Tuesday, August 10, 2021

SALAM MAAL HIJRAH 1443


Selamat tahun baharu 1443 hijrah kepada semua umat manusia seantero dunia. Semoga tahun baharu ini menjadikan kita lebih baik berbanding tahun-tahun yang sudah. Tak lupa juga, moga-moga tahun ini pandemik covid-19 berakhir dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Apabila tiba tahun baharu hijrah, pastinya lagu malar segar ini kerap dijadikan lagu tema Maal Hijrah. Jom kita hayati lirik-liriknya yang begitu baik sekali hingga melekat di sanubari sejak dari kita kecil hinggalah sudah besar panjang sekarang.

Satu Muharam Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah

Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman

Untuk Sepanjang Zaman….

Sedapkan lirik lagu ni? Cuma saya tak pasti apakah tajuk sebenar lagu ni dan siapa penyanyi asalnya. Siapa yang tahu boleh tolong nyatakan di ruang komen. 

Sunday, August 8, 2021

TAHNIAH DATO' MOHD AZIZULHASNI AWANG



Pagi ini sepatutnya hendak berbasikal mengelilingi kawasan sekitar namun teringat akan perlawanan berbasikal Olimpik Tokyo yang melibatkan dua orang pemain negara iaitu Dato' Mohd Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom. Lalu, terus tak jadi untuk berbasikal, lagipun cuaca di luar kelihatan gelap seperti mahu hujan. Di kala entri ini dibuat, hujan pun telah turun dengan lebatnya.

Perlawanan bermula seawal jam 9.30 pagi waktu Malaysia di mana Dato' Mohd Azizulhasni Awang layak ke separuh akhir manakala Shah Firdaus Sahrom terkandas di suku akhir. Dalam jam 10.00 pagi Dato' Mohd Azizulhasni Awang sekali lagi menang bergaya dalam pusingan separuh akhir sekaligus layak ke peringkat akhir acara keirin (L) berbasikal trek. 

Terasa bergetar tangan melihat perlawanan akhir di telefon bimbit sambil mulut kumat kamit melafazkan doa bagi kejayaan atlit negara. Dada berombak-ombak, berdebar, dan di dalam hati sudah yakin ada kilauan pingat tetapi tidak tahu apa yang bakal dimenangi.

Akhirnya, Dato' Mohd Azizulhasni Awang memenangi pertandingan akhir tersebut,  bukan emas tetapi perak. Alhamdulillah., Tak mengapa, warga Malaysia nampak usahanya. Pingat perak pun sudah cukup untuk dibanggakan. 

Tahniah diucapkan kepada Dato' Mohd Azizulhasni Awang yang menghadiahkan pingat perak untuk negara di bulan kemerdekaan ini. Semoga lebih maju jaya pada masa-masa akan datang.

Tahniah!!!

CARA MENGERATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN


Makan nasi bungkus bersama empat orang anak merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Dari yang sulung berusia 13 tahun hinggalah ke bongsu berusia 3 tahun, sama-sama menikmati Nasi Ganja Bawah Pokok. Bukan satu bungkus, tetapi dua bungkus nasi habis kami makan. Ibunya tiada masa ni kerana bekerja.

Jadi apa kena mengena makan nasi dengan mengeratkan hubungan kekeluargaan? Ya lah.. Bila makan nasi bersama-sama beralaskan pembungkus nasi yang sama dengan lauk, kuah dan segalanya dikongsi bersama dapat membangkitkan lebih kemesraan. Sambil jari jemari masing-masing berlaga-laga semasa meramas nasi, mencubit daging ayam seorang sedikit, anak sulung pula bercerita pengalaman beberapa kali makan sebegini semasa dijemput oleh ahli tabligh yang pernah berkampung di kampung emak saya, ia mengundang kelucuan dan kemesraan seterusnya boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Ini sekadar pendapat saya, bukan bermaksud makan seperti biasa bersama di satu meja tak mesra, namun apabila merasai sendiri makan begini bersama anak-anak, nampak kemesraan itu lagi jelas terpancar dari kalangan semua ahli keluarga. Sesiapa yang belum cuba, boleh mencubanya.