Sunday, August 8, 2021

TAHNIAH DATO' MOHD AZIZULHASNI AWANG



Pagi ini sepatutnya hendak berbasikal mengelilingi kawasan sekitar namun teringat akan perlawanan berbasikal Olimpik Tokyo yang melibatkan dua orang pemain negara iaitu Dato' Mohd Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom. Lalu, terus tak jadi untuk berbasikal, lagipun cuaca di luar kelihatan gelap seperti mahu hujan. Di kala entri ini dibuat, hujan pun telah turun dengan lebatnya.

Perlawanan bermula seawal jam 9.30 pagi waktu Malaysia di mana Dato' Mohd Azizulhasni Awang layak ke separuh akhir manakala Shah Firdaus Sahrom terkandas di suku akhir. Dalam jam 10.00 pagi Dato' Mohd Azizulhasni Awang sekali lagi menang bergaya dalam pusingan separuh akhir sekaligus layak ke peringkat akhir acara keirin (L) berbasikal trek. 

Terasa bergetar tangan melihat perlawanan akhir di telefon bimbit sambil mulut kumat kamit melafazkan doa bagi kejayaan atlit negara. Dada berombak-ombak, berdebar, dan di dalam hati sudah yakin ada kilauan pingat tetapi tidak tahu apa yang bakal dimenangi.

Akhirnya, Dato' Mohd Azizulhasni Awang memenangi pertandingan akhir tersebut,  bukan emas tetapi perak. Alhamdulillah., Tak mengapa, warga Malaysia nampak usahanya. Pingat perak pun sudah cukup untuk dibanggakan. 

Tahniah diucapkan kepada Dato' Mohd Azizulhasni Awang yang menghadiahkan pingat perak untuk negara di bulan kemerdekaan ini. Semoga lebih maju jaya pada masa-masa akan datang.

Tahniah!!!

CARA MENGERATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN


Makan nasi bungkus bersama empat orang anak merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Dari yang sulung berusia 13 tahun hinggalah ke bongsu berusia 3 tahun, sama-sama menikmati Nasi Ganja Bawah Pokok. Bukan satu bungkus, tetapi dua bungkus nasi habis kami makan. Ibunya tiada masa ni kerana bekerja.

Jadi apa kena mengena makan nasi dengan mengeratkan hubungan kekeluargaan? Ya lah.. Bila makan nasi bersama-sama beralaskan pembungkus nasi yang sama dengan lauk, kuah dan segalanya dikongsi bersama dapat membangkitkan lebih kemesraan. Sambil jari jemari masing-masing berlaga-laga semasa meramas nasi, mencubit daging ayam seorang sedikit, anak sulung pula bercerita pengalaman beberapa kali makan sebegini semasa dijemput oleh ahli tabligh yang pernah berkampung di kampung emak saya, ia mengundang kelucuan dan kemesraan seterusnya boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Ini sekadar pendapat saya, bukan bermaksud makan seperti biasa bersama di satu meja tak mesra, namun apabila merasai sendiri makan begini bersama anak-anak, nampak kemesraan itu lagi jelas terpancar dari kalangan semua ahli keluarga. Sesiapa yang belum cuba, boleh mencubanya. 

Saturday, August 7, 2021

TERIMA HADIAH BUKU DARI BLOGGER SURIA AMANDA


Buka sahaja bungkusan pos sudah terlihat judul buku walaupun samar-samar kelihatan di sebalik pembalut plastik. Macam-macam PETUA, inilah judulnya. Bagus sekali ada usaha oleh penulis/penerbit untuk menerbitkan buku seperti ini. Setidak-tidaknya petua yang juga boleh dikatakan warisan turun temurun dapat didokumentasikan untuk tatapan generasi kini dan akan datang yang sudah pastinya amat kurang pengetahuan akan petua-petua lama.

Buku ini dihadiahkan kepada saya oleh blogger Suria Amanda atau lebih ingin dikenali sebagai SA. Saya terima sempena dipilih sebagai pengomen bertuah antara 10 pengomen tertinggi blognya bagi bulan Julai 2021.

Terima kasih saya ucapkan kepada SA atas pemberian hadiah ini. Sesungguhnya saya amat menghargainya. Buku ini memang sangat menarik dan sudah pasti saya akan membacanya dan mungkin akan menjadi rujukan saya dari masa ke semasa.