Saturday, August 7, 2021

TERIMA HADIAH BUKU DARI BLOGGER SURIA AMANDA


Buka sahaja bungkusan pos sudah terlihat judul buku walaupun samar-samar kelihatan di sebalik pembalut plastik. Macam-macam PETUA, inilah judulnya. Bagus sekali ada usaha oleh penulis/penerbit untuk menerbitkan buku seperti ini. Setidak-tidaknya petua yang juga boleh dikatakan warisan turun temurun dapat didokumentasikan untuk tatapan generasi kini dan akan datang yang sudah pastinya amat kurang pengetahuan akan petua-petua lama.

Buku ini dihadiahkan kepada saya oleh blogger Suria Amanda atau lebih ingin dikenali sebagai SA. Saya terima sempena dipilih sebagai pengomen bertuah antara 10 pengomen tertinggi blognya bagi bulan Julai 2021.

Terima kasih saya ucapkan kepada SA atas pemberian hadiah ini. Sesungguhnya saya amat menghargainya. Buku ini memang sangat menarik dan sudah pasti saya akan membacanya dan mungkin akan menjadi rujukan saya dari masa ke semasa.

Thursday, August 5, 2021

PANTUN KATAK



Lompat si katak lompat,
lompat di pinggir kota;
apa si katak dapat,
wang ringgit juta-juta.

Lompat si katak lompat,
lompat ke atas bangunan;
apa si katak dapat,
wang hingga tujuh keturunan.

Lompat si katak lompat,
lompat tinggi di angkasa;
apa si katak dapat,
merasa juga mengenggam kuasa.

Lompat si katak lompat,
lompat bawah sinar mentari;
apa si katak dapat,
untung-untung jadi menteri.

Lompat si katak lompat.
lompat tinggi-tinggi;
apa si katak dapat,
berpeluang tambah bini lagi.

Lompat si katak lompat.
lompat ke depan kedai;
apa si katak dapat,
harta berjuta maruah tergadai.

Lompat si katak lompat,
lompat ke tong sampah;
apa si katak dapat,
berak merata kencing bersepah.

Ps : Saya sedang berimiginasi dengan beberapa ekor binatang yang dipanggil katak. Tidak ada kena mengena dengan katak-katak yang lain yang terdapat di muka bumi. Juga tiada kena mengena dengan katak yang masih hidup ataupun katak yang telah mati katak.