Thursday, July 29, 2021

MELAKA MELALUI CATATAN PORTUGIS

Buku Portuguese Documents On Malacca terbitan Arkib Negara Malaysia dan Suma Oriental yang ditulis oleh Tome Pires merupakan salah satu bahan bacaan yang saya anggap sebagai kitab rujukan bagi menyelami dan mendapatkan fakta-fakta yang menarik perihal Melaka berdasarkan pandangan penulis Portugis. Walaupun ada yang beranggapan kemungkinan fakta-fakta tersebut berpihak kepada mereka yang menang iaitu Portugis, namun inilah antara dokumen bertulis yang ada bagi menyatakan perihal Melaka pada zaman penjajahan Portugis. 

Saya mentelaah buku ini bagi mencari fakta-fakta yang menyatakan Melaka sebagai sebuah kuasa yang besar lagi hebat. Ya ada, walaupun dokumen-dokumen ini dicatat penjajah, namun masih terdapat fakta yang membuktikan Melaka merupakan sebuah empayar yang hebat pada suatu masa dahulu.

Buku-buku ini mengandungi catatan dan dokumen yang ditulis oleh penulis-penulis Portugis seperti Joao De Barros, Damiao De Goes, Diogo Do Couto, Fernao Lopes De Castanheda, Gaspar Correia dan beberapa nama lagi. Terlalu banyak fakta-fakta yang menarik mengenai Melaka, dan ini antara yang saya mahu kongsikan :

"Barang siapa yang dapat menguasai Melaka, maka dia sedang mencekik leher Venice."

Tome Pires

"Kota Melaka dihuni oleh pedagang-pedagang yang sangat kaya-raya yang menerima manfaat daripada aktiviti perdagangan."

Fernao Lopes De Castanheda

"Kota Melaka mempunyai pelabuhan yang terkaya dengan jumlah dagangan terbesar dengan kehadiran kapal-kapal dan perdagangan dari seluruh dunia." 

Duarte Barbosa

"Melaka dikenali sebagai kota yang terkaya di dunia kerana para pedagang di sana adalah terdiri daripada orang-orang kaya. Kekayaan mereka diukur dalam bahar emas. Satu bahar emas bersamaan empat quintal. Sebahagian pedagang memiliki kekayaan mencecah sepuluh atau dua belas bahar."
 
Damiao De Goes

"Sultan dan penduduk asal Melaka adalah beragama Islam. Terdapat istana-istana yang indah di Melaka. Warna kulit orang-orang Melayu adalah coklat gelap. Bahasa mereka menyenangkan dan mudah dipelajari. Mereka sopan, gagah dan mempunyai penampilan diri yang rapi. Mereka juga sangat sukakan muzik dan mereka hidup dalam keadaan gembira. Tentera Melaka merupakan tentera yang berani dan sanggup mengorbankan diri dalam peperangan."

Damiao De Goes 

"Orang-orang Melayu berpegang pada Al-Quran daripada ajaran Muhammad dan mereka begitu taat. Mereka mempunyai masjid-masjid. Mereka tinggal di rumah yang besar di luar kota yang mempunyai kebun, taman-taman serta tangki-tangki air dan kehidupan mereka sungguh menyenangkan."

Duarte Barbosa 

"Di dalam kota mereka menemui lebih daripada tiga ribu pucuk meriam besar dan kecil yang diperbuat daripada besi dan tembaga. Salah satu daripadanya adalah sebuah meriam yang sangat berat yang diberikan oleh Raja Calicut kepada Sultan Melaka."

Damiao De Goes

"Sebaik saja jong (Portugis) itu melintasi beting pasir dan berlabuh berhampiran jambatan. meriam-meriam tentera Islam mula menembak ke arahnya. Sebahagian daripada peluru-peluru meriam yang diperbuat daripada bijih timah menembusi di kedua-dua belah jong tersebutyang menyebabkan berlakunya korban jiwa yang besar di kalangan tentera-tentera Portugis."

Joao De Barros

"Dalam gudang-gudang milik Sultan dijumpai sejumlah besar tembaga, keluli, besi, bijih timah, belerang, ubat bedil, serbuk peluru, senjata-senjata, dan peluru-peluru yang lain serta selimut-selimut kapal (kain penutup kapal) dalam jumlah yang banyak. Segala-galanya telah diambil untuk raja kita (Raja Portugal) berserta hasil-hasil rampasan barang-barang yang diambil dari kota berjumlah lebih dua ribu cruzado."

