Saturday, August 14, 2021

MENIKMATI BUAH-BUAHAN TEMPATAN



Musim buah kali sungguh puas merasai pelbagai buah-buahan tempatan. Dari buah durian, rambutan, manggis, pulasan, langsat dan pelbagai lagi. Ada yang dibeli, ada juga diperolehi daripada pemberian sedara mara. Alhamdulillah, rezeki dari Allah SWT.

Buah-buahan kini kian mendapat tempat di hati warga kita. Musim yang ditunggu-tunggukan. Mujurlah sekarang zaman covid-19, kalau tak, mesti ada saja pesta buah-buahan diadakan di mana-mana. 

Nak dijadikan cerita, hari ini ada lagi yang memberi buah-buahan. Suami anak buah sebelah isteri, bapanya ada kebun di Muar, jadi memang banyak buah-buahan. Memang selalu dia beri pada semua sedara mara. Saya pula memang suka makan buah tempatan, anak-anak pun suka. Alhamdulillah. 

*****

Antara ayat-ayat Al-Quran yang tercatat perihal buah-buahan/tumbuh-tumbuhan.

Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?

Surah Al-An'aam : 95

Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.

Surah Al-An'aam : 99

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.

Surah Taa-Haa : 53

Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Surah Ibrahim : 25

Wednesday, August 11, 2021

ANDA KEMURUNGAN DI MUSIM PANDEMIK COVID-19?

Kemurungan boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Bagaimana hendak mengatasinya, itulah yang kita perlu ketahui. Pada ketika ini, pandemik Covid-19 telah banyak menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat terutama yang melibatkan kewangan. Ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang gajinya dipotong, peniaga terpaksa menutup operasi malah ada yang bankrup. 

Hampir dua tahun masyarakat perlu menjalani perintah berkurung atau perintah kawalan pergerakan. Hendak ke sini tidak boleh, ke sana pun tidak boleh, pendek kata, pergerakkan adalah terbatas. Tidak seperti dahulu. Bayangkan jenis individu yang amat patuh, sentiasa duduk di rumah sahaja. Barangkali, apa yang berlaku di luar rumah pun tidak diketahuinya.

Mungkin akan ada sesuatu yang negatif berlaku apabila pandemik covid-19 berterusan antaranya kemurungan. Jaga-jaga, sebenarnya kemurungan ini adalah sesuatu yang begitu bahaya. Ia boleh membawa kepada kes bunuh diri.



Justeru, mari sama-sama menyaksikan sebuah program Impak Psikologi Semasa Impak Pandemik Covid-19 yang akan membincangkan tajuk Kemurungan Pembunuh Dalam Diam. Program ini akan diadakan pada 12 Ogos 2021 (Khamis) bermula jam 3.00 petang hingga 4.00 petang yang akan mengetengahkan Dr. Ahmad Rostam Md Zin, Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. 

Program ini dianjurkan oleh Unit Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) negeri Melaka. Kebetulan saya merupakan ahli AKRAB dan telah dijemput untuk menjadi moderator. Rakan-rakan yang berminat boleh ikuti program ini melalui siaran langsung di Facebook rasmi Unit Psikologi & kaunseling, JKMM.

Tuesday, August 10, 2021

TERIMA HADIAH GENG KUAT KOMEN DARI BLOGGER SHIDA RADZUAN


Tak sangka dapat lagi hadiah dari rakan blogger. Kali ini dari blogger Shida Radzuan. Saya dikatakan antara geng kuat komen di blog beliau. Alhamdulillah, terima kasih blogger Shida Radzuan kerana mengirimkan hadiah ini untuk saya dan rakan-rakan lain yang dinamakan sebagai geng kuat komen.. Hehe..

Hadiah yang saya terima ialah, pelitup muka (Jovian) dan juga penyambung pelitup muka bercorak warna bendera Palestin. Insyaallah, esok ke pejabat saya akan guna pelitup muka ini. Untuk penyambung pelitup muka tu saya akan berikan kepada isteri saya sebab biasaya perempuan yang pakai tu.

Sekali lagi, terima kasih saya ucapkan kepada blogger Shida Radzuan atas pemberian ini. Sesungguhnya ia sangat dihargai.