Tuesday, July 6, 2021

LAWATAN MAYA @ MUZIUM SEJARAH & ETNOGRAFI

Musim-musim PKP ini tidak banyak yang dapat dilakukan. Tidak boleh rentas daerah, negeri, malah banyak sektor yang ditutup termasuklah muzium. Muzium Melaka antara yang menerima kesan daripada pandemik covid-19.

Sebelum ini, Muzium Melaka merupakan muzium teramai pelawat berbanding muzium-muzium lain di Malaysia. Dengan jumlah pelawat menghampiri 1,000,000 pengunjung setahun, pandemik covid-19 sedikit sebanyak telah mengurangkan kedatangan pelawat ke muzium. 

Selain itu, program-program permuziuman pun tidak dapat dilakukan. Kerja-kerja cari gali yang baru saya laksanakan pun terpaksa ditangguhkan dan macam-macam lagi perancangan tahunan tidak dapat dilaksanakan.

Namun begitu, ia bukan bererti pihak kami harus berpeluk tubuh melihat sahaja pandemik ini datang dan pergi. Aktiviti dan program bersifat norma baharu khususnya melibatkan aktiviti dalam talian telah diatur bagi memastikan institusi permuziuman khususnya di negeri Melaka terus berjalan seiring dengan perkembangan semasa.

Terbaru, Muzium Melaka telah memperkenalkan program Lawatan Maya. Buat kali pertama ini akan melibatkan lawatan ke Muzium Sejarah & Etnografi. Sesi lawatan maya ini dijalankan secara dalam talian menggunakan platform Google Meet.



Muzium Sejarah & Etnografi merupakan muzium utama negeri Melaka. Memaparkan artifak dan bahan sejarah sejak dari zaman kesultanan Melayu Melaka hinggalah ke zaman penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan British. Jika ke Melaka, tidak sempurna lawatan sekiranya tidak ke muzium ini.

Bayaran yang dikenakan adalah sangat murah iaitu RM5.00 sahaja. Sekiranya sekeluarga nak mengikutinya di dalam satu komputer atau telefon pintar tetap dengan harga RM5.00. Murah kan? Seisi keluarga boleh tengok.

Justeru, di kesempatan ini, suka saya mempromosikan program lawatan maya ini yang akan dilaksanakan pada ketentuan yang dinyatakan di dalam poster di atas. Semoga ramai yang akan mengikuti lawatan maya ini yang tentunya akan memberikan ilmu dan maklumat yang bermanfaat.

Jika berminat, sila daftar di sini 👉🏼 KLIK

Saturday, July 3, 2021

GIVEAWAY AKU DAN KAMU

Sehari dua ni apabila berjalan-jalan di blog rakan blogger, terlihat satu giveaway yang dianjurkan oleh blogger As Samsudin. Jadi, bola sudah ada kelapangan ni, saya rasa elok kiranya saya sertai juga. Lagi pun saya kekurangan idea untuk menulis. 



Jadi, marilah sama-sama kita memeriahkan giveaway ini. Dikhabarkan, giveaway ini diadakan sempena ulangtahun perkahwinan As Samsudin dan suaminya Aliff iaitu jatuh pada bulan Julai ini. 

Jika ingin sertai, sila klik di gambar di atas untuk mengetahui syarat-syarat yang telah ditetapkan. Jangan risau, mudah saja syarat-syaratnya.

Buat As Samsudin dan suami #asaliff saya ingin merakamkan selamat ulang tahun perkahwinan kalian berdua, semoga 'masjid" yang didirikan ini terus kukuh dan kekal hingga ke akhirnya. Segala kesenangan, kepayahan, keseronokan dan kesedihan perlulah dikongsi bersama dan jadikan ia sebagai ujian dalam berumahtangga. 

Thursday, July 1, 2021

CUCUKAN PERTAMA

Alhamdulillah. Setelah menunggu agak lama juga, akhirnya dapat cucukan pertama vaksin. Pada hari ini bertarikh 1 Julai 2021 saya dicucuk dengan vaksin Sinovac.



Sebenarnya saya ni bukanlah takut dicucuk dengan jarum, tapi hari ni sebelum dicucuk saya rasa seram sejuk sahaja.  Perut pun rasa kecut saja. Dengan cerita-cerita pasal vaksin, collapse selepas vaksin, meninggal dunia, masuk cip dalam tubuh, bermain-main pada pemikiran. Rasa risau pula.

Tapi semua itu dapat diatasi apabila saya telah tiba di pusat vaksinasi. Tiba di pusat vaksinasi sudah tidak merasa apa-apa lagi. Mungkin pada awalnya saya telah berfikiran yang bukan-bukan, mungkin itulah yang menyebabkan sedikit risau.

Pada yang belum divaksin, jangan risau. Tiada apa-apa pun. Suntikannya pun tidak sakit. Pada saat saya menulis ini, tiada kesan sampingan yang saya alami. Semuanya baik-baik sahaja.



Sebenarnya tadi ada juga niat nak bergambar pada plakad "saya telah divaksinasi" tapi apakan daya, bateri telefon habis. 😆😆😆 Balik naik Grab pun pinjam pinjam telefon seseorang untuk menempah Grab. 🤦🏻‍♂️