Monday, August 16, 2021

DALAM SETANDAN PISANG BUKAN SEMUANYA BUSUK

 
Hanya daun pisang saja yang mampu diambil gambar. Pisang belum berbuah.

Begitulah indahnya peribahasa ciptaan orang dulu-dulu. Mereka melihat dan meneliti kejadian alam semesta untuk dirujuk kepada perkara-perkara yang dilakukan oleh manusia seharian. Biasanya, tepat sekali perumpamaan ini, iaitu perkaitan antara tumbuhan atau haiwan dan manusia. Sungguh bijak orang-orang dahulu meniliti dan menilai alam ciptaan Allah SWT.

Kenapa pisang? Sebenarnya banyak peribahasa, perumpamaan dan pantun yang menggunakan pisang sebagai objek untuk menerangkan sesuatu. Tak perlulah saya jelaskan kerana semua orang sedia mengetahuinya.

Dalam setandan pisang tak semuanya busuk dan bukan juga semuanya baik. Jadi, jika kita sedia ketahui status pisang-pisang yang terdapat pada setandan pisang, kita sendiri pilihlah. Yang mana baik, simpan atau terus makan, manakala yang sudah busuk, untuk apa disimpan lagi, perlu dibuang sahaja.

Janganlah pula kita menjadi gila dengan membuang semua pisang yang setandan itu. Bukan semuanya busuk, buat apa dibuang semua. Hendak menanam pisang bukannya mudah. Nak tunggu lagi pisangnya berbuah pun satu hal lagi. Jika bernasib baik, berbuah semula, jika tumbesaran pokok terbantut, langsung tak mendatangkan hasil. 

Saya membuat entri ini setelah melihat pokok-pokok pisang di belakang rumah saya kelihatan terbantut tumbesarannya. Malu-malu nak membesar. Barangkali tanahnya tak sesuai. Puas sudah dibelai, dibaja. Mungkin belum ada rezeki nak makan pisang yang ditanam sendiri.