Damiao De Goes

"Disebabkan tentera Portugis telah mendapat risikan awal, mereka dapat mengelak daripada perangkap-perangkap sehinga dapat sampai di kubu-kubu ketika pertempuran sedang hebat berlangsung. Tentera-tentera Islam sangat ramai dan mereka lengkap bersenjata dengan senapang-senapang, anak-anak panah beracun, meriam-meriam logam yang kecil, busur bersilang, lembing dan tobak-tombak yang panjang yang diperbuat daripada buluh dengan mata besi yang kelihatan seperti nyalaan api."

Gaspar Correira

"Sultan memiliki dua puluh ribu orang tentera yang lengkap disediakan bekalan makanan, peluru dan senjata api serta anak-anak panah beracun yang dilepaskan melalui sumpit. Di luar kubu-kubu dan persisiran pantai terdapat lubang-lubang yang diisi serbuk api dan ranjau-ranjau yang tersembunyi ditutupi jerami. Di situ juga terdapat dua puluh ekor gajah yang berperanan sebagai kubu dan sememang dilatih untuk berperang."

Gaspar Correira

Demikianlah beberapa fakta yang dapat saya perolehi daripada catatan-catatan Portugis. Namun, sebenarnya banyak lagi. Tidak dapat dijelaskan satu-persatu. Di sini sahaja sudah pastinya dapat dirasai betapa hebatnya empayar Melaka pada suatu masa dahulu. Sayangnya ia dimusnahkan oleh penjajah yang silih berganti dimulai Portugal, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris semula sehinggalah negara mengecapi kemerdekaan. 

Monday, July 26, 2021

CUBAAN MENANGKAP GAMBAR BINTANG DI ANGKASA

Nampak tak bintang? Jangan sampai juling mata. hehe

Ada sesiapa nampak bintang-bintang yang berkelipan pada gambar di atas? Kalau ada yang rabun, pasti tidak akan nampak. Inilah kali pertama saya cuba mengambil gambar bintang di langit pada waktu malam yang gelap. Sekiranya ada cahaya galaksi berwarna kebiru-biruan lagi cantik rasanya. Saya guna kamera telefon bimbit sahaja. Kurang jelaslah jawabnya.

Sebenarnya masih belajar lagi cara nak ambil gambar bintang-bintang di langit. Tapi memang boleh ambil gambar bintang-bintang dengan telefon bimbit. Saya lihat di dalam kumpulan Facebook yang berkisar fotografi, ramai yang mengambil gambar bintang-bintang dengan cantik hanya menggunakan telefon bimbit. Gambar bulan pun ada yang merakam dengan telefon bimbit, cantik pula tu. Saya puas cuba beberapa kali nak ambil gambar bulan, tapi hasilnya kurang memuaskan.

Saya belajar pun hanya berpandukan pada sifu-sifu di Facebook dan YouTube. Bukan belajar sangat pun, belajar yang asas-asas saja. Belajar kerana minat dan bukan untuk jadi profesional. Cukup sekadar untuk melihat gambar yang diambil, cantik dari pandangan mata sendiri tu dah cukup baik. Saya juga minat melihat gambar-gambar yang cantik. 

Saturday, July 24, 2021

TERIMA HADIAH DARI BLOGGER SYAZNI RAHIM


Bukanlah niat hendak menunjuk-nunjuk yang saya telah menunaikan solat, namun sebenarnya ingin menghargai pemberian oleh blogger iaitu SYAZNI RAHIM yang telah menghadiahkan saya sehelai sejadah yang sangat cantik, lembut dan gebu. Hadiah ini saya terima sempena dipilih sebagai antara pengomen tertinggi di dalam blog beliau bagi bulan Jun 2021.

Terima kasih Syazni Rahim atas pemberian ini. Saya amat menghargainya. Saya ada beberapa helai sejadah di rumah, akan tetapi sengaja saya gunakan sejadah pemberian blogger Syazni Rahim ini agar sekiranya ada pahala atas solat saya, diharapkan pahala ini dapat dikongsikan sekali dengan Syazni Rahim yang menghadiahkan sejadah ini. Amin..

*****

Esok 25 Julai 2021 (Ahad) saya akan mengadakan Shocking Sale produk Sambal Bilis Pedas di Shopee bermula jam 1.00  hingga 2.00 pagi dan bagi Sambal Petai Bilis Pedas bermula jam 1.00 petang hingga 2.00 petang. Bagi yang berminat untuk mencubanya, boleh dapatkan di sini :




Jangan lupa juga untuk follow kedai Shopee saya untuk mendapatkan diskaun sebanyak RM1.00 lagi. 

Terima kasih.