaranya terowong rahsia! Benarkah ada terowong rahsia di sekitar Bukit Melaka? 

Secara peribadi, saya sudah melihat hampir 10 ruang, lubang, laluan yang 'boleh dianggap' sebagai terowong atau laluan rahsia di sekitar Bukit Melaka. Namun, untuk mengesahkan ia sebagai terowong masih belum benar-benar dapat dipastikan. Namun, secara hipotesis pihak kami berpendapat ia adalah terowong dan perlu diteruskan penyelidikan ini secara kajian ekskavasi dan menggunakan alatan berteknologi tinggi seperti Ground Penetrating Radar (GPR), LIDAR Sensor Technology atau sebagainya bagi mengesan ruang atau rongga-rongga yang terdapat di bawah tanah atau di bawah bangunan.

Saya tidak mahu bercerita panjang tentang dapatan-dapatan secara kasar yang kami perolehi, cuma jika ingin mengetahui lebih lanjut dan jika berminat, sila ikuti program di bawah ini. 


Semoga ia memberi manfaat kepada semua khususnya para pencinta sejarah tanah air. Simpan tarikhnya dan selamat menonton.

Ps : saya pernah menulis sedikit mengenai kisah terowong ini, boleh baca di SINI