Friday, June 18, 2021

KEJUTAN BUAT ISTERI

18 Jun merupakan tarikh lahir isteri saya. Tepat jam 12.01 malam tadi telah ucapkan selamat hari lahir pada dia. Siap tanya lagi, tiada hadiah ke? Saya cakap tahun ni tiada hadiah. Duit dah habis.. 😆😆

Tapi sebenarnya saya nak beri hari ni. Saya ni bukannya pandai nak buat kejutan sangat. Baru-baru ni saja terpengaruh sebab banyak di media sosial menunjukkan cara-cara nak membuatkan kejutan kepada seseorang.

Yang lepas-lepas biasa guna pengubah bunga saja yang hantarkan hadiah ke tempat kerjanya, tapi sekarang susah sedikit. Mereka tak boleh rentas lebih 10 kilometer, apatah lagi nak masuk ke kawasan klinik kesihatan. Isteri saya kerja di klinik kesihatan. Tempat dia merupakan ujian saringan covid-19 pula tu. Susah sedikit nak masuk.

Jadi, nak senang cerita saya ambil sajalah hadiah tu dari pengubah bunga. Saya pun hari ni masuk kerja separuh hari saja. Saya bawa balik dan letakkan di atas katil. Nak beli hadiah apa pun tak tahu, jadi saya hadiahkan jambangan bunga ni. Semoga isteri saya suka. 😊😊😊






Thursday, June 17, 2021

TERIMA KAD RAYA

Walaupun Hari Raya Aidilfitri telah pun berakhir namun tidak disangka-sangka saya menerima kad raya. Saya hampir terlupa yang saya bakal menerima kad raya dari Nina Ahmad iaitu pemilik blog ciksukataip.blogspot.com.

Saya menerima kad raya ini setelah menjadi antara blogger bertuah yang menyertai Express Kad Raya GA 2.0 by Nina. Semasa ini saya telah disenaraikan di nombor 6 sebagai penerima bertuah kad raya tersebut.



Dikesempatan ini, saya ingin ucapkan terima kasih kepada Nina Ahmad atas pemberian ini. Saya sangat menghargainya. Raya tahun ini, inilah satu-satunya kad raya yang saya terima. 

Ia turut mengingatkan saya tentang nostalgia dulu-dulu di mana kad raya merupakan antara benda ditunggu-tunggu semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri. Semoga tradisi mengirim kad raya diteruskan pada generasi kini dan akan datang.